Wednesday, April 30, 2008

Selendang Sakti dan Melati & Melur


Oleh Nazmi Yaakub


SEBAHAGIAN daripada babak Teater Melati & Melur.

Teater percuma pelajar Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu

PEMENTASAN dua teater Selendang Sakti dan Melati & Melur di Panggung Percubaan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, pada 5 dan 6 April ini, bakal menguji bakat lakonan dan pengurusan pentas kira-kira 112 pelajar Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pertama, Fakulti Pendidikan di universiti berkenaan.

Selendang Sakti karya Rebecca Reisert diadaptasi Raihani Mohd Saaid di tangan pengarahnya, Radhiah Mohd Dom, mengangkat kisah Raja lakonan Kamarul Syaifudin Wajahudin yang mengambil keputusan drastik mahu meninggalkan singgahsana untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan roti.


Demi mencapai hasratnya, Raja yang gemar memasak itu mahu mengahwinkan puterinya, Puteri Aira lakonan Salinah Sawal dengan anak saudaranya, Putera Abu Bakar (Hassan Sirajuddin) kerana beliau berpendapat anak perempuan tidak boleh memerintah dengan baik tanpa bimbingan suami.

Bagaimanapun, Maharani Balu (Noor Suhaili Suhaimi) bersenjatakan selendang sakti yang mampu menundukkan orang lain untuk mengikut perintahnya, menggunakan sihir itu dengan tujuan menguasai negeri terbabit dan merompak harta kerajaan sehingga menyebabkan Puteri Aira memerintahkan agar wanita itu dibicarakan.

Rancangan untuk membawa Maharani Balu ke muka pengadilan gagal, menyebabkan Raja dan Puteri Aira terpaksa melarikan diri ke Bandar, lalu membuat perancangan baru untuk merampas takhtanya kembali.

ANTARA babak Teater Selendang Sakti yang dipentaskan pelajar Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu UPM.

Naskhah Melati & Melur karya Lenny Erwan yang turut diadaptasi Raihani pula membawa mesej politik di sebalik pertembungan dua adik-beradik, Melati lakonan Citra Dewi Saidy dan Melur (Haslinda Awaludin) yang mewakili pergeseran dua kelompok dalam negara.

Di tangan Pengarahnya, Syakila Menhuri, dua beradik yang turut mempunyai adik bongsu, Mazlan (Razyff Mohd Rodzi) yang cacat pendengaran itu, berselisih pendapat apabila Melati mahukan kehidupan yang lebih baik untuk Melur walaupun tindakan itu dianggap cuba mengongkong kehidupannya.

Melati menjadi pengacara rancangan bicara yang terkenal, manakala Melur pula remaja lepasan sekolah yang bekerja di restoran makanan segera Sugar Queen dan jatuh cinta pada penyelianya, Hazwan (Syawal Idham Shafei) terpaksa mencari jalan untuk mengatasi pergeseran mereka.

Selendang Sakti sebagai drama muzikal dan Melati & Melur sebagai drama moden turut dimeriahkan dengan nyanyian koir, sekali gus menjadi halwa telinga kepada penonton terbabit.

Galak pelajar IPT kerja separuh masa



STATISTIK Kementerian Sumber Manusia menyatakan 400,000 rakyat negara ini tidak mempunyai pekerjaan walaupun ada hampir dua juta pekerja asing mencari nafkah secara sah seperti dilaporkan melalui akhbar ini, Sabtu lalu. Keadaan ini perlu diteliti dan difikirkan semua pihak kerana angka itu terlalu banyak, melebihi populasi penduduk Perlis.

Sektor perindustrian, pembuatan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan yang dikatakan tidak diminati golongan muda negara ini memungkinkan perkara itu berlaku. Adakah benar golongan muda tidak berminat bidang itu yang dianggap berat, kotor dan tidak sesuai dengan diri mereka serta dianggap kerjaya kelas ketiga?

Sekiranya diteliti dengan jelas, banyak pihak sebenarnya bertanggungjawab menyebabkan kebanjiran pekerja asing dan keengganan golongan muda negara tidak boleh dipersalahkan seratus peratus. Saya yakin masih ada golongan muda ingin memenuhi keperluan pekerjaan dalam sektor pembinaan, perindustrian dan perkhidmatan.


Jika anda berpeluang ke kawasan perindustrian Bayan Lepas Pulau Pinang, perhatikan dengan teliti memang anak muda tempatan bekerja di situ sebagai operator pengeluaran dengan ada antara mereka adalah pemegang ijazah dan diploma dalam pelbagai bidang. Persoalannya benarkah mereka memilih?

Keengganan syarikat swasta dalam sektor terbabit menggaji pekerja tempatan dan lebih ke arah untuk menggaji pekerja asing juga dijadikan penyebab kebanjiran pekerja asing ini.

Memang tidak dinafikan upah kepada pekerja asing jauh lebih murah daripada pekerja tempatan. Ia sesuai dengan konsep asas ekonomi iaitu membuat pengeluaran dengan kos murah untuk menjamin keuntungan berlipat kali ganda. Tetapi adakah syarikat seperti itu perlu dipersalahkan?

Hasrat penubuhan Institut Latihan Jabatan Negara Manusia (ILJTM) melahirkan lebih ramai tenaga mahir kompetitif untuk keperluan sektor tertentu, dilihat bertepatan menyelesaikan perkara ini.

Dengan tersedia sumber manusia yang dapat memenuhi kriteria diperlukan sektor itu, masalah kebanjiran pekerja asing ini boleh diselesaikan. Tetapi ia memerlukan kerjasama semua pihak. Syarikat perlu lebih terbuka menerima pekerja tempatan dan pekerja tempatan perlu lebih sedia menerima sesuatu pekerjaan tanpa memikirkan taraf pekerjaan terbabit.

Pada hemat saya, untuk mengurangkan kebanjiran pekerja asing dalam sektor tertentu seperti perindustrian dan perkhidmatan, syarikat swasta digalakkan mengambil lebih ramai pekerja separuh masa.

Banyak pihak enggan menerima pekerja separuh masa kerana memungkinkan berlaku kekurangan kakitangan yang boleh menjejaskan operasi sekiranya pekerja ini berhenti.

Selain itu, pekerja separuh masa selalunya kurang terikat dengan sebarang peraturan syarikat seperti pekerja sepenuh masa yang membolehkan majikan mengawal mereka secara menyeluruh.

Beberapa langkah boleh dilakukan kerajaan untuk menggalakkan syarikat dalam sektor ini mengambil pekerja tempatan iaitu mungkin dengan menurunkan cukai beberapa peratus dan kemudahan pinjaman bank. Mungkin timbul pula soalan bagaimana kita dapat memastikan tenaga pekerja separuh masa mencukupi.

Saban tahun, pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasata (IPTS) meningkat dari masa ke masa. Universiti pula kebanyakannya beroperasi di seluruh negara yang berhampiran dengan syarikat di sektor perkhidmatan dan perindustrian seperti Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang berhampiran dengan kilang dan hotel. Contoh lain ialah di Kuala Lumpur, Selangor.

Pelajar ini boleh diambil bekerja separuh masa jika difikirkan perlu kerana jumlah mereka yang ramai. Logiknya perkara ini seperti tidak dapat dilakukan kerana pelajar perlu menghadiri kuliah dan tidak mempunyai masa.

Kepadatan jadual pembelajaran pelajar mungkin dijadikan alasan mengapa ia tidak boleh dilakukan. Ada hubungan terus antara kepadatan jadual pembelajaran dan subjek yang diambil di universiti. Sekiranya pengajian di universiti dapat dirombak iaitu dengan mengurangkan jumlah mata pelajaran pada setiap semester atau kursus, masalah kepadatan ini dapat diselesaikan dan pelajar boleh bekerja.

Jadual juga perlu dirombak iaitu dengan mengehadkan hari untuk ke kuliah iaitu dengan nisbah 3:4 atau 4:3 iaitu tiga hari kuliah dan empat hari bekerja atau sebaliknya.

Jika sistem pengajian dapat dirombak, disertai pula kerjasama daripada majikan sektor berkaitan, saya yakin kita dapat menyelesaikan masalah pekerja asing dalam jangka masa panjang dan pada masa sama jumlah graduan menganggur dapat dikurangkan.

Faedahnya kepada mahasiswa ialah mereka dapat menjana pendapatan sendiri untuk menyara hidup sepanjang pengajian di universiti tanpa bergantung bantuan ibu bapa atau pinjaman pengajian seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Negara juga dapat melahirkan pelajar bermutu pada masa depan kerana graduan tidak akan berasa kekok untuk bekerja selepas terdedah dengan alam pekerjaan daripada awal lagi.

Mereka dapat mempelajari kemahiran lain yang tidak dapat dipelajari di universiti seperti komunikasi dan pentadbiran. Dengan adanya graduan berkualiti, masalah graduan menganggur dapat dikurangkan atau diselesaikan secara beransur.

Penilaian menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan perkara ini terjadi. Ia nampak rumit kerana banyak perkara yang perlu diteliti dan membabitkan banyak pihak iaitu kerajaan, universiti, syarikat dan pelajar. Bagaimanapun, sekiranya ia dapat direalisasikan, masalah kebanjiran pekerja asing akan berakhir atau mungkin satu hari nanti negara tidak perlu lagi bergantung kepada pekerja asing.

MOHD HIDY MD DZAHIR,
Bandar Seri Damansar,
Kuala Lumpur.

Jatuh cinta pandang pertama di Oxford


Oleh Salina Abdullah


HOTEL Malmaison Oxford.

Seni bina seiring kecemerlangan akademik

TIDAK pernah terlintas di fikiran untuk menjadi penghuni penjara! Tetapi itulah yang berlaku. Pada 22 November lalu, penulis secara rasminya bergelar 'banduan'!

Terus terang penulis katakan, penulis tak bersalah. Penulis tidak melakukan apa-apa jenayah pun, tapi tetap 'dihukum'! Bilik 134. Itulah sel tempat penulis ditempatkan.


Adilkah dunia ini?

Memang teramat adil kerana bilik kurungan yang `dihadiahkan' kepada penulis bukan sebarang penjara, ia penjara yang memanjakan dan memberi penuh keselesaan. `Penjara' kelas satu!

Hotel Malmaison Oxford, `penjara' yang menempatkan penulis adalah bekas penjara. Dengan mengekalkan sebahagian besar binaan asal Penjara Oxford itu, tidak keterlaluan jika dikatakan tiada siapa akan menjangka hotel itu asalnya sebuah penjara (kecuali jika sudah diberitahu terlebih dulu asal-usul hotel itu dan pasti jugalah penduduk tempatan).

KOLEJ Christ Church.

Penulis tahu Hotel Malmaison ini adalah bekas penjara ketika masih lagi di tanah air. Pengurus Pemasaran dan Komunikasi VisitBritain Malaysia, Sumathi Ramanathan, yang menguruskan pengembaraan penulis ke bandar luar London ini, pernah memaklumkan perkara itu.

Katanya, penulis pasti akan seronok menginap di Hotel Malmaison, hotel yang dimajukan di atas bekas penjara.

Menarik tapi menakutkan juga. Kepala sudah membayangkan hotel ini pastinya `berhantu'. Namun, sebaik mata terpandang, bagaikan jatuh cinta pandangan pertama! Unik, menarik, tidak langsung membayangkan hotel butik ini dulunya sebuah penjara yang `menyimpan' rahsia penjenayah.

