Thursday, May 28, 2009

10 pelajar IPT sertai cabaran Hijaukan Dunia


Oleh Norliza Abdullah

SCHNEIDER Electric, pakar pengurusan tenaga global berpangkalan di Perancis, memilih 10 pasukan di kalangan pelajar institusi pengajian tinggi di Malaysia menyertai pertandingan akhir cabaran "Hijaukan Dunia", pada 30 Jun ini.

Pelajar terpilih dari Universiti Malaya dan Kolej Universiti Sedaya Antarabangsa, masing-masing dua pasukan, Universiti Sains Malaysia (tiga pasukan), Universiti Tunku Abdul Rahman International, Universiti Multimedia dan Kolej Inti Nilai, masing-masing satu pasukan.

Pada peringkat awal, sejumlah 66 pasukan dari 11 universiti tempatan mendaftar untuk menyertai cabaran berkenaan.


Pemilihan berdasarkan kriteria ditetapkan iaitu 30 peratus idea & inovasi, diikuti kerumitan dan tahap kesukaran reka bentuk (20 peratus), keberkesanan cekap guna tenaga (30 peratus) dan kebolehgunaan serta kesesuaian (20 peratus).

Pada pertandingan akhir cabaran diadakan di Pusat Konvensyen Sunway, Selangor nanti, pelajar berpeluang mempamerkan prototaip cekap guna tenaga yang direka bentuk dan dibina untuk pelbagai projek.

Ia termasuk sistem penyaman udara, sistem dingin hawa, dan sistem pengurusan kuasa papan suis dan juga sistem pam air.

Pengarah Negara Schneider Electric Industries (M) Sdn Bhd, Mow Li Li, berkata sebagai warga korporat pihaknya juga bertanggungjawab memupuk kesedaran pentingnya menjaga alam sekitar.

Beliau yang kagum dengan kemampuan pelajar tempatan berkata, antara cabaran pihaknya ialah memilih hasil yang dapat menjana teknologi baru," katanya.

Sambil menjelaskan pihaknya sedia membantu pasukan terpilih mendalami konsep cekap guna tenaga untuk membina prototaip bagi pertandingan akhir, beliau berkata;

“Latihan sehari untuk pasukan terpilih diadakan baru-baru ini. Setiap pasukan diberi peruntukan 50,000 token bersamaan RM15,000 untuk membeli produk Schneider Electric bagi membina prototaip masing-masing.

“Tiga pasukan terbaik akan menerima derma siswa bernilai RM15,000, RM10,000 dan RM5,000, trofi dan sijil. Pasukan juara juga akan memenangi hadiah lawatan ke kilang Schneider Electric di Bangkok.”

Pertandingan akhir cabaran "Hijaukan Dunia" akan diadakan di Pusat Konvensyen Sunway, Selangor.

Pelajar cemerlang terima biasiswa Jepun



"KEJAYAAN ini adalah satu penghargaan kepada usaha keras yang dilakukan dan adalah menjadi tugas saya untuk terus cemerlang di peringkat pascaijazah, kata penerima biasiswa berprestij kerajaan Jepun, Aisha Mohamad Takeshi Onizukawaki.

Biasiswa melalui Skim Program Latihan Khas Lanjutan Bagi Pembangunan Kerjaya Pelajar Asing dari Asia itu disediakan Kementerian Pendidikan, Kebudayaan, Sukan, Sains dan Teknologi, Jepun khusus untuk pelajar-pelajar Asia cemerlang.

Kecemerlangan pelajar kelahiran Osaka, Jepun itu, mula dilihat ketika mengikuti pengajian peringkat diploma di Kolej PTPL lagi apabila berjaya menerima Anugerah Khas Presiden PTPL pada Majlis Konvokesyen Kumpulan Kolej PTPL pada 2003.


Beliau yang mengikuti Diploma Teknologi Maklumat di Kolej PTPL Shah Alam meneruskan kecemerlangan apabila menyambung pengajian di MSU sehinggalah beliau menerima tawaran biasiswa Kerajaan Jepun ini.

Kini, Graduan Bacelor Teknologi Maklumat dan Komunikasi MSU itu mengikuti pengajian peringkat sarjana jurusan media dan teknologi maklumat di Tokyo University of Technology, Hachioji di mana beliau akan menerima elaun sara hidup sebanyak RM5,500 sebulan sepanjang pengajian disamping pembiayaan penuh yuran pengajian.

“Saya bertuah kerana dilahirkan dalam keluarga berketurunan Jepun yang amat mementingkan disiplin dan menjadi titik tolak kejayaan saya hari ini” katanya.

