Friday, July 25, 2008

AUKU - Bersediakah mahasiswa kita?


Oleh Zainor Said

WALAUPUN cadangan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) baru dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 17 Julai lalu, dan hanya akan dibahas bulan depan, namun banyak pihak telah mula memperkatakan mengenainya.

Selasa lalu, akhbar ini menyiarkan dua artikel mengenai akta berkenaan. Satu ditulis oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah, manakala satu lagi oleh Timbalan Naib Canselor, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr Zaini Ujang, yang juga penulis kolum Berita Harian.

Tidak terkecuali media elektronik turut menjemput beberapa panel mewakili pelbagai institusi untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai langkah kerajaan meminda akta itu. Ia membuktikan betapa langkah kerajaan itu mendapat sokongan kuat dan amat dialu-alukan pelbagai pihak, bukan saja dalam kalangan ahli akademik, tetapi juga mahasiswa, alumni, kakitangan serta pihak pengurusan universiti.


Desakan agar AUKU dipinda sudah lama diperjuangkan sejak era 70-an lagi. Sudah semestinya pindaan itu akan menjadi detik penting dan bakal membuka lembaran baru dalam sistem pendidikan tinggi negara. Antara lain pindaan itu bertujuan untuk menjadikan universiti lebih telus, berinovasi, berdaya saing, dan berkembang dengan budaya ilmu yang lebih subur.

Apabila memperkatakan mengenai AUKU, kita tidak boleh terlepas daripada mengaitkannya dengan gerakan dan aktiviti mahasiswa, walaupun pada hakikatnya bidang kuasa akta itu merangkumi aspek yang lebih luas termasuk membabitkan tenaga pengajar serta urus tadbir universiti.

Ramai berpendapat, sejak AUKU dikuat kuasa, kegiatan mahasiswa lebih bersifat kemasyarakatan dan berpersatuan, yang tidak banyak bezanya dengan kegiatan pelajar di peringkat sekolah menengah. Kegiatan seumpama itu tidak melatih mahasiswa meluahkan pandangan dalam perspektif lebih luas untuk membantu kerajaan memajukan rakyat dan negara.

Universiti sebagai gedung yang menghimpun ribuan golongan cerdik pandai, daripada pelajar sehingga kepada tenaga pengajar bergelar profesor tidak seharusnya sekadar berfungsi sebagai pusat melahirkan graduan cemerlang dalam akademik.

Sebaliknya universiti juga harus menjadi platform untuk golongan itu bersuara dan meluahkan pandangan yang boleh membantu kerajaan membangunkan rakyat dan negara.

Dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan, adalah merugikan sekiranya mahasiswa terus berada dalam kepompong sempit dan hanya terbabit dengan kegiatan yang tidak menjana bakat kepemimpinan. Mahasiswa harus berfikiran kritis, matang, berkeyakinan tinggi, dan bergiat dengan aktiviti yang boleh membina kewibawaan untuk membolehkan mereka bersaing, sehingga ke peringkat antarabangsa.

Universiti menjadi tempat terbaik untuk melatih mahasiswa dengan keperibadian cemerlang dalam pelbagai aspek agar negara tidak ketandusan pemimpin berkaliber yang bakal mengisi barisan kepemimpinan negara pada masa depan.

Sejajar dengan agenda kerajaan menubuhkan Universiti Apex tidak lama lagi, yang bakal diberi autonomi bagi melonjak universiti ke tahap cemerlang, kita yakin graduan yang bakal lahir selepas ini mampu memiliki kualiti kelas pertama setanding dengan graduan universiti terkenal bertaraf dunia.

Persoalannya sekarang, apakah mahasiswa kita sudah cukup bersedia untuk memanfaatkan sebaik-baiknya apabila AUKU dipinda. Apakan selepas ini kampus akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang boleh menjana ciri kepemimpinan cemerlang yang kita harapkan.

Mahasiswa dan warga universiti harus mengikuti perkembangan pindaan AUKU dengan penuh minat kerana merekalah golongan yang bakal menikmati faedahnya. Pemimpin persatuan mahasiswa khususnya, wajar memahami secara jelas peluang yang dibuka supaya mereka dapat mengatur pelbagai aktiviti yang mencerminkan keintelektualan sebenar mahasiswa.