Patutlah hoetl ini mendapat pelbagai pengiktirafan, antaranya

PERPUSTAKAAN Bodleian.

Conde Nast (CN) Traveller Hot Hotel Award 2006 dan AA Hotel Group of The Year 2007.

Terletak di nadi Oxford, hotel ini (dulunya Penjara Oxford) adalah sebahagian daripada Istana Oxford, yang dibina pada 1071. Menjadi tempat penginapan keluarga Diraja pada awalnya, istana ini kemudiannya turut digunakan sebagai pusat pentadbiran kerajaan, mahkamah dan penjara. Malah, ia aktif digunakan sebagai tempat kurungan pesalah hingga 1996.

Kalau sudah namanya penjara, pasti ada kisah pelik dan menyeramkan, getus hati penulis. Penulis ajukan soalan kepada Jean Slater, pemandu pelancong, kalau-kalau ada kes bunuh, penjenayah yang membunuh diri di penjara itu. Yalah, untuk `keselamatan' waktu tidur malam nanti.

Ada, jawabnya ringkas! Aduh, kata orang kenapa perlu takutkan `hantu', ia hanya mainan syaitan. Tetapi, kalau sudah namanya manusia, meremang jugalah bulu roma sambil berharap janganlah `berlaku' apa-apa malam nanti.

Kisah seram terhenti setakat itu apabila Jean `memandu' penulis dan seorang lagi rakan, N Shashi Kala menjelajah bandar Oxford. Destinasi pertama, tempat makan.

Cafe yang kami singgah awal petang itu, kecil saja, ringkas, namun sajiannya dipersembahkan amat menarik. Paling penting, enak.

Mushroom toast (roti bakar cendawan) yang penulis nikmati petang itu memang lazat, disulami secawan teh panas dalam cuaca sejuk musim dingin...memang mengasyikkan.

Ia terletak betul-betul berhadapan Kolej Christ Church, kolej terbesar Universiti Oxford, antara universiti terkemuka di dunia (antara satu sebab lagi penulis begitu teruja bila tiba di Oxford). Juga berdekatan gerai menjual cenderahati watak filem kanak-kanak terkemuka, Alice's Adventures in Wonderland.

Perut kenyang, hati senang, kami mulakan penjelajahan ke Universiti Oxford atau lebih dikenali sebagai Oxford saja. Terus terang penulis kata, inilah saat yang penulis nanti-nantikan. Siapa yang tidak menyimpan hasrat untuk bergelar mahasiswa Oxford, antara universiti terkemuka di dunia?

Tak dapat bergelar mahasiswa dan graduan Oxford pun tak apalah, menjejakkan kaki di situ sudah cukup menggembirakan. Ramai orang terkemuka melanjutkan pengajian di universiti yang dikelaskan sebagai universiti terbaik di United Kingdom (berdasarkan ranking Times Good University Guide 2008 dan Guardian University Guide) dan ke-10 terbaik di dunia pada 2007 oleh Academic Ranking of World Universities).

Tidak hairanlah jika 25 lima Perdana Menteri British dilahirkan universiti ini, antaranya Margaret Thatcher dan Tony Blair. Universiti ini yang turut `menjemput' pelajar dari negara luar turut menjadi pilihan ketua negara luar seperti Raja Abdullah II dari Jordan dan Raja Harald V (Norway).

Begitu juga tiga Perdana Menteri Australia (John Gorton, Malcolm Fraser dan Bob Hawke); dua Perdana Menteri India (Manmohan Singh dan Indira Gandhi); Zulfiqar Ali Bhutto dan Benazir Bhutto (Pakistan) serta Presiden Amerika, Bill Clinton.

Saintis terkemuka, Stephen Hawking, Richard awkins dan pemenang Anugerah Nobel dalam bidang sains, Anthony James Legget serta pencipta World Wide Web, Tim Berners-Lee juga melanjutkan pengajian di Oxford. Begitu juga penulis Clive Staples "Jack" Lewis (C S Lewis), penulis Chronicles of Narnia.

Selain itu, aktivis dan juga pemenang Anugerah Nobel, Aung San Suu Kyi juga lahir dari universiti ini. Beliau adalah graduan Kolej St Hugh, kolej yang turut melahirkan Khairy Jamaluddin, Naib Ketua Pergerakan Pemuda Umno.

Universiti Oxford memang menarik. Bukan saja kerana aspek akademiknya, seni bina bangunan setiap kolejnya juga menarik. Begitu juga dengan perpustakaan utamanya, Perpustakaan Bodleian. Lebih menarik, perpustakaan kedua terbesar di United Kingdom ini (selepas Perpustakaan British) menempatkan lebih lapan juta bahan bacaan dengan rak buku sepanjang 187.2 kilometer (117 batu)!

Dengan 39 kolej di bawah universiti ini, tidak keterlaluan jika dikatakan bandar Oxford adalah bandar universiti menjadikan kedai buku, orang muda (penuntut universiti) juga basikal (yang menjadi antara pengangkutan utama penuntut) suatu pemandangan biasa.

Penjelajahan bandar universiti terhenti apabila matahari tidak lagi menyinar seawal jam 4 petang (matahari terbenam awal pada musim sejuk). Tambahan pula, kami menerima undangan menghadiri jamuan di Istana Bleinheim, istana yang diiktiraf sebagai antara Warisan Dunia.

Menariknya istana ini, ia bukanlah sebuah istana biasa yang menjadi tempat penginapan keluarga Diraja. Istana Bleinheim adalah rumah penginapan yang mendapat taraf istana dan rumah terbesar di England.

Seperti bangunan lain di Oxford, Istana Blenheim yang terletak

di Woodstock, Oxfordshire, 12.8 kilometer ke utara Oxford ini juga tidak terkecuali dengan keunikan seni binanya dan hiasan dalamannya. Jika anda ke Oxford, jangan lepaskan peluang berkunjung ke istana ini, yang dibuka untuk tatapan awam setiap hari sepanjang tahun kecuali pada Hari Krismas.

Bagi penulis, tidak banyak yang perlu dilakukan Oxford untuk menjemput pengunjung ke bandarnya.

Oxford sememangnya dikurniakan keindahan seni bina, landskap juga sejarah yang cukup membuatkan ramai tidak mengecualikannya dalam perancangan percutian.

Mungkin kerana itu juga ia menjadi tarikan bagi pembuat filem. Filem Harry Porter umpamanya menggunakan universiti terkemukanya, Universiti Oxford untuk babak dalam filem berkenaan.

Secara peribadi, penulis amat menyukai bandar ini. Seawal sampai, perasaan suka sudah berputik. Bandarnya bersih, nampak kemas, tersusun, bangunan lama yang dikekalkan menambah keindahan bandar - bahan binaannya, blok batu dengan warna semula jadi, tidak dicat, ditambah pula dengan seni bina yang unik dan menawan.

Ditambah pula dengan Universiti Oxford dan Hotel Malmaison. Pastinya malam itu, tidur penulis di Hotel Malmaison berlalu dengan aman walaupun sebelum mata dipejam macam-macam perkara menyeramkan penulis bayangkan.

Kesimpulannya, hati penulis terpenjara di Oxford. Pasti, bandar ini akan menjadi destinasi pilihan kala berkesempatan kelak.

Untuk maklumat lanjut mengenai Oxford, layari laman web www.bestofbritain.com.

Istana Oxford

  • Terletak di Oxford, istana ini dibina oleh bangsawan Norman (Normandy), Robert D'Oyly pada 1071 (sejurus selepas penaklukan England oleh Normandy pada 1066).

  • Antara istana tertua di United Kingdom, istana ini menjadi tempat penginapan Maharani Matilda pada 1141 sehingga istana itu dikepung oleh raja.

  • Selain menjadi tempat penginapan keluarga Diraja, ia juga menjadi pusat pentadbiran pihak berkuasa. Perbicaraan dijalankan di sini dan walaupun rekod menunjukkan ia menjadi penjara pada 1230, ia dikatakan menjadi tempat tahanan penjenayah jauh lebih awal.

  • Ia terus beroperasi sebagai penjara sehingga 1996. Projek Warisan Istana Oxford kemudiannya mengubah istana dan penjara menjadi tempat tumpuan awam dan kompleks warisan tanpa menjejaskan sejarah dan warisan bangunan terbabit membabitkan dana sebanyak £3.8 juta (kira-kira RM24.3 juta).

  • Kompleks Istana Oxford ini dibuka pada kini merangkumi pusat beli-belah, pusat persembahan teater dan paling menarik, hotel mewah, Hotel Malmaison, hotel pertama di United Kingdom yang dibangunkan daripada bekas penjara.

    University of Oxford

  • Juga dikenali sebagai Oxford saja, ia adalah universiti tertua di negara berbahasa Inggeris.

  • Tarikh penubuhannya tidak dapat dipastikan namun ia sudah wujud sejak abad ke-11.

  • Pertelingkahan yang berlaku antara penuntut Oxford dan penduduk sekitar pada 1209 menyebabkan ramai ahli akademiknya berhijrah ke bahagian timur laut Cambridge dan menubuhkan Universiti Cambridge. Sejak itu, dua universiti ini sering bersaing antara satu sama lain.

  • Universiti ini merangkumi 39 kolej, dengan struktur dalaman dan aktiviti tersendiri. Semua kolej dipantau oleh pentadbiran pusat.

  • Kolej Christ Church adalah kolej terbesar di universiti ini. Diasaskan oleh Cardinal Wolsey pada 1525 dan dikenali sebagai Kolej Cardinal sebelum bertukar nama kepada Christ Church pada 1545. Ia adalah satu-satunya kolej yang mempunyai gereja dalam kawasannya. Pengarang Alice's Adventures in Wonderland, Lewis Caroll adalah antara penuntut kolej ini.

  • Universiti ini turut menjadi pilihan sebagai lokasi penggambaran filem. Filem Harry Porter turut menampilkan Kolej Christ Church malah Dewan Hogwarts (dewan makan) di kolej itu dijadikan ilham untuk babak dalam filem berkenaan.

  • Perpustakaan pusat universiti ini, Perpustakaan Bodleian juga sering digunakan untuk lokasi penggambaran.

    Istana Blenheim

  • Terletak di Woodstock, Oxfordshire, 12.8 kilometer ke utara Oxford, istana ini adalah antara rumah terbesar di England.

  • Ia adalah satu-satunya rumah penginapan yang mendapat taraf istana. Mula dibina pada 1705 dan siap pada 1722, istana ini dibina sebagai hadiah kepada John Churchill, Duke Malborough yang pertama diatas kejayaannya menentang Perancis dan Bavaria.

  • Istana ini juga terkenal sebagai tempat kelahiran Perdana Menteri, Sir Winston Churchil pada 1874. Kini, ia menjadi tempat penginapan Duke Marlborough Ke-11 dan keluarganya.

  • Diiktiraf sebagai antara Warisan Dunia pada 1987.

  • Istana ini juga dibuka kepada umum setiap hari sepanjang tahun kecuali pada Hari Krismas.