Menyingkap rahsia kecemerlangan akademiknya, Aisha berkata, tumpuan penuh di dewan kuliah serta tidak bertangguh melaksanakan tugasan adalah faktor utama kejayaannya.

“Perlu ada keseimbangan dalam kehidupan bersosial dan pada masa sama, tidak melupakan pertolongan daripada pensyarah,” katanya.

“Terima kasih kepada ibu bapa, keluarga, pensyarah, dan rakan-rakan yang banyak memberikan dorongan kepada saya untuk terus cemerlang dalam bidang yang diceburi juga kepada pihak pengurusan MSU dan PTPL terutamanya Presidennya, Prof Datuk Wira Mohd Shukri Ab Yajid yang banyak membantu saya mencapai impian ini,” katanya.

Pengajian Amerika


Oleh Norliza Abdullah

Kamera UKM jadi rujukan pendidikan, penyelidikan pelajar antarabangsa

SEBAGAI sebuah kuasa besar, sebarang perkembangan berlaku di Amerika Syarikat pasti memberi kesan hebat hingga menyebabkan berlaku perubahan pola politik, ekonomi dan sosial di kebanyakan negara di dunia.

Menyedari wujudnya kesan domino terhadap dunia jika berlaku sebarang pergolakan di Amerika Syarikat, penubuhan pusat kajian mengenainya wajar diwujudkan supaya masyarakat setempat mendapat maklumat terperinci.


Kajian mengenai kesan itu dilaksanakan menerusi penubuhan Pusat Kajian Amerika (Kamera) Institut Kajian Oksidental (Ikon) Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang dilancarkan baru-baru ini.

Penubuhannya sejajar dengan perubahan era globalisasi yang menuntut usaha penyelidikan berterusan mengenai isu semasa membabitkan negara berkenaan untuk dikongsi bersama.

Tambahan pula perubahan politik, ekonomi dan sosial Amerika Syarikat semakin menarik perhatian dunia berikutan Presiden Barrack Hussein Obama memegang teraju pentadbiran kuasa besar itu.

Banyak dasar baru yang bakal dilaksanakan presiden pertama berkulit hitam itu dan ia dilihat pemerhati akan memberi kesan terus kepada geopolitik antarabangsa.

Pengumpulan maklumat terperinci dan adil penting bagi memastikan umum mendapat pandangan jelas mengenai perkembangan semasa.

Ketua Kamera, Prof Dr KS Nathan, berkata pusat itu memberi peluang pengkaji menyalurkan maklumat dan pengetahuan serta berkongsi pandangan dengan masyarakat mengenai faktor persekitaran serta langkah awal perlu diambil dalam menangani isu berkaitan.

Beliau berkata, sekurang-kurangnya 10 pelajar peringkat ijazah sarjana dan doktor falsafah (PhD) dijangka menyertai program penyelidikan di pusat berkenaan.

Berdepan dengan dunia tanpa sempadan, katanya, ia menuntut penyediaan maklumat pelbagai bidang dengan tepat dan jelas berdasarkan situasi semasa.

Beliau menjelaskan, program pengajian Amerika itu juga boleh dijadikan rujukan untuk mendapatkan kemudahan pendidikan dan penyelidikan bertaraf global bagi memenuhi keperluan semasa pelajar antarabangsa.

"Perkhidmatan ditawarkan UKM sejajar dengan fungsinya sebagai institusi penyelidikan yang menekankan aspek kajian berterusan dalam menjana teknologi dan penemuan baru bidang sains mahupun sains sosial.

"Antara aktiviti yang dilaksanakan ialah penyelidikan, penerbitan, persidangan dan seminar serta pengajaran.

"Program ilmiah ini akan dijayakan secara kerjasama antara institusi dan industri, selain perkongsian pengetahuan dan pengalaman dengan ahli perniagaan, profesional, media dan diplomat kedua-dua negara," katanya.

Menerusi pusat kajian itu juga, Nathan berkata, pihaknya turut mengadakan pertukaran penyelidik dan pelajar bertujuan berkongsi maklumat, kepakaran serta pengetahuan yang dilihat lebih berkesan dalam meningkatkan pemahaman setiap isu.

Hubungan dua hala itu, katanya, memberi peluang kedua-dua pihak meningkatkan kerjasama yang boleh memberi kebaikan dalam bidang pengajaran dan pembelajaran, selain menjayakan penyelidikan bersama.

Pewarna mesra alam


Oleh Rosniza Mohd Taha


PELAJAR Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli, Norhazlinah Ahmad (berdiri) dan Nordiana Abu Bakar Sidek mengendalikan Submex.