Pindaan AUKU tidak memberi apa-apa makna jika ruang yang diberi kerajaan tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh mahasiswa secara menyeluruh.

Namun mahasiswa harus bijak dan waspada dalam menganjurkan kegiatan agar tidak diperalatkan oleh pihak berkepentingan. Sikap keterbukaan universiti, sering mengundang pihak tertentu mengambil kesempatan menyebar pengaruh serta menghasut mahasiswa melakukan perkara bertentangan dengan dasar kerajaan.

UUM didik warga cintakan alam sekitar


Oleh Ihsan Noorzali

UNIVERSITI Utara Malaysia (UUM) menganjurkan Kempen Kesedaran Alam Sekitar bagi memupuk budaya cintakan alam sekitar di kalangan kakitangan dan pelajarnya selama enam bulan mulai 6 Julai lalu.

Program bertemakan kesejahteraan hidup itu antara lain bertujuan memberi kesedaran kepada komuniti kampus mengenai kepentingan menjaga alam sekitar serta mengamalkan budaya hidup sihat.

Pengarah Canselori universiti itu, Mohd Zaini Nasri, berkata antara aktiviti dijalankan sepanjang kempen itu ialah menghapuskan penggunaan polisterina dalam kampus dan menggantikannya dengan bekas lain yang boleh dikitar semula.


Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Kerja kempen itu berkata, pelbagai program lain turut dijalankan antaranya pameran, pertandingan mencipta produk mesra alam, projek kitar semula, pertandingan melukis, fotografi, forum mesra alam dan penanaman pokok.

“Kita mahukan landskap UUM yang bersih dan dipenuhi dengan pokok hijau, sekali gus menjadikannya daya penarik kepada pengunjung,” katanya.

Mengenai penggunaan polisterina, beliau berkata, semua pengusaha makanan di kantin universiti itu diminta tidak menggunakannya, sebaliknya diganti dengan pinggan sebenar.

“Pihak kami juga mahu menghapuskan penggunaan beg plastik dan warga kampus hanya dibenarkan menggunakan beg kertas,” katanya.

Mohd Zaini berkata, penggunaan bekas polisterina secara berterusan akan menyebabkan pengguna terdedah kesan toksik dan bahan kimia yang boleh mengakibatkan penyakit kanser.

Katanya, bekas polisterina itu juga memberi kesan besar terhadap alam sekitar kerana ia memerlukan masa lama untuk reput.

Bagi menjayakan kempen itu, beliau menjelaskan pihak lain terutama badan bukan kerajaan turut diajak menyertainya.

UPM minta pelajar bantu capai status Universiti Apex


Oleh Rosniza Mohd Taha


JANJI: Pelajar baru program doktor falsafah, Razam Abd Latip mengetuai upacara lafaz ikrar pelajar siswazah UPM, di Serdang, kelmarin.

PELAJAR pascasiswazah Universiti Putra Malaysia (UPM) diminta memainkan peranan aktif bagi membantu universiti penyelidikan itu mencapai sasaran bertaraf dunia atau Universiti Apex.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Nik Mustapha R Abdullah, berkata antara langkah boleh dilakukan ke arah itu ialah menerbitkan tesis atau hasil kajian dalam jurnal terkemuka serta membentangkan kertas kerja pada seminar atau persidangan tempatan dan antarabangsa.

“UPM berhasrat mencapai status universiti bertaraf dunia dan menghasilkan graduan berdaya saing yang mampu menerajui inisiatif penyelidikan dalam pelbagai bidang baru.


“Mengukuhkan program pascasiswazah dikenal pasti sebagai salah satu faktor kritikal bagi merealisasikan hasrat ini.