  • Untuk maklumat lanjut, layari www.blenheimpalace.com.
  • Insan genius jadi pengebom bersiri

    Oleh Nasron Sira Rahim



    PADA 22 Mei 1942, lahir seorang bayi lelaki genius yang kemudian membesar menjadi ikon ‘legenda’ dalam sejarah dunia.

    Kepintaran anak pasangan Richard Kaczynski dan Wanda Theresa itu terserlah sejak kecil lagi apabila dia berjaya melompat kelas dari gred lima terus ke gred tujuh di sekolah Evergreen Park Central, Illinois, Amerika Syarikat (AS).

    Ujian kepintaran yang dijalankan juga mendapati kanak-kanak itu, Theodore Kaczynski, memiliki tahap kepintaran (IQ) luar biasa iaitu 170 berbanding manusia biasa sekitar 110.

    Laluan kehidupan Kaczynski bagaimanapun berubah apabila dia melompat kelas. Sebagai kanak-kanak lebih muda berbanding pelajar lain dalam gred tujuh, dia gagal menyesuaikan diri malah menjadi ejekan pelajar lebih berusia.

    Akibatnya, perkembangan sosial Kaczynski menurun. Dia takut bergaul dengan orang ramai, sering bermain seorang diri dan satu-satunya rakan beliau adalah seorang kanak-kanak lelaki terencat akal.

    Bagaimanapun, masalah itu tidak menjejaskan kepintarannya dan dia sekali lagi melompat gred 11 ketika di Sekolah Tinggi Evergreen Park Community. Hasilnya, beliau menamatkan pengajian sekolah tinggi dua tahun lebih awal berbanding remaja lain, malah diterima masuk ke universiti terkemuka dunia, Universiti Harvard ketika baru berusia 16 tahun.

    Kaczynski menamatkan pengajiannya di Harvard pada 1962, sebelum menyambung sarjana serta doktor falsafah (Phd) dalam bidang Matematik di Universiti Michigan. Beliau memperoleh Phd dengan menyelesaikan masalah matematik yang teramat sukar sehingga gagal diselesaikan pakar matematik universiti itu, dalam tempoh kurang setahun.

    Ketika musim luruh 1967, Kaczynski memulakan kerjayanya sebagai pensyarah Matematik di Universiti California dan menjuruskan kepakarannya dalam ‘teori fungsi geomatrik’ di mana hanya 10 atau 12 orang saja yang memahami bidang itu di AS.

    Bagaimanapun, dua tahun kemudian, tanpa sebarang sebab, dia meletakkan jawatan walaupun dipujuk pihak universiti yang menyedari bakatnya. Dia bertegas meletakkan jawatan seterusnya keputusan itu menjadi episod permulaan kepada ‘sumbangan besarnya’ dalam sejarah dunia.

    Sembilan tahun kemudian iaitu pada Mei 1978, satu bungkusan aneh ditemui di lot letak kenderaan Universiti Northwestern. Pengawal kampus, Terry Marker, membuka bungkusan itu dan dengan tiba-tiba, ia meletup sehingga mencederakan lelaki itu.

    Belumpun tragedi pengeboman itu reda, satu lagi bom dijumpai dalam kargo pesawat American Airlines dari Chicago ke Washington pada 1979. Bom itu mengeluarkan asap sehingga menyebabkan penumpang sesak nafas dan juruterbang terpaksa membuat pendaratan cemas. Mangsa bernasib baik kerana sistem masa bom itu rosak menyebabkan ia gagal meletup.

    Cubaan meletupkan pesawat itu menyebabkan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) memandang serius kes berkenaan. Persamaan modus operandi dengan kes letupan Universiti Northwestern meyakinkan mereka bahawa dalang dua kes bom bersurat itu adalah orang yang sama.

    Mereka menamakan kes itu sebagai ‘Unabomb’ iaitu singkatan kepada ‘pengeboman universiti dan syarikat penerbangan’ manakala suspeknya digelar ‘Unabomber’.

    Ketika FBI bingung mengesan dalang jenayah bersiri itu, beberapa lagi bom bersurat meletup di AS sehingga ramai cedera dan dua mangsa terbunuh.

    Selepas 17 tahun gagal mengesan Unabomber, pihak berkuasa akhirnya mendapat petunjuk baru apabila penjenayah menghantar surat kepada akhbar dan mangsanya bagi menyatakan matlamat tindakannya.

    Dalam suratnya, dia meminta manifesto yang ditulisnya bertajuk ‘Masyarakat Perindustrian dan Masa Depannya’ dicetak dalam akhbar utama dan memberi jaminan yang kempen keganasannya akan berakhir selepas ia dicetak.

    Pada 19 September 1995, akhbar New York Times dan Washington Post menyiarkan manifesto dikenali ‘Manifestor Unabomber’ itu yang antara lain menentang sektor perindustrian.

    Awal 1996, pengkaji profil FBI, Clinton R Van Zandt dihubungi pemberi maklumat, Tony Bisceglie yang memintanya membandingkan tulisan Unabomber dengan tulisan dalam surat yang dihantar adik majikan Bisceglie.

    Van Zandt mula menganalisis tulisan itu dan yakin ia ditulis orang yang sama. Persamaan tulisan itu kemudian membawa sepasukan polis menjejaki kabin terasing milik Unabomber di Lincoln, Montana pada 3 April 1996. Mereka mula menunggu dan sebaik suspek melangkah keluar, pasukan polis segera menyerbu lelaki terbabit.

    Berita penahanan Unabomber segera mendapat liputan meluas media. Wajah pengebom bersiri itu dipaparkan di kaca televisyen dan dada akhbar.

    Ketika itulah beberapa pihak yang mengenalinya terkejut teramat - lelaki itu adalah Thedore Kaczynski, insan genius yang mensia-siakan kepintarannya dengan menjadi pengebom bersiri paling terkenal dan ditakuti dalam sejarah jenayah dunia.

    INFO: Unabomber

    * Kaczynski dihukum penjara seumur hidup tanpa parol selepas mengaku salah terhadap semua tuduhan yang dikenakan terhadapnya.

    * Keseluruhannya, 16 bom dihantar Unabomber sepanjang 18 tahun keganasannya sehingga menyebabkan 23 mangsa cedera dan tiga terbunuh.

    * Polis menjumpai bukti termasuk bom buatan sendiri dan manifesto asli dalam kabinnya.

    * FBI menawarkan ganjaran AS1 juta kepada mereka yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya Unabomber.

    Penubuhan sekretariat cegah rasuah di IPT disokong

    KEMENTERIAN Pengajian Tinggi (KPT) dengan kerjasama Badan Pencegah Rasuah (BPR) baru-baru ini melahirkan idea untuk menubuhkan Sekretariat Pencegahan Rasuah di institusi pengajian tinggi (IPT).

    Sekretariat membabitkan 20 IPT di seluruh negara itu diharapkan menyediakan garis panduan, mengeluarkan risalah serta mengadakan pelbagai program berkaitan pencegahan rasuah.

    Penubuhan sekretariat itu dialu-alukan dan perlu direalisasikan. Berdasarkan pengalaman menjadi pelajar dan pengajar di universiti, kes menyogok dan menerima rasuah di universiti memang berlaku.

    Kes berlaku secara tersurat atau tersirat menggambarkan amalan rasuah dan penyalahgunaan kuasa yang dikhuatiri terus berleluasa di universiti. Ia dikaburi dengan tanggapan bahawa ia murni dan tiada niat buruk. Kononnya, inilah konsep ‘menang-menang’ yakni ‘kau dapat apa kau mahu dan aku dapat apa yang aku mahu.’

    Sehingga pada satu tahap, kerana kelazatan mendapat faedah melalui saluran ‘haram’ ini, ada sesetengah pihak di universiti menjadi ketagih dan tidak segan silu meminta rasuah. Kes sogokan rasuah yang kelihatannya semakin menjadi-jadi mutakhir ini membuktikan penyakit sosial itu masih kental menghantui masyarakat merentasi pelbagai usia, pangkat, sektor pekerjaan, bangsa dan jantina, termasuk warga universiti.

    Gejala rasuah merobohkan kesucian dan martabat universiti sebagai gedung ilmu dan melunturkan kredibiliti dan keperibadian seseorang pensyarah atau pentadbir jika benar mereka mengamalkannya. Ironinya, elemen keikhlasan, keadilan dan berusaha bersungguh-sungguh untuk mendapatkan kejayaan turut luntur dalam jiwa penerima dan pemberi rasuah yang mencari jalan pintas mencapai matlamat masing-masing.

    Dari perspektif Islam, kita ditegah terbabit dengan rasuah dan ia dianggap melakukan dosa. Firman Allah SWT dalam surah al-Baqarah, ayat 188 bermaksud “Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang lain) di antara kamu dengan jalan salah, dan jangan pula kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya).”

    Islam menuntut ummah tidak mencari jalan singkat dan haram mendapatkan rezeki tetapi berusaha bersungguh-sungguh mencari rezeki halal dan diberkati Allah SWT.

    Rasuah mempunyai implikasi negatif sama ada kepada pemberi atau penerima. Pemberi rasuah dangkal dan akan mencari jalan singkat dengan memberi suapan untuk mendapatkan sesuatu. Penerima rasuah pula menjadi ketagih dan mahukan lagi suapan demi suapan kerana seronok menikmati rezeki haram.

    Bagaimanapun, penerima rasuah sentiasa rasa tidak selamat kerana selalu mencurigai orang lain, menjadi tidak adil dan tidak amanah. Pemberi rasuah pula akan bertambah kuat perasaan tamak dan halobanya dengan mengamalkan ‘quid pro quo’ atau berkorban sedikit untuk mendapatkan habuan lumayan.

    Rasuah membuatkan seseorang menjadi tidak rasional hilang keikhlasan bekerja kerana selalu memikirkan jalan untuk mendapatkan ganjaran dengan cara mudah dan cepat. Bahkan, akan wujud perasaan ‘hendak raih keuntungan sendiri’ dengan menerima rasuah.

    Kemewahan dan kesenangan yang diterima atas tiket rasuah langsung tidak diberkati Allah, bahkan mendorong ke arah pembaziran dan penyalahgunaan kuasa serta pangkat. Rezeki dan harta benda bersumberkan sesuatu yang haram seperti rasuah, akan menjadi bahan menjerumuskan seseorang ke dalam api neraka di akhirat kelak.

    Usaha pembentukan sekretariat pencegahan rasuah ini perlu direalisasikan dan juga disokong semua warga IPT.

    Inilah landasan terbaik membimbing semua pihak mengenai bahaya rasuah yang menghancurkan kewarasan fikiran dan merobohkan status universiti sebagai wadah penyebar keilmuwan paling terulung.

    KHAIRUNNEEZAM MOHD NOOR,
    La Trobe University Melbourne Australia.

    PTPTN kaji caj tiga peratus

    Oleh Amirullah Andi Nur

    Datuk Idris Haron

    Menteri arah bayaran perkhidmatan diteliti bagi kurang beban peminjam

    MELAKA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diarah mengkaji semula kadar caj perkhidmatan tiga peratus yang kini dikenakan kepada semua peminjamnya bagi mengurangkan beban mereka membayar balik pinjaman itu.

    Arahan itu dibuat selepas isu caj perkhidmatan PTPTN dibangkitkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dalam mesyuarat kementerian baru-baru ini berikutan banyak rungutan yang diterima mengenainya.

    Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron, berkata Mohamed Khalid sudah mengarahkan supaya PTPTN membuat kajian mengenai caj perkhidmatan itu dengan tujuan memberi keselesaan kepada peminjam.

    “Arahan itu dibuat selepas beliau meneliti pelbagai rungutan berkaitan isu berkenaan yang disampaikan banyak pihak termasuk pelajar dan ibu bapa,” katanya selepas merasmikan Forum Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) Bersama Industri, di sini, semalam.

    Program sehari ini dihadiri kira-kira 150 peserta dari empat universiti teknikal, iaitu Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

    Bagaimanapun, Idris enggan mengulas jika arahan itu termasuk meminta PTPTN supaya mengurangkan caj perkhidmatan itu yang dianggap membebankan peminjam, sebaliknya meminta semua pihak menunggu hasil kajian berkenaan.

    Beliau menegaskan, caj perkhidmatan tiga peratus yang kini dikenakan PTPTN bukan bertujuan membebankan peminjam khususnya pelajar yang baru menamatkan pengajian, sebaliknya diwujudkan bagi membiayai pengurusan PTPTN supaya ia dapat beroperasi dengan lancar.

    Katanya, peminjam harus sedar wang yang digunakan untuk membiayai mereka sepanjang tempoh pengajian diperoleh daripada sumber kewangan lain yang turut mengenakan pelbagai caj kepada kerajaan pada kadar yang jauh lebih tinggi.

    “Namun, kerajaan bersikap prihatin kerana sanggup menyerap hampir semua kos yang tinggi itu dan hanya mengenakan tiga peratus caj perkhidmatan bagi memastikan semua peminjam PTPTN tidak perlu menanggung beban.

    “Caj perkhidmatan yang dikenakan PTPTN itu sebenarnya lebih menjurus kepada komitmen bagimemastikan dana daripada tabung berkenaan dapat terus disalurkan, sekali gus memastikan ia berjalan lancar,” katanya.

    Idris yang juga Exco Pemuda Umno turut menegur segelintir peminjam PTPTN yang masih berdegil dan enggan membuat pembayaran balik walaupun selepas beberapa kali diberi notis peringatan, selepas menamatkan pengajian dan bekerja.

    “Mereka perlu sedar, bayaran balik mesti dibuat untuk menjamin kesinambungan PTPTN. Kalau enggan bayar balik, ia boleh diibaratkan seperti menganiaya adik atau anak sendiri yang nanti mungkin tidak mendapat pinjaman kerana tabung itu kehabisan dana,” katanya.

    Pada 19 April lalu, akhbar ini melaporkan kira-kira 17,500 peminjam PTPTN akan diheret ke mahkamah secara berperingkat dalam tempoh terdekat kerana gagal memberi maklum balas kepada agensi itu berhubung notis tuntutan diserahkan kepada mereka sejak 1997.

    Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Yunos Abdul Ghani, dilaporkan berkata nama 14,000 daripada mereka sudah diserahkan ke Jabatan Imigresen dan berkuat kuasa serta-merta mereka dihalang ke luar negara, manakala nasib 3,500 individu masih belum diputuskan di mahkamah.

    Januari lalu, PTPTN juga sudah menghantar senarai nama 200,000 peminjamnya yang ingkar membayar balik pinjaman kepada Jabatan Imigresen bagi menghalang mereka ke luar negara, termasuk untuk mengerjakan haji atau umrah.

    PTPTN berkata, tindakan tegas menyenaraihitamkan nama serta mengambil tindakan mahkamah terhadap peminjam itu terpaksa diambil selepas mereka berdegil dan bersikap acuh tak acuh dalam soal pembayaran balik pinjaman.

    RnD gubal dasar pendidikan khas


    Oleh Srihanasham Noordin

    3 IPT bekerjasama kaji program pelajar istimewa

    JOHOR BAHRU: Kementerian Pelajaran mengadakan kerjasama dengan tiga universiti tempatan yang menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan pelajar berkeperluan pendidikan khas bagi merangka, menggubal dan melaksana dasar untuk pelajar istimewa di negara ini.

    Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata hasil kajian tiga universiti itu, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) mengenai pendidikan khas dapat membantu kerajaan merencana sistem pendidikan khas negara.


    Beliau berkata, hasil penyelidikan itu boleh dijadikan asas menggubal dasar dan diperluaskan untuk pembinaan kokurikulum, latihan, infrastruktur dan peralatan, penentuan anggaran belanjawan dan pengajaran pembelajaran.

    Katanya, inisiatif diambil pelbagai pihak yang menjalankan penyelidikan itu dapat menjimatkan masa dan kos kerajaan dalam merancang, melaksana dan memantau program pendidikan khas menyebabkan hasil kajian berkenaan patut dihargai.

    “Antara hasil kajian universiti diterima pakai kerajaan membabitkan pendidikan khas bagi pelajar yang mengalami disleksia.

    “Kita mendapati banyak lagi hasil kajian lain yang boleh diguna pakai dalam meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran pendidikan khas,” katanya selepas merasmikan Seminar Pendidikan Khas Kebangsaan Ketujuh 2008 di Pusat Konvensyen Persada Johor, di sini, semalam.

    Seminar empat hari bertajuk Penyelidikan Empirikal Menjana Kecemerlangan Pendidikan Khas itu dihadiri kira-kira 200 peserta terdiri daripada pegawai Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran negeri, guru, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), swasta dan universiti.

    Kata Alimuddin, kementerian juga menggalakkan guru menjalankan kajian pendek bagi membolehkan mereka mengesan minat dan keperluan pelajar di sekolah.

    Selain itu, katanya, kementerian berusaha menggunakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) untuk memperbaiki sistem pendidikan khas, terutama dengan peningkatan murid sekolah khas terbabit daripada 7,436 pada 1996 kepada 25,106 pada 2007.

    Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM440 juta bagi pembangunan sekolah pendidikan khas menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan RM15 juta daripadanya digunakan untuk menempatkan komputer dan peralatan ICT menggunakan perisian khas di 32 sekolah khas di seluruh negara.

    MMC jadi peluang akhir untuk 'doktor tidak diiktiraf'

    "SAYA mempunyai ijazah doktor perubatan (MD) dari sebuah universiti di Armenia, tetapi saya tidak dibenarkan mendaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

    "Ini bermakna, saya tidak dapat bekerja sebagai seorang pengamal perubatan di negara ini," kata L Suresh ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

    Selepas mengeluarkan perbelanjaan hampir RM300,000 sebagai pembiayaan untuk pengajian Suresh, berita sedemikian sudah tentu tidak menggembirakan sama sekali kepada keluarga Suresh yang begitu berharap agar bidang perubatan dapat menjadi kerjaya beliau.

    "Tempat bagi kursus perubatan di universiti tempatan amat terhad. Saya memang bercita-cita satu hari nanti menjadi seorang doktor, tetapi kini semuanya tidak kesampaian. Saya mempunyai kelulusan doktor perubatan, tetapi pada hakikatnya saya bukan seorang doktor perubatan", katanya.

    Suresh adalah antara graduan perubatan universiti dari luar negara, tetapi kursus perubatannya tidak diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

    Namun Suresh masih ada jalan atau peluang untuk mencapai cita-citanya.

    Menurut MMC, graduan yang mempunyai ijazah perubatan dari universiti yang tidak diiktiraf boleh mendaftar dengan majlis itu dengan syarat mereka menduduki dan lulus satu ujian kelayakan.

    Syarat ini termaktub dalam Peraturan Perubatan 1993 (Peruntukan Peperiksaan Untuk Pendaftaran Sementara). Graduan ini boleh menduduki peperiksaan kelayakan itu sama ada di fakulti perubatan Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) atau Universiti Sains Malaysia (USM).

    Hanya selepas lulus, graduan berkenaan boleh mendaftar dengan MMC dan menjadi pengamal perubatan di negara ini.

    Menurut MMC, graduan ini diberi kelonggaran untuk menduduki peperiksaan kelayakan itu sebanyak tiga kali. Seandainya masih gagal, mereka bukan saja tidak lagi boleh menduduki peperiksaan, malah impian untuk berkhidmat sebagai pengamal perubatan akan lenyap begitu saja.

    Bagaimanapun dengan perkembangan terbaru, hasil daripada mesyuarat pada 9 April lalu, Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai bersetuju memberi peluang terakhir bagi kira-kira 200 graduan dari kolej perubatan luar negara yang tidak diiktiraf oleh kementerian.

    Mereka daripada kalangan yang gagal buat kali ketiga dalam peperiksaan kelayakan itu.

    Kelonggaran ini bertujuan untuk membantu graduan terbabit mendaftar dengan MMC serta berupaya menjadi pengamal perubatan.

    Menurut Liow, tawaran ini hanya dibuka sehingga Disember tahun ini, selepas Jemaah Menteri mengambil kira rayuan graduan berkenaan kepada Kementerian Kesihatan.

    Dalam tawaran itu, graduan berkenaan boleh memohon melalui MMC supaya mereka diserap masuk dalam kolej perubatan tempatan untuk program pertukaran kredit selama tiga tahun.

    Selepas itu, mereka akan menjalani program houseman selama dua tahun di hospital kerajaan. Kaedah pertukaran kredit itu membabitkan setahun pengajian pra-klinikal serta dua tahun kursus praktikal klinikal. Kemudian mereka akan menjadi doktor pelatih selama dua tahun.

    Universiti awam serta swasta di negara ini mengeluarkan lebih kurang 3,000 graduan perubatan setahun, manakala ada 300 kolej perubatan yang diiktiraf kerajaan Malaysia di seluruh dunia.

    "Tidak banyak kolej perubatan awam atau swasta tempatan. Lagipun, tempat untuk pelajar kursus perubatan memang terhad dan hanya pelajar yang betul-betul cemerlang dipilih seperti yang mendapat 5A dalam keputusan STPM serta nilai purata gred kumulatif (CGPA) 4.0.

    "Saya tidak mencapai tahap akademik sedemikian, jadi saya tiada jalan lain melainkan menjalani kursus perubatan di universiti luar negara," kata beliau.

    Suresh mengakui dengan tahap kelulusan yang ada, tidak mungkin beliau dapat menjalani kursus itu di universiti tempatan.

    "Nak dapatkan tempat di universiti luar negara lagi senang," katanya.

    Menurut satu sumber MMC, pihak berkuasa kesihatan tiada pilihan melainkan mengenakan peraturan agak tegas mengenai pengiktirafan kelayakan ijazah perubatan dari luar negara.

    "Menjadi seorang pengamal perubatan bukanlah satu isu yang remeh. Doktor menanggung kewajipan yang besar kerana ia berhubung dengan nyawa pesakit. Ini bukan satu kerja yang mudah", katanya.

    Beliau berkata, faktor utama kenapa MMC dan Kementerian Kesihatan tidak dapat memberi pengiktirafan terhadap beberapa kolej perubatan asing ialah nilai dan kualiti sukatan pelajaran yang tidak menepati piawaian serta keperluan kursus perubatan.

    Bagi pegawai perubatan pediatrik, Dr Zaidatul Adzreen Dzulkifly, kerjaya sebagai seorang doktor perubatan memerlukan tahap disiplin dan kewibawaan yang tinggi.