UMP cipta mesin khas guna sumber semula jadi, kos pengendalian rendah

PENGHASILAN bahan pewarna berasaskan sumber semula jadi seperti tumbuhan dan buah-buahan kini semakin meluas kerana ia lebih selamat berbanding sintetik yang berasaskan bahan kimia.

Bagi memangkin penggunaan bahan pewarna mesra alam, penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) diketuai Dr Mimi Sakinah Abdul Munaim mencipta mesin khas untuk memudahkan proses penghasilannya bagi tujuan pengkomersialan.


Mesin Submerged Membrane Extractor (Submex) itu membolehkan proses mengekstrak dan mengasingkan bahan pewarna dilakukan secara berterusan berbanding kaedah tradisional yang mengambil tempoh lama kerana penghasilan dilakukan secara berkelompok.

"Ketika ini, bahan pewarna sintetik yang berasaskan bahan kimia digunakan secara meluas terutama dalam penghasilan barangan berasaskan tekstil, sedangkan ia bukan saja mengakibatkan pencemaran alam sekitar, malah memudaratkan kesihatan termasuk menyebabkan ruam serta alahan kulit.

"Kesedaran sejagat mengenai kepentingan beralih kepada penggunaan bahan pewarna mesra alam semakin meningkat, justeru kaedah penghasilan secara komersial perlu dibangunkan supaya ia berupaya memenuhi permintaan pasaran yang semakin meluas.

BAHAN pewarna dalam bentuk serbuk yang dihasilkan menggunakan Submex.

"Submex mampu menghasilkan sehingga 95 peratus pewarna daripada sumber asasnya secara berterusan menggunakan air dan agen pemangkin yang juga berasaskan tumbuhan berbanding pewarna sintetik menggunakan bahan pelarut," katanya kepada Berita Harian di UMP, Gambang, baru-baru ini.

Mimi berkata, tiga sumber semula jadi digunakan dalam kajian penghasilan pewarna menerusi Submex, iaitu buah naga, kunyit dan bunga senduduk.

Katanya, warna merah jambu dihasilkan menggunakan kulit buah naga, isi kunyit (oren dan kuning) serta bunga senduduk (ungu).

"Sumber semula jadi dipanaskan dengan air dan agen pemangkin biomordant yang berasaskan ubi kayu dalam reaktor sebelum ia diasingkan menggunakan komponen membran sehalus 500 nanometer yang dipasang siap pada mesin.

Dr Mimi Sakinah Abdul Munaim

"Mesin yang dihasilkan pada skala makmal ini mempunyai kapasiti 10 liter, mudah dikendalikan dan dialih serta boleh diubah suai mengikut keperluan industri," katanya.

Mengulas kos penghasilan pewarna menggunakan mesin itu, Mimi memberi contoh, pemprosesan 20 kilogram kulit buah naga hanya membabitkan kos 61 sen bagi setiap 10 gram sumber asas digunakan.

Katanya, analisis kos itu mengambil kira kos Submex yang dianggarkan RM500 seunit, biomordant (RM32 seliter) serta pelbagai perbelanjaan lain berjumlah RM79.80," katanya.

Mengenai potensi pengkomersialan bahan pewarna itu, beliau yakin ia bukan saja boleh dimanfaat industri tekstil, malah pengusaha makanan kerana agensi pengesahan halal turut menyatakan minat memasarkannya.

Hasil penyelidikan Mimi bersama rakan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli UMP, Norasiha Hamid, Prof Madya Zulkafli Hassan dan Dr Zularisam Abd Wahid itu mendapat pingat gangsa pada Ekspo Teknologi Malaysia tahun ini.

UPM menang emas pameran Water Malaysia



Dr. Nor Azah Yusof (kanan) menerangkan tentang penjerap berasaskan polimer cetak untuk rawatan air seperti pewarna dari air kumbahan dengan pantas dan berkesan di PWTC, baru-baru ini.


Universiti Putra Malaysia (UPM) memenangi pingat emas pada pameran Water Malaysia 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), Kuala Lumpur baru-baru ini.

Kemenangan itu diperoleh hasil projek ImprintSorb for Rapid Removal of Dye from Ageuous Environment oleh pensyarah Fakulti Sains, Dr. Nor Azah Yusof.

Ia adalah penghasilan ImprintSorb (penjerap) yang berasaskan polimer cetak (imprint polymer) untuk rawatan air seperti pewarna dari air kumbahan dengan pantas dan berkesan.

Nor Azah berkata, kelebihan penjerap ini adalah mudah dikitar semula dan boleh diguna semula sehingga 100 kali.