“Pelajar siswazah perlu memainkan peranan penting dalam hal ini dengan menerbitkan tesis berkualiti tinggi dalam jurnal terkemuka serta menghasilkan produk penyelidikan berpotensi tinggi untuk dikomersialkan,” katanya pada Majlis Perasmian Putra Sarjana 2008 serta Majlis Ikrar Pelajar Baru Siswazah Semester 2008/2009, di Serdang, Selangor, kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik dan Antarabangsa, Prof Datin Paduka Dr Khadijah Mohd Yusoff; TNC Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dr Abu Bakar Salleh; TNC Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dr Azali Mohamed; TNC Industri dan Hubungan Komuniti, Prof Dr Tai Shzee Yew serta Dekan Sekolah Pengajian Siswazah (SPS), Prof Dr Aini Ideris.

Sementara itu, Aini berkata, seramai 1,884 pelajar baru siswazah mendaftar membabitkan 1,227 pelajar tempatan dan 657 lagi antarabangsa termasuk dari Iran, Yaman, Iraq dan Indonesia.

“SPS menawarkan lebih 200 program pengajian dan antara bidang pilihan kebanyakan pelajar ialah pendidikan, kejuruteraan dan sains komputer.

“Dengan kemasukan pelajar baru, jumlah keseluruhan mereka mengikuti pengajian di SPS ketika ini ialah 7,560 orang, iaitu 5,104 pelajar tempatan manakala 2,456 lagi antarabangsa,” katanya.

UIAM juara debat di Manila




RAIH KEJAYAAN: Mohd Faiz (kiri), Nur Afi fah dan Ahmad Lutfi menunjukkan piala dimenangi pada Australasian Debating Championship 2008, baru-baru ini.

UNIVERSITI Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) terus mengukir nama dalam arena perdebatan apabila muncul juara kategori Bahasa Inggeris Sebagai Bahasa Kedua (ESL) Australasian Debating Championship 2008, baru-baru ini.

Dalam pertandingan akhir berlangsung di Ateneo de Manila University, Manila, Filipina, universiti itu diwakili Ahmad Lutfi Torla, Mohd Faiz Yahaya dan Nur Afifah Mohammadiah menewaskan pasukan Universitas Indonesia.

Pencapaian itu disifatkan kejayaan besar universiti berkenaan setelah gagal meraih kemenangan dalam kejohanan sama tahun lalu yang dianjurkan Universiti Teknologi Mara di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur.


UIAM pernah muncul juara pertandingan itu yang diadakan di Universiti Queensland, Brisbane, Australia pada 2005.

Johan keseluruhan Australasian Debating Championship 2008 disandang University of Sydney, Australia, setelah mengalahkan Monash University.

Anugerah Pendebat Terbaik pula dimenangi wakil University of Sydney, Naomi Oreb.

Lebih 400 peserta dari rantau Asia Pasifik termasuk Australia, Bangladesh, China, Hong Kong, India, Jepun, New Zealand, Singapura, Korea Selatan dan Thailand menyertai kejohanan berprestij itu.

Australasian Debating Championship adalah kejohanan debat tahunan kedua terbesar selepas World Universities Debating Championship.

Kejohanan kendalian Australasian Intervarsity Debating Association itu bertujuan mempamerkan kemahiran berdebat di kalangan pelajar pelbagai negara berkaitan isu semasa seperti ekonomi, politik, sosial, alam sekitar, kesihatan serta sains dan teknologi.

Sains kesihatan


Oleh Basir Zahrom


KHIDMAT SOSIAL: Pelajar bidang kejururawatan Kolej ShahPutra memeriksa tekanan darah seorang penduduk pada program kemasyarakatan di Kuantan, baru-baru ini.

Kolej ShahPutra dapat kepakaran universiti tempatan, luar negara

MENJELANG akhir tahun ini, Kolej ShahPutra di Bandar Indera Mahkota, Kuantan, akan menambah beberapa lagi program baru Sains Kesihatan sejajar dengan matlamatnya menjadi salah sebuah institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) diiktiraf dalam bidang berkenaan.

Pengerusi Eksekutifnya, Datuk Dr Azman Zaini Abd Ghanie, berkata antara program itu ialah Diploma Farmasi, Diploma Teknologi Makmal Perubatan, Diploma Pembantu Perubatan, Diploma Fisioterapi dan Diploma Persekitaran Kesihatan, selain jurusan sedia ada iaitu kejururawatan.


Sehubungan itu, katanya, kolej itu kini giat menjalin usaha sama dengan institusi pengajian tinggi awam tempatan dan luar negara bagi mendapatkan kepakaran bidang terbabit.