    "Kerjaya doktor bukan hanya untuk bergaya dengan sepasang stetoskop di atas bahu. Doktor perubatan mempunyai tanggungjawab yang berat," katanya. � Bernama

    Tiada kenaikan yuran pelajar Akademi Pengajian Islam UM

    KUALA LUMPUR: Universiti Malaya (UM) hari ini menjelaskan bahawa tiada kenaikan yuran pengajian dilaksanakan bagi penuntut Akademi Pengajian Islam universiti itu.

    Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof Datuk Dr Mohd Amin Jalaludin, berkata apa yang berlaku sekarang adalah satu proses mendapatkan maklum balas daripada penuntut Akademi Pengajian Islam.

    Beliau berkata demikian sebagai mengulas laporan sebuah akhbar tabloid hari ini yang melaporkan bahawa cadangan kenaikan yuran sebanyak 75 peratus meresahkan penuntut apabila Akademi Pengajian Islam mengeluarkan pekeliling semakan semula kadar yuran berikutan kenaikan harga barangan dan perkhidmatan.

    “Sebarang perubahan pada yuran, jika dilaksanakan, adalah selepas perbincangan dan maklum balas daripada penuntut dan Pengurusan universiti,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

    Beliau juga menjelaskan bahawa Universiti Malaya sentiasa prihatin dan mengambil berat terhadap kebajikan penuntut dan pihak pengurusan Akademi Pengajian Islam akan selalu mengadakan pertemuan dengan penuntut dari semasa ke semasa. - Bernama

    Motorola tawar biasiswa RM240000

    Oleh Rosniza Mohd Taha

    MOTOROLA Electronics (M) Sdn Bhd (Motorola) menawarkan biasiswa RM240,000 untuk pelajar kejuruteraan institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan melanjutkan pengajian peringkat ijazah dan sarjana, tahun ini.

    Pengarah Urusan Motorola Pulau Pinang, Yew Tian Tek, berkata daripada jumlah itu, RM140,000 untuk Biasiswa Motorola membabitkan RM105,000 bagi tiga pelajar melanjutkan pengajian peringkat sarjana dan RM35,000 lagi lima pelajar tahun kedua dan ketiga melengkapkan pengajian ijazah pertama.

    Selain itu, katanya, RM90,000 diperuntukkan untuk Anugerah Emas Motorola iaitu pengiktirafan kepada 15 pelajar tahun akhir bidang kejuruteraan yang cemerlang akademik dan kokurikulum.

    “Di samping peruntukan RM10,000 bagi Hadiah Buku Motorola kepada 10 pelajar kejuruteraan tahun kedua, mereka turut ditawarkan menjalani latihan industri dengan syarikat kami pada tahun ketiga pengajian.

    “Motorola terus bersaing dalam dunia perniagaan yang kini semakin mencabar dengan adanya pemimpin berbakat serta berpengalaman yang banyak menyumbangkan idea dan kepakaran mereka untuk memajukan perniagaan.

    “Kita mahu memastikan ada generasi pelapis sebagai pemimpin berkaliber menerusi penawaran pelbagai biasiswa khusus untuk pelajar kejuruteraan ini,” katanya pada sidang media selepas Majlis Apresiasi Motorola - Universiti 2008, di Kuala Lumpur, semalam.

    Kira-kira 30 wakil 12 IPT awam dan swasta menghadiri majlis berkenaan termasuk dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, Kolej KDU Pulau Pinang, Universiti Monash, Universiti Multimedia (MMU), Universiti Nottingham, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Malaya (UM) , Universiti Putra Malaysia, Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Teknologi Petronas serta Universiti Tenaga Nasional.

    Yew berkata, Motorola juga akan bekerjasama dengan MMU, UTM, UM dan USM bagi membolehkan kira-kira 40 jurutera syarikat itu melanjutkan pengajian peringkat sarjana di empat universiti itu setiap tahun menerusi peruntukan RM1 juta.

    Beliau berkata, sasarannya lebih 20 peratus jurutera syarikat itu mempunyai kelayakan pascasiswazah dan hasrat itu akan direalisasikan menerusi kerjasama dengan empat universiti terbabit.

    Terdahulu, dalam forum diadakan sempena majlis berkenaan, Yew menyifatkan kira-kira 90 peratus graduan kejuruteraan tempatan mempunyai pengetahuan teknikal tinggi, bagaimanapun perlu memperbaiki kemahiran komunikasi mereka terutama penguasaan bahasa Inggeris.

    “Motorola adalah sebuah syarikat multinasional yang berpangkalan di Amerika Syarikat dan ini memerlukan graduan bekerjasama dengan pakar dari pelbagai negara untuk menjalankan sesuatu projek,” katanya.

    “Justeru, kemahiran komunikasi mereka perlu dimantapkan supaya idea dapat disampaikan dengan jelas dan boleh bekerjasama dalam kumpulan dengan berkesan,” katanya menjawab pertanyaan wakil universiti mengenai prestasi graduan dalam pasaran pekerjaan.

    Novel di tangan lulusan ekonomi



    ANDREA Hirata Seman Said Harun dilahirkan di Belitong, Indonesia dan mula dikenali penggemar novel Indonesia, Malaysia serta Brunei menerusi novel sulungnya, Laskar Pelangi yang mendapat sambutan hangat pada 2006 dan 2007.

    Bakat kepengarangan Andrea tumbuh subur meskipun begitu meminati subjek kimia, biologi, astronomi dan Sang Pemimpi adalah novel keduanya dalam tetraloginya yang disusuli dengan Edensor dan Maryamah Karpov.

    Beliau mendapat pendidikan asas dalam bidang ekonomi di Fakulti Ekonomi Universiti Indonesia dan menerima biasiswa Uni Eropa bagi meneruskan pengajian sarjana dalam bidang sama di Universiti Sorbonne, Paris dan Universiti Sheffield Hallam di United Kingdom.


    Tesis Andrea mengenai ekonomi telekomunikasi mendapat penghargaan daripada kedua-dua universiti berkenaan dan diadaptasi ke dalam bahasa Indonesia selain menjadi buku teori ekonomi telekomunikasi pertama yang dihasilkan oleh orang Indonesia.

    Kini Andrea berkhidmat sebagai Penganalisis di PT Telkom Bandung dan tidak pernah merencana Laskar Pelangi untuk diterbitkan, meskipun ia menjadi rujukan ilmiah penulisan skrip, tesis dan sering dibentang pada seminar di Indonesia bagi menyusun cadangan kebajikan pendidikan.

    Universiti penyelidikan perlu komersial sendiri hasil kajian



    UNIVERSITI penyelidikan disaran mengkomersialkan sendiri hasil penyelidikan menerusi penubuhan syarikat yang dimiliki bersama institusi pengajian tinggi (IPT) terbabit, fakulti, pelajar dan pelabur.

    Presiden Stevens Institute of Technology, New Jersey, Amerika Syarikat, Dr Harold J Ravenche, berkata pendekatan itu berdasarkan Model Moden Pengkomersialan Harta Intelek Universiti Penyelidikan yang menggalakkan pemupukan budaya keusahawanan di kalangan warga IPT.

    Katanya, revolusi baru pengkomersialan hasil penyelidikan universiti itu bukan saja membolehkan institusi terbabit meraih lebih keuntungan berbanding penerimaan royalti penjualan paten, malah berupaya merapatkan jurang hubungan IPT dan industri menerusi penyertaan pelbagai agensi dan syarikat sebagai pelabur dalam perniagaan yang ditubuhkan universiti berkenaan.


    “Model tradisional pengkomersialan hasil kajian universiti penyelidikan tidak menyokong usaha pemupukan persekitaran pembelajaran berinovasi apabila hasil penyelidikan yang sudah dipatenkan dijual kepada pihak luar sedangkan universiti boleh membangunkan perniagaan menggunakannya.

    “Pendekatan penubuhan syarikat oleh universiti yang dicadangkan dalam Model Moden Pengkomersialan Harta Intelek Universiti Penyelidikan sudah dilaksanakan di Amerika Syarikat dan terbukti kejayaannya

    “Menerusinya, universiti di negara berkenaan berjaya melahirkan graduan yang bukan saja berpengetahuan dalam bidang dipelajari, malah mempunyai keupayaan membangun dan menubuhkan syarikat bagi memastikan hasil penyelidikan mereka dapat dimanfaatkan masyarakat dan negara,” katanya ketika mempengerusikan forum Model Baru Untuk Mengkomersialkan Harta Intelek Universiti - Peluang dan Pengajaran, di Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Bangi, baru-baru ini.

    Hadir sama, Naib Canselor UKM, Prof Datuk Dr Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin dan Timbalan Naib Canselor (Jaringan Industri dan Masyarakat), Prof Dr Saran Kaur Gill.

    Harold memberi contoh kejayaan Castle Point Scientific LLC yang berjaya menarik minat kerajaan negara nya untuk membangunkan produk sensor optikal ultra sensitif sebagai alat kawalan keselamatan sempadan negara.

    Tuesday, April 29, 2008

    MMU cipta rekod anjur badminton 60 jam


    MELAKA 21 April - Universiti Multimedia (MMU) Melaka berjaya menyenaraikan namanya dalam Malaysia Book of Record (MBOR) apabila berjaya menganjurkan pertandingan badminton selama 60 jam tanpa henti, baru-baru ini.

    Penaung Kelab Sukan MMU, Senator Chiw Tiang Chai berkata, pertandingan tersebut merupakan yang pertama kali direkodkan di dalam MBOR kerana sehingga kini belum ada mana-mana organisasi yang menganjurkan pertandingan badminton selama itu di Malaysia.

    ''Kejayaan MMU ini sekali gus berjaya menaikkan imej dan kebolehan sektor institusi pendidikan di Melaka dalam bidang sukan.

    ''Saya harap kejayaan ini akan menjadi ikutan institusi pendidikan tinggi lain di negeri ini dan ia sekali gus mempromosikan Melaka ke mata dunia," katanya.

    Beliau berkata demikian pada majlis penyampaian hadiah kepada para pemain badminton di MMU di sini baru-baru ini.

    Majlis penyampaian hadiah disempurnakan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Kebajikan, Perpaduan, Belia dan Sukan, Datuk Ab Karim Sulaiman.

    Berikutan kejayaan MMU itu, Tiang Chai berkata, pihaknya akan mengadakan satu lagi acara sukan badminton di peringkat kebangsaan.

    ''Kali ini kita akan cuba jemput lagenda badminton Indonesia, Ricky Subagja dan juara regu Olimpik 2000, Tony Gunawan.

    ''Saya akan membantu untuk mencari pemain yang benar-benar berminat untuk menyertainya dan berharap kelab ini," katanya.

    Ilmuwan sehebat Al-Khawarizmi



    Peserta dari UIAM menjuarai pertandingan Al-Khawarizmi, sekali gus melayakkan mereka menyertai pertandingan di peringkat Asia.


    SEBUT sahaja nama Al- Khawarizmi, seluruh dunia mengenali dan mengiktirafnya - seorang ahli matematik teragung. Beliau adalah pengasas kepada beberapa cabang dan konsep asas matematik. Hasil kerjanya dalam algebra begitu cemerlang dan beliau tidak hanya mempunyai inisiatif terhadap subjek dalam pembentukan sistematik tetapi juga bertanggungjawab membangunkan penyelesaian analitikal dalam pengembangan garis lurus serta persamaan kuadratik.