"Malah ia tahan terhadap suasana persekitaran yang ekstrem dan kaedah penyimpanan yang sangat mudah," katanya kepada Mega selepas menyertai pertandingan yang diadakan buat kali kelima itu.

Menurut Nor Azah, penjerap itu sesuai digunakan pihak industri fabrik yang banyak menggunakan pewarna sehingga menyebabkan pencemaran air yang berleluasa.

Seorang lagi penyelidik UPM, Prof. Dr. Mohd. Razi Ismail dari Fakulti Pertanian memenangi pingat gangsa melalui produk Water Saving in Horticultural Crop Production.

Pameran Water Malaysia adalah berkaitan penyelidikan dan pembangunan dalam industri air anjuran The Malaysian Water Assosiation dan Malaysian Association of Research Scientists (MARS) dengan mempertandingkan 20 penyertaan.

Kakitangan UTeM sertai ekspedisi berakit


MELAKA 25 Mei - Seramai 15 kakitangan Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menyertai ekspedisi berakit di Sungai Pahang bermula semalam hingga Khamis ini.

Pengarah Sukan UTeM, Ismail Abdol Jalil, berkata, Ekspedisi Berakit Antarabangsa Sungai Pahang 2009 itu disertai oleh Kumpulan Kembara, Biro Sukan dan Rekreasi Badan Kebajikan dan Sukan UTeM (Bakutem).

Menurut beliau, Bakutem bukan sahaja menjadi platform kepada kakitangan mereka untuk bercuti, tetapi juga bertujuan menyingkap keindahan semulajadi yang terdapat di negara ini.

"Malah, kami juga melihat ekspedisi ini sebagai cara untuk mengeratkan lagi silaturrahim antara kakitangan dan masyarakat setempat," katanya dalam kenyataan di sini semalam.

Perjalanan ekspedisi sejauh 329 kilometer itu merentasi enam daerah di Pahang.

Katanya, para peserta akan diraikan oleh penduduk kampung di sekitar laluan Sungai Pahang dengan makanan tradisional dan persembahan kebudayaan di kampung yang terlibat.

Tambahnya, antara objektif ekspedisi tersebut ialah untuk memperkenal dan mempromosikan UTeM sebagai salah sebuah IPTA melalui sukan lasak dan rekreasi.

Katanya, ekspedisi tahunan yang dianjurkan oleh Perbadanan Kemajuan Bukit Fraser sejak 1991 itu diharap dapat mengumpul sebanyak 100 peserta dari dalam dan luar negara

Malah, dengan cara tersebut katanya, peserta dapat saling bertukar-tukar pengetahuan dan pengalaman dengan agensi-agensi kerajaan dan bukan kerajaan.

20 kadet wanita pertama UPNM


KUALA LUMPUR 25 Mei - Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM) mencipta sejarah apabila menerima masuk kumpulan pertama 20 wanita kadet bagi mengikuti sesi pengajian Julai ini.

Kumpulan wanita itu merupakan antara 247 kadet yang mendaftar diri 16 Mei lepas dan kini menjalani latihan sama seperti kadet lelaki.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohd. Khaled Nordin berkata, kemasukan kadet wanita itu merupakan satu perkembangan baik dan memuji sikap mereka yang berani mengikuti latihan lasak di universiti berkenaan.

Usaha ini sejajar dengan matlamat kerajaan untuk melahirkan modal insan yang cemerlang dalam bidang pertahanan negara, katanya kepada pemberita selepas melawat kampus induk UPNM di Kem Sungai Besi di sini hari ini.

Sementara itu, Naib Canselor UPNM, Lt. Jen. Datuk Zulkifli Zainal Abidin berkata, universiti itu tidak mengamalkan ketidakadilan gender kerana kadet diterima masuk berdasarkan merit.

Katanya, kursus yang ditawarkan buat masa ini ialah program asasi dan ijazah sarjana muda Kejuruteraan Pertahanan, Sains dan Teknoloji Pertahanan dan Pengurusan Pertahanan.

UPNM menawarkan 800 kekosongan termasuk 400 kekosongan bagi program asasi dengan 80 peratus daripada jumlah kekosongan itu ditawarkan khas untuk kadet, sementara 20 peratus lagi ditawarkan kepada pelajar awam. - BERNAMA

Tuanku Mizan Penaung Diraja CIM Malaysia


SHAH ALAM 26 Mei – Yang di-Pertuan Agong, Tuanku Mizan Zainal Abidin dimasyhurkan sebagai Penaung Diraja Chartered Institute of Marketing Malaysia (CIM Malaysia) pada sidang pertama Istiadat Konvokesyen ke-70, Universiti Teknologi Mara (UiTM) di sini hari ini.