Beliau berkata, penawaran program baru secara tidak langsung membuka lebih banyak peluang pelajar berminat mengikuti pengajian dalam bidang Sains Kesihatan.

“Bagi memperkukuh bidang ini, kami meneruskan kerjasama dengan universiti luar negara seperti di United Kingdom dan Australia. Kami juga akan mendapatkan tenaga pengajar luar, contohnya dari Indonesia dan Filipina bagi menjayakan program Sains Kesihatan.

“Malah, ShahPutra adalah kolej pertama menandatangani memorandum persefahaman dengan University of Hertfordshire, United Kingdom, bagi mendapatkan tenaga pengajar bertauliah untuk program Ijazah Kejururawatan,” katanya kepada Berita Harian.

Azman berkata, pihaknya turut menjalankan aktiviti kemasyarakatan berkaitan bidang Sains Kesihatan, antaranya program ujian kencing manis dan darah tinggi di beberapa daerah di Pahang.

Katanya, selain dapat mendedahkan pelajar kepada dunia pekerjaan sebenar, aktiviti seumpamanya adalah tanggungjawab sosial kolej itu dengan memberikan sesuatu bermanfaat kepada masyarakat.

Kolej ShahPutra menyediakan suasana pembelajaran kondusif, selain dilengkapi kemudahan berteknologi tinggi, antaranya penggunaan ‘smart card’ , Wifi campus dan e-brary (electronic library) yang mempunyai lebih 60,000 bahan rujukan dan bacaan.

Selain penyediaan infrastruktur lengkap, Azman berkata, kolej itu mempunyai 148 tenaga pengajar berkelayakan, termasuk 30 orang lulusan sarjana.

“Pelajar kolej ini diberi penekanan bukan saja kecemerlangan dalam bidang akademik, malah kokurikulum serta kemasyarakatan,” katanya.

Mengenai tanggapan ramai bahawa kos pengajian dan sara hidup tinggi di IPTS, beliau berkata, faktor itu bukan masalah utama belajar di Kolej ShahPutra kerana pelajar disediakan skim ‘Belajar Dulu Bayar Kemudian’.

“Menerusi skim ini, kolej akan menguruskan proses pinjaman dan yuran pengajian. Pelajar cuma perlu mengisi borang pendaftaran dan pinjaman, seterusnya kami membuat susulan dengan pihak terbabit seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional dan Mara.

“Usaha ini bertujuan membantu golongan kurang kemampuan menikmati peluang sama rata dan pada masa sama meringankan bebanan ibu bapa untuk menghantar anak mereka ke kolej ini,” katanya.

Thursday, July 10, 2008

Pelajar baru USM digalak guna basikal



OMAR Osman (depan kiri) mengetuai acara berbasikal sebelum menyertai senamrobik beramai-ramai sempena minggu orientasi pelajar baru USM sesi 2008/09 di Pulau Pinang, semalam.


PULAU PINANG 3 Julai - Pelajar-pelajar baru yang mendaftar untuk sesi akademik 2008/09 di Universiti Sains Malaysia (USM) digalakkan menggunakan basikal sebagai pengangkutan utama mereka di dalam kampus berbanding motosikal dan kereta.

Timbalan Naib Canselornya, Profesor Madya Dr. Omar Osman berkata, saranan itu dibuat untuk memudahkan pergerakan pelajar di dalam kampus selain sebagai langkah penjimatan kerana kos penggunaannya lebih murah berbanding pengangkutan yang menggunakan minyak.

"Pihak universiti lebih menggalakkan pelajar-pelajar ini menggunakan basikal berbanding kereta ataupun motosikal kerana lebih murah dan mereka tidak perlu mengeluarkan duit untuk membeli minyak.

"Tambahan pula, penggunaan basikal adalah lebih mesra alam dan ia selaras dengan usaha universiti untuk menjaga kebersihan alam sekitar dan kampus," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pemberita semasa mengetuai sejumlah 2,379 pelajar baru dalam acara berbasikal sebelum menyertai acara senamrobik beramai-ramai sempena Minggu Orientasi Pelajar Baru (MOPB) di USM semalam.