    Jasa beliau yang lain ialah membangunkan secara terperinci bidang trigonometri iaitu ilmu matematik mengenai sudut dan sempadan segitiga yang mengandungi fungsi sine.

    Kejayaan itu akhirnya menjadikannya pengasas Algebra sehingga digelar ‘Bapa Algebra’. Nama Algebra diperoleh daripada bukunya yang terkenal iaitu Al-Jabrwa-al-Muqabilah.

    Sumbangan Khawarizmi dalam ilmu geografi turut cemerlang. Beliau tidak hanya menyemak pandangan Patolemy mengenai geografi tetapi juga membetulkannya termasuk dalam melakar peta dunia. Al-Khawarizmi merupakan saintis pertama yang melakar peta dunia pada tahun 830 Masihi iaitu 10 tahun sebelum beliau meninggal dunia.

    Nama sebenar beliau ialah Abu Abdullah Mohammad Ibn Musa al-Khawarizmi. Tarikh lahir dan kematiannya yang tepat tidak diketahui tetapi beliau dikatakan hidup di antara tahun 790 sehingga 840 Masihi. Ada juga yang menyatakan beliau lahir pada tahun 780 Masihi dan meninggal dunia pada tahun 850 Masihi.

    Gelaran Al-Khawarizmi diberi kepada beliau sempena tempat kelahirannya di Khawarizm yang terletak di selatan Laut Arab. Beliau lahir di sebuah tempat bernama Kath iaitu sebahagian daripada daerah Khawarizm.

    Bagi memperingati kejayaan dan sumbangan yang begitu besar oleh ilmuwan Islam itu, satu Pertandingan Pengaturcaraan komputer Al-Khawarizmi diadakan di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), baru-baru ini.

    Program bertaraf antarabangsa ini mendapat pengiktirafan Association of Computing Machinery - International Collegiate Programming Contest (ACM-ICPC) di mana empat profesor dari pertubuhan tersebut mengadakan lawatan dan perjumpaan bagi meluluskan penganjuran pertandingan tersebut di peringkat kebangsaan seterusnya melayakkan ke peringkat dunia pada tahun 2008 dan 2011.

    ACM adalah pertubuhan pakar dalam kemahiran IT dalam mencipta perisian-perisian baru komputer bagi membolehkan pelajar menguji keupayaan untuk bekerja di bawah pengaruh tekanan.

    Bagi melahirkan universiti di Malaysia untuk bergiat aktif dan berdaya saing khususnya dalam teknologi komputer, sememangnya pertandingan sebegini sangat bertepatan sebagai platform untuk mencapai taraf dunia berikutan laporan kajian yang dijalankan oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) yang menunjukkan bahawa tidak ada universiti dalam negara yang mencapai tahap terbilang iaitu bertaraf dunia.

    Selain dapat mengenalpasti dan mengiktiraf bakat peserta dari Malaysia, pertandingan ini juga dapat melatih dari segi penganjuran dan penyertaan secara profesional dan bersifat antarabangsa.

    Oleh kerana tahun ini merupakan penganjuran pertama, pertandingan adalah bersifat tempatan.

    Bagaimanapun konsep pertandingan dan pengadilan sepenuhnya bersifat antarabangsa yang mana menyaksikan bekas Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Mustapa Mohamed menjadi penaung pertama sambil memperkenalkan trofi al-Khawarizmi Championship.

    Sebanyak 13 kumpulan daripada beberapa universiti di Malaysia menyertai pertandingan yang julung kali dianjurkan ini. Juara akan mewakili Malaysia ke pertandingan peringkat Asia.

    Antara universiti-universiti yang mengambil bahagian adalah UIAM yang menghantar lima kumpulan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTEM), Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Multimedia (MMU) - dua kumpulan, Universiti Darul Iman (UDM) juga dua kumpulan dan Universiti Teknologi Petronas (UTP).

    UIAM menjuarai pertandingan tersebut dan MMU sebagai tempat kedua dan ketiga. Juara membawa pulang wang RM3,000, RM2,000 tempat kedua dan RM1,000 tempat ketiga bersama piala kejohanan Al-Khawarizmi serta sijil penyertaan.

    Menurut Dekan Fakulti Teknologi Maklumat dan Komunikasi (ICT), Prof. Madya Dr. Basri Hassan, penganjuran ini juga bertujuan mencapai misi dan visi UIA iaitu ke arah pengislaman, integrasi, antarabangsa dan kecemerlangan di samping menerapkan nilai-nilai Islam dalam pengetahuan ICT dan mengintegrasikan antara Islam dan ICT.

    “Program ini merupakan keperluan untuk mempromosikan agenda antarabangsa supaya pelajar di Malaysia dapat diberi pendedahan sebagaimana telah pun dipraktikkan oleh pelajar negara ini sebelum ini,” katanya.

    Beliau berkata demikian semasa berucap pada majlis perasmian Pertandingan Pengaturcaraan Komputer ACM-ICPC Malaysia Al-Khawarimi yang berlangsung di UIAM, baru-baru ini.

    Menurut Basri, format pertandingan adalah berkonsepkan penyelesaian masalah di mana peserta perlu menyelesaikan beberapa masalah pengaturcaraan komputer dan menggunakan kemahiran tersebut ketika berdepan dengan situasi sebenar.

    “Penyelesaian masalah di dalam pengaturcaraan komputer adalah kemahiran penting yang perlu ada dan diketahui oleh mereka yang terlibat dalam industri ini,” jelasnya.

    Selain mengharapkan penyertaan yang lebih ramai daripada pelajar universiti negara ini untuk program masa hadapan, Basri berkata, ia juga bertujuan sebagai penanda aras untuk menguji kemahiran pelajar di peringkat antarabangsa.

    “Kita merancang menganjurkan program ini tahun hadapan bagi kali kedua seterusnya bagi peringkat Asia di Malaysia buat pertama kali di mana dapat memberi platform kepada pelajar dalam membiasakan diri dengan pertandingan bertaraf antarabangsa,” ujarnya.

    Sesungguhnya mencari ilmu itu penting tidak kira apa bentuk ilmu yang dicari asalkan ia bermanfaat. Ini bertepatan dengan sabda Rasulullah SAW, Menuntut ilmu itu adalah wajib kepada orang Islam, lelaki dan perempuan. (riwayat Muslim)

    Allah juga berfirman dalam al-Quran yang bermaksud, Allah akan mengangkat orang beriman di antaramu dan orang berilmu beberapa darjat. (al-Mujadalah:11).

    1049 graduan sulung MSU



    Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin menerima watikah pelantikan Pro Canselor Pertama MSU daripada Canselor MSU, Sultanah Kedah, Sultanah Haminah Hamidun pada majlis konvokesyen keempat universiti itu, baru-baru ini.


    TARIKH 31 Mac lalu akan terus terpahat dalam ingatan 1,049 graduan Management & Science University (MSU) apabila menerima ijazah dan diploma masing-masing dalam konvokesyen ke 4 universiti tersebut.Lebih menggembirakan, konvokesyen di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur itu adalah yang pertama sejak institusi itu dinaik taraf kepada universiti penuh. Sebelum ini MSU dikenali sebagai Kolej Universiti Teknologi & Pengurusan Malaysia (KUTPM).

    Bilangan siswazah ini menunjukkan peningkatan berbanding jumlah 917 pelajar pada Konvokesyen ketiga, MSU pada Mac 2007.

    Ini membuktikan kemajuan dan pencapaian yang memberangsangkan yang dicapai MSU dalam arus pendidikan negara masa kini terutamanya di dalam bidang-bidang kritikal.

    Majlis turut menyaksikan penganugerahan ijazah tinggi kepada tiga graduan sulung MSU iaitu seorang graduan Doktor Falsafah (PhD) dalam Pengurusan dan dua sarjana Perniagaan dan Bioperubatan.

    Seramai 887 penuntut lagi menamatkan pengajian masing-masing di peringkat sarjana muda dengan kepujian dalam bidang masing-masing. Antaranya Bacelor BioPerubatan, Bacelor Teknologi Perkhidmatan Makanan dan Bacelor Teknologi Maklumat dan Komunikasi.

    Majlis konvokesyen kali ini juga menyaksikan kumpulan graduan pertama program Bacelor Bioinformatik menamatkan pengajian mereka.

    Pada masa yang sama, seramai 159 lagi graduan diploma termasuk graduan sulung Kejuruteraan Komputer, E-Perniagaan, Pengurusan Pelaburan dan Diploma Pendidikan (TESL) menerima skrol masing-masing.

    Pengerusi MSU, Prof. Tan Sri Dr. Wan Mohd. Zahid Mohd. Noordin dianugerahi Ijazah Doktor Kehormat sebagai menghargai jasa dan usaha beliau mempelopori bidang pendidikan tempatan dan juga antarabangsa. Pada masa yang sama, beliau turut dilantik sebagai Pro Canselor MSU.

    Turut hadir ialah Naib Canselor MSU, Prof. Datuk Mohd. Shukri Ab. Yajid.

    Seramai 19 pelajar cemerlang dalam bidang akademik dan ko-kurikulum turut menerima Anugerah Khas pada majlis konvokesyen tersebut.

    KecemerlanganAntaranya ialah Anada Raj a/l Poovindran pelajar Faculty of Health & Life Sciences yang menerima Anugerah Pingat Emas Canselor berdasarkan kecemerlangan dalam bidang akademik dan ko-kurikulum.

    Chung Soon Hock dan Muhammad Hidayat Rahim dari Faculty of Business Management & Profesional Studies, Jalal Ikram Mohamed Nori dan Shahira Nadira Abd. Aziz dari Faculty of Health and Life Sciences serta Diana Ali dari Faculty of Information Sciences & Engineering pula menerima Anugerah Presiden.

    Sementara itu, 13 penuntut menerima Anugerah Akademik. Mereka ialah Anna Teresa Peter Amandus, Siti Hajar Mohd. Ashaan Baja, Kavitha a/p Karunaneethi, Nur Farhana Md Mokramin, Thilagavathi a/p Malayandy, Nor Hazwani Ahmad, Lim Lee Yen, Eng Chee Heng, Nur Aryuni Ahamad Faudzi, Mohamed Shaiful Borhan, Faradiba Mohd. Affandi, Md. Ariffin Mad Sani dan Tasaratha Rajan a/l Anamalai.

    Sejak konvokesyen pertama, lebih 95 peratus daripada graduan MSU mendapat pekerjaan di dalam pelbagai organisasi dalam tempoh enam bulan selepas bergelar siswazah.

    Antara faktor utama yang menyumbang ialah kursus yang ditawarkan di MSU serta input berkenaan industri yang dapat diperoleh di dalam semua disiplin pengajian yang ditawarkan.

    Sejajar dengan visi menjadi universiti pilihan di negara ini dalam bidang teknologi dan pengurusan, MSU telah memulakan langkah pengantarabangsaannya melalui penubuhan International Medical School (IMS) di Bangalore, India serta pembukaan tiga Pusat Wilayah MSU di China, Singapura dan Vietnam.

    Langkah-langkah ini menunjukkan komitmen MSU dalam setiap usahanya untuk mencapai matlamat yang telah ditetapkan.