Tambahnya, penggunaan basikal di dalam kampus bukan sahaja lebih menjimatkan dan murah tetapi ia juga boleh membantu mengurangkan kes-kes kecurian motosikal yang sering berlaku di dalam kampus.

"Kalau pelajar-pelajar menggunakan basikal, saya yakin kes kehilangan motosikal yang pernah berlaku sebelum ini dapat dielakkan sekali gus mampu memberikan suasana harmoni di kalangan warga kampus," ujarnya.

Sementara itu, acara berbasikal dan senamrobik beramai-ramai itu merupakan julung kalinya diadakan sempena MOPB dan ia turut disertai oleh dekan-dekan serta para pensyarah USM.

Jelas Omar lagi, program itu turut membawa mesej kesihatan kepada para pelajar kampus melalui aktiviti riadah yang boleh dilakukan kerana persekitaran USM sendiri amat sesuai.

Mahasiswa UiTM disaran amalkan budaya ilmu


SEGAMAT 3 Julai - Penuntut baru Universiti Teknologi Mara (UiTM) Johor kampus Segamat disaran mengamalkan budaya ilmu dalam kehidupan, sesuai dengan status mahasiswa yang digalas mereka.

Pengarah UiTM Johor Kampus Segamat, Prof. Dr. Muhd. Kamil Ibrahim berkata, apa yang dimaksudkan dengan mahasiswa berbudaya ilmu adalah mereka yang cintakan ilmu dan kebenaran serta meletakkan ilmu di tempat tertinggi dalam kehidupan.

"Mahasiswa juga hendaklah sentiasa berlumba-lumba untuk memiliki, memperkembang, memanfaat dan menghayati ilmu untuk kepentingan seluruh manusia dan alam sejagat,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Minggu Mesra Semester Julai 2007-November 2008 pelajar UiTM Johor, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah (Akademik) UiTM Johor, Prof. Madya Yusri Ismail; Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Madya Zaluddin Sulaiman; Timbalan Pendaftar, Khairul Anuar A. Rahim dan Timbalan Bendahari, Mohd. Yusof Mustapa.

Menurut Dr. Muhd. Kamil, golongan mahasiswa hendaklah sentiasa berusaha untuk mengamalkan ilmu yang diperoleh agar menjadi insan yang baik dan soleh.

"Mahasiswa bukan sahaja perlu memiliki, memahami dan mengamalkan ilmu yang diperoleh, malah mereka perlu mempunyai keyakinan serta kesedaran akan tanggungjawab terhadap diri, keluarga dan masyarakat,'' katanya.

Beliau turut mengingatkan mahasiswa agar tidak terjebak dalam segala kegiatan maksiat yang boleh menghitamkan hati mereka.

Katanya, mereka perlu menjadi mahasiswa yang baik kerana ia akan memudahkan mereka untuk belajar agar menjadi manusia yang berjaya dan berguna kepada agama, bangsa dan negara.

AKU JANJI...



MAHASISWA dan mahasiswi UTeM membaca ikrar pada majlis perasmian Minggu Haluan Siswa Sesi 2008/2009 UTeM di Durian Tunggal, Melaka, baru-baru ini.


Seramai 1,537 pelajar baru yang telah mendaftar di Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) baru-baru ini telah menghadiri minggu suai kenal haluan siswa sehingga 4 Julai.

Daripada jumlah itu, 61 peratus adalah pelajar lelaki manakala selebihnya adalah pelajar perempuan.

Sejak ditubuhkan lapan tahun lalu, UTeM yang sebelum ini dikenali sebagai Kolej Universiti Teknikal Malaysia Melaka (KUTKM) kini mempunyai seramai 5,239 pelajar.

Bermula pengambilan pertama seramai 348 pelajar pada Jun 2001, UTeM kini mempunyai pelajar melebihi 5,239.

Daripada jumlah itu, seramai 4,262 pelajar mengikuti pengkhususan sarjana muda manakala 792 di peringkat diploma. Dijangkakan hampir 1,429 pelajar bakal menamatkan pengajian tahun ini.

Majlis minggu haluan siswa UTeM itu telah dirasmikan oleh Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron dan turut dihadiri oleh Naib Canselornya, Prof. Dr. Ahmad Yusoff Hassan.

Sempena majlis itu, kesemua pelajar baru terbabit telah membaca ikrar aku janji mereka selain pelbagai aktiviti pengenalan kampus yang disediakan.

Pesara 71 tahun masuk universiti

PULAU PINANG 4 Julai – Biarpun usianya telah mencecah 71 tahun, pesara tentera, Abdul Hamid Yunus, tidak pernah menjadikannya sebagai penghalang untuk mencapai impian bergelar penuntut universiti.

Kesungguhan dan usaha gigihnya berbaloi apabila diterima masuk ke Universiti Sains Malaysia (USM) sekali gus membolehkannya melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Ilmu Kemanusiaan.

‘‘Saya sangat minat belajar dan tidak pernah merasa jemu melakukannya. Paling saya suka melalui pengalaman menjawab kertas peperiksaan kerana ia sungguh menyeronokkan.

‘‘Selepas menamatkan pengajian di USM ini, saya akan terus sambung belajar. Hasrat saya untuk belajar sampailah saya mati,” kata Abdul Hamid yang baru sahaja memperoleh Diploma Syariah dari Universiti Malaya (UM) cawangan Nilam Puri, Kelantan pada 14 Jun lalu.

Menurut pelajar tertua USM itu, pada awalnya hasrat untuk terus belajar ditentang isterinya, Fatimah Ahmad, 61, kerana merasakan usianya sekarang sudah tidak sesuai lagi untuk belajar.

Namun, kata Abdul Hamid, setelah melihat kesungguhannya yang sanggup berpisah dengan keluarga serta semangat yang berkobar-kobar untuk belajar, hasrat itu akhirnya direstui isteri dan dua anaknya, Azhar, 39, seorang pengurus akaun dan Norazah, 34, seorang guru.

‘‘Pada zaman remaja, saya tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran kerana kemiskinan keluarga dan selepas itu pula membesarkan anak-anak.

‘‘Namun, minat saya terhadap ilmu tidak pernah padam. Selepas bersara, saya merasakan masa yang sesuai sudah tiba untuk mencapai impian saya itu,’’ ujarnya.

Selain wang pencen, Abdul Hamid beruntung apabila kedua-dua anaknya sanggup menanggung perbelanjaan pengajian di universiti dan ini menaikkan lagi semangatnya untuk belajar.

‘‘Alhamdulillah, peluang yang diberi oleh anak-anak dan USM tidak akan saya persia-siakan. Saya akan belajar bersungguh-sungguh,” kata bekas Pegawai Waran 1 itu penuh semangat.

Pertemuan semula pelajar matrikulasi UPM


KUALA LUMPUR Bekas pelajar perintis program Matrikulasi Universiti Pertanian Malaysia di Maktab Rendah Sains Mara Kulim sesi 1988-1990 akan mengadakan majlis pertemuan semula pada 16 Ogos depan.Program bertemakan "Selepas 20 Tahun" itu akan diadakan di Astana Dugang Country Resort di Bangi.

Pelbagai aktiviti dirancang pada majlis itu nanti termasuklah persembahan multimedia kenangan lalu, cabutan bertuah, sukaneka, solat berjemaah dan banyak lagi.

Perjumpaan itu diharap dapat mengeratkan hubungan silaturahim di samping bertukar-tukar pengalaman sepanjang tempoh 20 tahun yang lampau.

Mereka yang berminat diminta menghubungi Nor Fairani Ahmad di 019-382 5000 untuk maklumat lanjut dan pendaftaran.

Daftar pelajar UiTM tidak sampai seminit


SERI ISKANDAR 6 Julai - Universiti Teknologi Mara (UiTM) Perak berjaya mendaftarkan setiap pelajar barunya dalam masa kurang daripada satu minit semasa majlis pendaftaran sesi Julai/November 2008 baru-baru ini.

Pengarah Kampus UiTM Perak, Profesor Dr. Abdullah Mohamad Said berkata, kelancaran pendaftaran pada 29 Jun lalu itu adalah hasil strategi dan perancangan berkesan yang dilakukan pihaknya.