    Menyedari kepentingan kaitan antara kursus dan memenuhi permintaan pasaran kerja, pihak industri turut menyediakan anugerah kepada siswazah cemerlang.

    CIMB sedia program latihan untuk pelajar UM


    KUALA LUMPUR 23 April - CIMB Group akan menyediakan program latihan dalam industri perbankan kepada 500 pelajar Universiti Malaya (UM) bermula Jun ini.

    Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nazir Razak berkata, program itu menawarkan latihan prapekerjaan selain latihan amali dan pengurusan.

    ''Mereka (pelajar) akan dilatih mengikut jabatan yang telah ditetapkan iaitu jualan, kumpulan pemulihan khas, pusat kad kredit, kewangan automatik, perbankan runcit dan pentadbiran.

    ''Melalui program ini, pelatih akan diletakkan di bawah kawalan pegawai khas yang bertindak sebagai mentor kepada mereka,'' katanya pada sidang akhbar selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara CIMB Group dan UM, di sini hari ini.

    Pada majlis itu UM diwakili oleh Naib Canselornya, Datuk Rafiah Salim.

    Melalui perjanjian itu, CIMB Group bersetuju untuk mengambil seramai 500 mahasiswa UM bagi menjalani latihan industri selama tiga bulan dengan menyediakan elaun sebanyak RM500 sebulan.

    Nazir berkata, selain latihan, program itu juga akan menekankan kepada penggunaan bahasa Inggeris dan penguasaan beberapa kemahiran berkaitan.

    Beliau memberitahu, program tersebut dijalankan bagi memberi inspirasi dan pengalaman kepada para pelajar sebelum mereka masuk ke alam pekerjaan sebenar.

    ''Kita akan serap pelajar-pelajar ini ke dalam organisasi jika mereka menunjukkan prestasi yang baik,'' katanya.

    Sementara itu, Rafiah berkata, penyertaan program itu akan dibuka kepada semua pelajar tahun akhir UM terutama mereka yang mengambil kursus bukan profesional.

    ''Para pelajar perlu merebut peluang ini kerana saya percaya ia merupakan platform terbaik untuk mereka membina kreativiti, kepimpinan dan kemahiran berkomunikasi,'' jelasnya.

    878 graduan Politeknik PD terima diploma dan sijil


    PORT DICKSON 23 April - Sebanyak 878 graduan Politeknik Port Dickson (PD) lulusan Jun 2007 menerima diploma dan sijil masing-masing pada Majlis Konvokesyen Ke-17 di Tiara Beach Resort di sini hari ini.

    Pengarah Bahagian Pembangunan dan Penilaian Kurikulum, Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi, Mohd. Ghaus Ab. Kadir berkata, majlis konvokesyen itu merupakan titik permulaan bagi para graduan untuk berbakti kepada bangsa dan negara.

    ''Graduan Politeknik Port Dickson yang menerima sijil dan diploma mereka pada hari ini merupakan harapan negara untuk membangunkan bidang teknikal ke arah yang lebih dinamik.

    ''Sehubungan itu, saya berharap mereka akan bersedia bersaing dalam pasaran pekerjaan dengan hati terbuka dan sedar bahawa tanpa usaha yang bersungguh-sungguh, kejayaan tidak akan datang dengan sekelip mata,'' katanya ketika berucap merasmikan majlis konvokesyen itu di sini hari ini.

    Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Politeknik), Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi, Mokhlis Jaafar dan Pengarah Politeknik Port Dickson, Kharir Ibrahim.

    Tambah Mohd. Ghaus, beliau turut berbangga dengan kejayaan kira-kira 15,000 graduan politeknik itu yang mendapat pekerjaan dalam sektor awam dan swasta di samping melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

    Jelasnya, ini membuktikan Politeknik Port Dickson mampu memikul tanggungjawab untuk melatih dan melahirkan tenaga kerja profesional bagi mengisi keperluan sumber manusia dalam bidang teknikal di negara ini.

    ''Kejayaan politeknik ini selaras dengan hasrat Kerajaan Pusat seperti yang digariskan dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara untuk menyediakan modal insan negara bagi menangani persaingan dalam abad ini,'' ujarnya.

    Selain itu, katanya, graduan Politeknik Port Dickson perlu meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi untuk mempersiapkan diri menghadapi persaingan yang semakin sengit di dunia luar.

    Jelasnya, hasrat tersebut boleh dicapai dengan menaik taraf politeknik bagi memberi ruang kepada graduan untuk melanjutkan pengajian hingga ke peringkat ijazah sarjana muda.

    Dalam majlis tersebut, graduan Diploma Kejuruteraan Awam, Lee Kar Fung, 22, menerima Anugerah Pengarah Politeknik peringkat Diploma sebagai pengiktirafan di atas kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum.

    Manakala graduan Sijil Kejuruteraan Awam, Salme Abu, 23, memenangi Anugerah Pengarah Politeknik peringkat Sijil.

    Sementara itu, 863 graduan lulusan Disember 2007 pula akan menerima diploma dan sijil masing-masing dalam majlis konvokesyen Sidang 2 yang akan diadakan esok.

    KIST luaskan jaringan ke luar negara


    KOTA BHARU 24 April - Kolej Islam Sains dan Teknologi (KIST) akan memperluaskan jaringannya ke luar negara apabila bakal mengambil pelajar dari negara-negara di rantau ini bagi pengambilan sesi Julai depan.

    Pengurus Komunikasi dan Korporat KIST, Noor Haslina Abdullah berkata, buat permulaan, seramai 200 pelajar dari Brunei, Thailand, Vietnam dan Kemboja akan mengikuti program di pusat pengajian itu.

    "Mereka akan menyertai kursus diploma kejururawatan, pembantu perubatan dan juru X-Ray. Ini semua sebahagian daripada program ke arah melonjakkan KIST ke peringkat antarabangsa.

    "Selaras dengan aspirasi kolej, kita akan membina sebuah pusat Diagnostic Radiography, menelan belanja RM1.4 juta bagi tujuan latihan dan ia adalah yang pertama di Pantai Timur," katanya di sini hari ini.

    Dalam pada itu, Noor Haslina berkata, kolej terbabit kini menawarkan lapan program bagi lepasan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) dan Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM) berbanding pada awal penubuhannya hanya menawarkan lima program pengajian sahaja.

    Katanya, kampus di Telong Bachok kini menampung lebih 1,000 pelajar dari seluruh negara yang mengikuti pelbagai bidang sains kesihatan, psikologi serta syariah.

    "Program pengajian yang ditawarkan dalam bidang sains kesihatan adalah program yang memenuhi pasaran kerja hari ini.

    "Malah kita turut mendapat sokongan daripada pihak kerajaan yang yakin dengan kemampuan KIST, apabila menempatkan pelajar mereka mengikuti kursus juru x-ray dan jururawat di kolej ini.

    "Selain lapan program pengajian yang ditawarkan, kini tiga program baru iaitu diploma Sains Kesihatan dan Kecergasan, diploma Pembantu Teknologi Makmal Perubatan dan diploma Kesihatan Persekitaran," katanya.

    Bagi yang berminat untuk menjadi sebahagian daripada ahli keluarga kolej ini, bolehlah melayari laman www.kist.edu.my, bagi mendapat maklumat lanjut.

    UUM lantik tujuh Profesor


    ALOR STAR 24 April - Universiti Utara Malaysia (UUM) melantik tujuh Profesor berkuatkuasa, Isnin lalu.

    Mereka ialah Timbalan Naib Canselor (Akademik dan Antarabangsa), Prof. Dr. Abdul Razak Chik, Penolong Naib Canselor Kolej Perniagaan (COB), Prof. Dr. Mahamad Tayib, Dekan Pembangunan Pelajar dan Keusahawanan COB, Prof. Dr. Nor Hayati Ahmad.

    Dua lagi daripada COB ialah Prof. Dr. Rosli Mahmood dan Prof. Dr. Adiana Hiau Abdullah, manakala Prof. Dr. Mohamad Hanapi Mohamad dan Prof. Dr. Mansor Mohd. Noor dari Kolej Undang-Undang, Kerajaan dan Pengajian Antarabangsa (COLGIS).

    Pendaftar UUM, Harun Amin dalam kenyataannya di sini hari ini berkata, pemilihan kepada pelantikan itu dibuat berdasarkan kepada beberapa kriteria antaranya ialah kecemerlangan akademik dan cadangan daripada tiga penilai luar termasuk dua penilai dalam negara.

    ''Mereka yang terpilih perlu melepasi temuduga yang dijalankan di peringkat universiti dan mendapat kelulusan daripada Lembaga Pengarah Universiti," katanya.

    Mengenai pelantikan Mansor pula, menurut Harun, ahli akademik itu sebenarnya telah bersara tetapi memandangkan kecemerlangannya dalam penyelidikan dan akademik, UUM tetap melantik beliau sebagai Profesor.

    ''Ini sekali gus memberi isyarat kepada mana-mana ahli akademik untuk terus menyumbang kepada penyelidikan meskipun telah bersara," katanya.

    Dengan pelantikan tersebut, jumlah profesor di UUM meningkat kepada 22 orang.

    Kursi Pengajian Melayu di Universiti Hankuk


    Oleh Rosniza Mohd Taha


    JALIN KERJASAMA: Zulkefli (kiri) dan Chul Park bertukar dokumen MoU sambil diperhatikan Mohamed Khaled (dua dari kanan) serta Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan (IPTS), Dr Mohamed Rashid Navi Bax di Kuala Lumpur, semalam.

    Kerjasama Malaysia, Korea Selatan perkenal budaya negara

    KERAJAAN meluluskan Kursi Pengajian Melayu di Universiti Pengajian Asing Hankuk (Universiti Hankuk), Korea Selatan, menjadikan lima kursi seumpama itu di seluruh dunia.

    Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata selain universiti itu, Kursi Pengajian Melayu ada di Universiti Leiden, Belanda; Ohio University, Amerika Syarikat; University Wellington, New Zealand dan Beijing Foreign Studies University, China.


    Katanya, Kursi Pengajian Melayu di Universiti Hankuk untuk tempoh lima tahun bagi seorang penyandang.

    Beliau berkata, kos penajaan penyandang dibiayai kerajaan Malaysia, Korea Selatan dan DRB-Hicom Bhd (DRB Hicom).

    "Penubuhan kursi berkenaan bukan saja menandakan komitmen Malaysia dan Korea Selatan dalam meningkatkan kualiti pengajian tinggi, malah kerjasama syarikat swasta DRB Hicom yang bersetuju menaja sebahagian kos operasinya.

    "Kerajaan memilih Universiti Hankuk kerana ia institusi pengajian tinggi swasta ternama dan pusat pengajian bahasa asing terkemuka di Korea Selatan.

    "Buat masa ini penyandang kursi itu belum ditetapkan, namun kita sudah menyenarai pendek beberapa calon dan dalam proses menemu duga mereka," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) penubuhan Kursi Pengajian Melayu di Universiti Hankuk, di Kuala Lumpur, semalam.

    MoU itu ditandatangani Ketua Setiausaha, Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Dr Zulkefli A Hassan, manakala Universiti Hankuk oleh Presidennya, Prof Dr Chul Park.

    Mohamed Khaled berharap penubuhan kursi itu di Korea Selatan dapat meningkatkan minat dan penyelidikan dalam bidang alam Melayu, selain memartabat serta mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia.