Beliau berkata, pihaknya mengambil masa dua minggu untuk merancang dan melatih semua pensyarah dan kakitangan yang terlibat semasa sesi pendaftaran bagi memastikan keselesaan pelajar dan keluarga mereka.

''Hasilnya seramai 1,800 pelajar baru tidak menunggu lama untuk proses pendaftaran dan ia secara tidak langsung menggembirakan keluarga yang menghantar mereka," katanya kepada Utusan Malaysia selepas menutup Minggu Mesra Siswa di sini hari ini.

Abdullah berkata, pihaknya juga menghargai pihak keluarga dan ibu bapa pelajar yang memberi kerja sama penuh apabila mereka mematuhi segala prosedur yang ditetapkan pihaknya.

Menurutnya, walaupun baru pertama kali pihak kampus berkenaan menerima kemasukan pelajar baru yang paling ramai berbanding kampus cawangan UiTM lain tetapi kerjasama semua pihak itu banyak membantu proses pendaftaran tempoh hari.

''Kampus ini sekarang mempunyai seramai 9,500 pelajar dan sebahagian besarnya ditempatkan di asrama yang telah disediakan," jelasnya.

Jangan lalai akibat kebebasan di universiti



Aksi menarik oleh para pelajar baru selepas Majlis Perasmian Haluan Siswa dan Upacara Lafaz Aku Janji pelajar baru 2008/09 di Universiti Malaya, baru-baru ini.


KE MANA hala tuju ratusan ribu remaja apabila mereka mula berada di menara gading untuk bergelar mahasiswa dan sedang melalui proses suai kenal sekarang?

Ini kerana, alam persekolahan yang ditinggalkan dan persekitaran universiti yang sedang dilalui adalah dua dunia yang berbeza dalam segala aspek.

Sehubungan itu Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya (UM), Tan Sri Arshad Ayub mengingatkan para remaja yang baru bergelar mahasiswa agar jangan taksub supaya mereka tidak terjerat dengan kejutan budaya.

Ini kerana kata beliau, ramai mahasiswa terjebak dengan kebebasan di universiti sebab sebelum ini mereka sentiasa diawasi oleh guru-guru di sekolah dan ibu bapa di rumah.

“Universiti bukan lagi alam untuk mendisiplinkan kehidupan individu, tetapi setiap mahasiswa itu sendirilah yang bertanggungjawab untuk mendisiplinkan diri sendiri.

“Setiap mahasiswa mesti membina hala tuju masing-masing dan para pensyarah hanya berfungsi sebagai pembantu,” katanya.

Untuk itu kata beliau, setiap mahasiswa mesti bijak mengurus kebebasan yang dimiliki dengan tidak bersikap taksub kepada sesuatu yang baru.

Tokoh akademik negara itu berkata demikian semasa merasmikan majlis Haluan Siswa dan Upacara Lafaz Aku Janji pelajar baru sesi 2008-2009 Universiti Malaya (UM) di Dewan Tunku Canselor universiti berkenaan pada 1 Julai lalu. Hadir sama Naib Canselor UM, Datuk Rafiah Salim.

UM menerima seramai 3,926 pelajar bagi kemasukan sesi Julai 2008-2009 dan untuk pertama kalinya menyaksikan peningkatan pelajar lelaki sehingga mencecah 36 peratus.

Arshad juga mengingatkan golongan mahasiswa khususnya yang baru, agar jangan leka dengan budaya khidmat pesanan ringkas (SMS) dan perbualan (chatting) di Internet.

“Budaya SMS dan chatting di Internet adalah pemusnah kepada penggunaan bahasa standard yang betul dalam penulisan,” katanya.

Malah, sikap terlalu mementingkan kecemerlangan akademik atau mengutamakan kegiatan berpersatuan dan kokurikulum sahaja juga akan menjejaskan masa depan seseorang mahasiswa.

Sebaliknya tegas Arshad, pelajar mesti menyeimbangkan keilmuan secara holistik dan bersaing secara sihat sebagai persediaan menghadapi pasaran kerja yang terlalu kompetitif sekarang.