    Katanya, penyandang kursi berkenaan memikul tugas menggalakkan kefahaman terhadap bahasa, ekonomi, sosial, agama, kesenian dan aspek lain berkaitan Melayu, selain mengenal pasti bidang penyelidikan baru yang boleh diterokai kedua-dua universiti terbabit.

    Beliau berkata, kursi itu juga menjadi laluan bagi kedua-dua universiti meningkatkan kerjasama dalam program penyelidikan, pertukaran kakitangan, pelajar dan akademik.

    "Sehingga Mac lalu, seramai 3,235 pelajar Korea Selatan mengikuti pengajian di Malaysia. Penubuhan kerusi ini diharap dapat meningkatkan jumlah pelajar negara itu yang melanjutkan pengajian ke negara ini.

    "Satu objektif penubuhan Kursi Pengajian Melayu adalah merapatkan hubungan dengan negara asing kerana kita dapat mendedahkan pelbagai aspek kehidupan masyarakat Melayu dan Malaysia kepada orang asing," katanya.

    UPM raih anugerah pengurusan terbaik



    UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) diiktiraf organisasi paling berjaya dalam pengurusan harta intelek apabila memenangi kategori Organisasi Anugerah Harta Intelek Negara 2008, sekali gus menerima hadiah wang tunai RM30,000, piala dan sijil.

    Universiti penyelidikan itu dalam satu kenyataan, berkata UPM mendahului organisasi kerajaan dan swasta lain dalam kategori utama berkenaan apabila 16 produknya berjaya dikomersialkan, 14 lagi sudah mendapat sijil paten, manakala 134 masih dalam proses permohonan.

    Naib Canselor UPM, Prof Datuk Dr Nik Mustapha R Abdullah menerima hadiah itu daripada Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna, Datuk Shahrir Abdul Samad pada majlis Anugerah Harta Intelek Negara 2008 anjuran kementerian itu serta Perbadanan Harta Intelek Malaysia di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur, baru-baru ini.


    UPM turut mendapat kejayaan berganda apabila penyelidiknya, Prof Dr Raja Noor Zaliha Raja Abdul Rahman dari Fakulti Bioteknologi dan Sains Biomolekul memenangi tempat pertama kategori individu yang menawarkan hadiah wang tunai RM20,000, piala dan sijil.

    Beliau memenangi anugerah itu menerusi penyelidikan Lipase 205Y iaitu kajian mengenai enzim untuk kegunaan industri termasuk pengeluaran sabun, kosmetik dan produk farmasitikal.

    Seorang lagi penyelidik UPM, Prof Dr Suhaila Mohamed dari Fakulti Sains dan Teknologi Makanan pula memenangi tempat kedua menerusi hasil penyelidikannya iaitu penambah perisa rumpai laut, Seasonex dan menerima piala serta sijil.

    Sunday, April 13, 2008

    Fakulti Kejuruteraan(UKM)


    Bidang Penyelidikan

    Kejuruteraan Kimia dan Proses

    • Kejuruteraan Sistem Pembuatan
    • Kejuruteraan Tindakbalas Kimia
    • Pembersihan & Sekitaran
    • kejuruteraan Pembuatan
    • Teknologi Pengasingan
    • Teknologi Pengeringan
    • Teknologi Zarah
    • Kejuruteraan Elektrokimia
    • Kejuruteraan Biokimia

    Kejuruteraan Awam dan Struktur

    • Kejuruteraan Geoteknikal
    • Kejuruteraan Pengangkutan
    • Kejuruteraan Sekitaran
    • Kejuruteraan Struktur & Bahan
    • Kejuruteraan Sumber Air

    Kejuruteraan Mekanik dan Bahan

    • Pusat Penyelidikan Pembakaran
    • Pembuatan Termaju
    • Bahan Pintar
    • Pemprosesan Serbuk
    • Reka Bentuk & Pemodelan

    Kejuruteraan Elektrik, Elektronik & Sistem

    • Mikroelektronik
    • Komunikasi & Komputer
    • Sistem Tenaga
    • Pemprosesan Isyarat
    • Kejuruteraan Sistem & Kawalan
    [ATAS]

    Kemudahan Penyelidikan


    Kejuruteraan Elektrik, Elektronik & Sistem

    • Makmal Komputer CAD/CAM
    • Makmal Mikrofabrikasi
    • Makmal Opto Elektronik
    • Makmal Teknologi Pemprosesan Isyarat & Komputer
    • Pusat Penyelidikan Mikroelektronik
    • Telekomunikasi & Telemati
    • Sistem Kawalan & Pintar

    Kejuruteraan Awam dan Struktur

    • Makmal Kejuruteraan Konkrit & Struktur
    • Makmal Kejuruteraan Geoteknikal
    • Geomatik, Trafik & Pengangkutan
    • Makmal Kejuruteraan
    • Makmal Kejuruteraan Sekitaran
    • Kejuruteraan Maritim & Sumber Air

    Kejuruteraan Kimia dan Proses

    • Makmal Rekaan , dilengkapi HYSIS
    • Makmal Kejuruteraan Perawatan Air Kumbahan
    • Makmal Kejuruteraan Sekitaran
    • Makmal Analitikal
    • Makmal Teknologi Zarah
    • Makmal Termodinamik
    • Makmal Membran
    • Makmal Kejuruteraan Biokimia
    • Makmal Pemindahan Haba & Jisim
    • Makmal Pengeringan
    • Makmal Kejuruteraan Tindak Balas


    Kejuruteraan Mekanikal dan Bahan

    • Makmal Bahan Pintar (Aloi Memori Bentuk)
    • Makmal Dinamik & Getaran
    • Makmal CAD dengan pelbagai perisian
    • Makmal Pencirian dan Pemprosesan Bahan
    • Bilik Gema
    • Simulator Suria
    • Makmal Pemprosesan Polimer
    • Makmal Termodinamik & Pemindahan Haba
    • Makmal Bendalir
    • Makmal Kekuatan Bahan
    • Makmal Enjin Pembakaran Dalaman
    • Makmal FMS
    • Bengkel Mesin dengan peralatan lengkap

    [ATAS]

    Untuk maklumat lanjut , sila hubungi:

    Dekan
    Fakulti Kejuruteraan,
    Universiti Kebangsaan Malaysia
    43600 UKM Bangi
    Selangor Darul Ehsan
    Tel: (603) - 8925 0200 / 1000
    Faks: (603) - 8925 2546
    Mel-e:engdean@eng.ukm.my
    Laman sawang: http://pkukmweb.ukm.my/~jurutera/englshf/

    Penyelidikan Inovatif (UKM)


    UKM sentiasa berusaha untuk meningkatkan kualiti penyelidikannya dalam menjana kekuatan penyelidikan dan kecemerlangan. UKM percaya bahawa kecemerlangan dalam penyelidikan berkait rapat dengan kecemerlangan dalam pendidikan. UKM juga menyedari bahawa terdapat persaingan kuat untuk mendapatkan dana penyelidikan dari pelbagai sumber kerajaan dan bukan kerajaan. Dengan terlaksananya struktur pentadbiran korporat yang utuh, UKM akan terus mengukuhkan dan mengambil peluang daripada program akademik dan penyelidikan serta aktiviti pembangunannya. Pada masa yang sama, UKM sentiasa mencari peluang untuk mengkomersilkan penyelidikannya.

    Dalam kerangka institusi UKM, pusat-pusat penyelidikan kecemerlangan seperti Institut Alam dan Tamadun Melayu (ATMA), Institut Alam Sekitar dan Pembangunan (LESTARI), Institut Kajian Malaysia dan Antarabangsa (IKMAS), dan Institut Kejuruteraan Mikro dan Nanoelektronik (IMEN) telah didirikan khusus bagi melengkapi inisiatif-inisiatif penyelidikan di 11 fakulti di UKM. Beberapa pusat khas seperti Pusat Analisis dan Teknologi Gen (CGAT) di Institut Biologi Sistem (INBIOSIS) dan Pusat Kejuruteraan Termaju di Fakulti Kejuruteraan telah ditubuhkan atas dasar perkongsian untuk meningkatkan penyelidikan yang strategik demi kepentingan negara. Makmal Interim Institut Genome dan Biologi Molekul Kebangsaan serta Institut Alam Sekitar Malaysia terletak di dalam kampus utama. Semua institut ini membantu ke arah memajukan kerjasama penyelidikan di antara institut-institut di UKM. Rangkaian penyelidikan industri dan projek-projek perundingan yang strategik telah ditubuhkan termasuk:

    • Projek Inkubasi MTDC-UKM
    • Inisiatif Mikroelectronik dan Nanoteknologi Telekom-UKM
    • Pusat Pakar Perubatan UKM
    • Pelbagai perundingan komersil, analisis dan aktiviti latihan untuk industri makanan melalui UNIPEQ
    • Jimah Coal-Fired Power Plant Environmental Impact Assessment Project
    • Kesedaran Awam terhadap Projek Sains dan Teknologi
    • Pelan Industri Induk Selangor
    • Pelan Tindakan Pembangunan ICT Usahawan Bumiputera

    Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi

    Untuk mendapatkan manfaat yang maksimum daripada program penyelidikannya, UKM telah menubuhkan Unit Pengurusan Penyelidikan pada Januari 1995. Unit ini bertindak menghubungkan UKM dengan agensi-agensi dana penyelidikan. Unit ini kemudiannya telah dinamakan semula sebagai Pusat Pengurusan Penyelidikan. Matlamat utama Pusat ini adalah untuk membangun serta meningkatkan keupayaan penyelidikan melalui aktiviti-aktiviti penyelidikan asasi dan gunaan, yang mempunyai kesan secara langsung ke atas pembangunan negara dan kemajuan ilmu pengetahuan. Ini diharapkan dapat menjadikan UKM sebagai pemangkin dinamisme, kecemerlangan dan produktiviti penyelidikan di negara ini. Kini Pusat ini dikembangkan dengan kemasukan Unit Inovasi dan nama barunya ialah Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi.

    [ATAS]

    Senarai Penyelidikan Berpotensi Komersil

    1. Improved Swivel Arm Mechanism
    2. Temporal Bone Holder
    3. Multimedia In Education Software On Mathematics
    4. Paddy Fluidized Bed Drying (BERNAS)
    5. Chitin Chitosan
    6. LNR (Liquid Natural Rubber)
    7. TPNR (Thermoplastic Natural Rubber)
    8. Cilibangi
    9. Baja Aerobik
    10. Sistem Lampu isyarat Pintar
    11. Peranti Kunci Kalis Api
    12. Herbal Remopain Film for Ulcer and Wounds
    13. Styrylpyrone Deravative (SPD): The Potential Therapy for Breast Cancer
    14. Produk Farmasutikal Anti-diabetik
    15. Produk Tongkat Ali
    16. S-CAD

    [ATAS]

    Untuk maklumat lanjut, sila hubungi:

    Pengarah
    Pusat Pengurusan Penyelidikan dan Inovasi
    Universiti Kebangsaan Malaysia
    43600 UKM BANGI
    Selangor Darul Ehsan
    Malaysia
    Tel: (603) - 8921 3184
    Faks : 603) - 8925 4550
    E-mel: drmc@ukm.my
    Laman web: http://research.ukm.my