“Tempoh empat tahun di universiti adalah masa untuk anda membina diri melalui keilmuan agar mampu berfikir tanpa membataskan bidang pengkhususan tertentu,” ujarnya.

Ini kerana tegas beliau, dalam setiap perjalanan yang penting bukanlah destinasi semata-mata tetapi apa yang ditempuh dan didapati sepanjang tempoh perjalanan tersebut.

Sementara itu, Rafiah berkata, UM telah menerima peruntukan sebanyak RM30 juta yang disediakan khusus untuk menampung kos pengajian ijazah pertama ke luar negara melalui program pertukaran.

Bagi tujuan itu menurut beliau, pihak universiti akan memastikan mahasiswa UM berkemahiran menguasai Bahasa Malaysia dan Inggeris pada tahap maksimum.

“Malah kami juga turut menyediakan program soft skill dengan syarikat swasta utama kepada tidak kurang 1,000 pelajar di tahun akhir,” ujarnya.

Program tersebut katanya, antara langkah yang menjamin pasaran kerjaya apabila mereka telah menamatkan pengajian.

Universiti Apex: IPTlayak diketahui Ogos ini


KUALA LUMPUR 7 Julai - Institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan yang layak menyertai program Universiti Apex akan diketahui selewat-lewatnya penghujung Ogos ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementeriannya akan membentangkan permohonan tersebut ke Kabinet dalam masa terdekat.

''Saya akan bentangkan perkara ini tidak lama lagi dan keputusannya terserah kepada perbincangan Kabinet.

''Kita akan tahu keputusan universiti mana yang akan mewakili program ini selewat-lewatnya Ogos depan,'' katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Meja Bulat Agensi Jaminan Kualiti ASEAN di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut, Pengerusi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Tan Sri Rais Abdul Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Datuk Dr. Syed Ahmad Hussein.

Mohamed Khaled berkata, setakat ini sebanyak sembilan IPT tempatan mengemukakan permohonan untuk menyertai program tersebut.

Menurutnya, empat daripada universiti berkenaan berorientasikan penyelidikan iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Sementara itu, lima universiti yang lain pula ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Sains Islam.

Universiti Apex ialah pengiktirafan yang diberikan kepada IPT tempatan untuk menjadi penanda aras di peringkat dunia dalam bidang pengajian tinggi.

Cadangan penubuhannya terkandung dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) Melangkaui Tahun 2020 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya pada 27 Ogos tahun lalu.

Di bawah PSPTN, Universiti Apex dijanjikan autonomi dari segi kewangan, skim perkhidmatan, pengurusan, pengambilan pelajar, kepimpinan tertinggi dan penetapan yuran pengajian.

Sementara itu, Khaled memberitahu, mesyuarat meja bulat yang pertama kali diadakan itu bertujuan meningkatkan hubungan dalam bidang pendidikan antara negara-negara Asia terutama melalui pendidikan tinggi.

''Antara objektif mesyuarat ini adalah untuk mewujudkan satu bentuk jaringan kerjasama antara pelbagai agensi jaminan kualiti bagi membentuk rangka kerja yang seragam,'' jelasnya.

Ismail dilantik sandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim


KUALA LUMPUR Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) mengumumkan pelantikan Datuk Dr. Ismail Ibrahim sebagai Penyandang Kursi Syeikh Abdullah Fahim di Institut Islam Hadhari universiti itu mulai 1 Julai lalu bagi tempoh dua tahun.UKM dalam kenyataannya memberitahu, bekas Duta Besar Malaysia ke Arab Saudi pada tahun 2005 hingga Februari 2008 itu mempunyai pengalaman lebih 30 tahun dalam bidang Pengajian Arab dan Tamadun Islam.

Lulusan Ijazah Kedoktoran Falsafah (Ph.D) dari Universiti St. Andrew, Scotland itu pernah menjadi Ketua Pengarah Institusi Kefahaman Islam Malaysia (IKIM) yang pertama selama 10 tahun dan berakhir 2002.

Ismail, 71, juga pernah menjadi Dekan Fakulti Pengajian Islam UKM dari tahun 1979 hingga 1991 sebelum menyertai pasukan petugas penubuhan Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).