Pada upacara pemasyhuran itu, Seri Paduka menerima jubah, sijil pemasyhuran, kalung rasmi Penaung Diraja dan plak kristal yang disampaikan oleh Ketua Eksekutif Chartered Institute of Marketing (CIM), Rod Wilkes.

Sebagai Penaung Diraja, Seri Paduka akan menyokong dan menggalakkan segala usaha ke arah pelaksanaan dan misi CIM Malaysia sebagaimana yang dinyatakan dalam perlembagaan dan tadbir urusnya.

CIM merupakan sebuah pertubuhan sedunia yang mempunyai anggota-anggota berdaftar di kalangan ahli bidang pemasaran profesional sejak 1911 dan beribu pejabat di Bershire, England.

Sebagai sebuah badan pemeriksaan bermula pada 1928, CIM menawarkan Chartered Postgraduate Diploma in Marketing yang merupakan kelayakan tertinggi di kalangan ahli bidang pemasaran profesional.

UiTM terus martabat bangsa


SHAH ALAM 26 Mei – Universiti Teknologi Mara (UiTM) akan terus menjadi universiti yang menitikberatkan aspek sosioekonomi antara kaum melalui pendidikan.

Naib Canselornya, Prof. Datuk Dr. Ibrahim Abu Shah berkata, ia selaras dengan agenda utama pertubuhan universiti yang akan terus memartabatkan kaum untuk menjadikan mereka lebih berdaya saing.

“UiTM sebuah universiti yang memberi fokus kepada pembangunan keintelektualan dan keupayaan satu kaum iaitu Melayu bumiputera.

“Jadi, UiTM berpegang kepada prinsipnya membetulkan ketidakseimbangan dalam aspek sosioekonomi antara kaum melalui sistem pendidikan,” katanya pada Majlis Konvokesyen ke-70 UiTM di sini hari ini.

Turut berangkat, Yang di-Pertuan Agong yang merupakan Canselor UiTM, Tuanku Mizan Zainal Abidin dan Permaisuri Agong, Tuanku Nur Zahirah.

Hadir sama Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin.

Majlis Konvokesyen UiTM kali ini berlangsung lapan hari bermula hari ini sehingga 3 Jun.

Konvokesyen kali ini menyaksikan 13,881 graduan menerima diploma, diploma lepasan ijazah, ijazah sarjana muda, sarjana dan ijazah doktor falsafah (PhD).

Ibrahim berkata, berbekalkan peranan yang dimainkan itu, UiTM telah berjaya menempa nama sebagai universiti komprehensif yang berjaya menandingi kebanyakan universiti penyelidikan yang lebih lama.

Sementara itu, dalam keadaan kemelesetan ekonomi sekarang, beliau berharap supaya graduan UiTM tidak mudah berputus asa malah akan terus berusaha untuk berjaya dalam kerjaya dan kehidupan mereka.

“Kepada graduan yang telah berjaya menamatkan pengajian, gunakan kejayaan yang diperolehi ini untuk memajukan diri untuk terus memperjuangkan nasib agama, bangsa dan negara.

Tuanku Muhriz Canselor UKM



Tuanku Muhriz Tuanku Munawir berkenan menerima watikah pelantikan sebagai Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia yang disampaikan oleh Dr. Sharifah Hapsah di Istana Hinggap di Seremban, semalam. Turut hadir Mazlan Ahmad (tengah).


SEREMBAN 26 Mei - Yang Dipertuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Muhriz Tuanku Munawir hari ini berkenan menerima watikah pelantikan sebagai Canselor Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) yang ketiga.

Majlis penyampaian watikah berkenaan disempurnakan oleh Naib Canselor UKM, Profesor Datuk Dr. Sharifah Hapsah Syed Hasan Shahabudin di Istana Hinggap di sini.

Hadir sama mengiringi baginda ialah Tunku Ampuan Besar Negeri Sembilan, Tuanku Aishah Rohani Tengku Besar Mahmud.

Pelantikan Tuanku Muhriz sebagai Canselor universiti itu berkuat kuasa 16 April lalu sehingga 5 April 2014 bagi mengisi kekosongan kerusi Canselor berikutan kemangkatan Almarhum Tuanku Ja'afar Tuanku Abdul Rahman pada Disember lalu.

Wakil kanan UKM yang turut hadir termasuk Pengerusi Lembaga Pengarah UKM, Tan Sri Mazlan Ahmad, Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar dan Alumni), Profesor Datuk Mohamad Abdul Razak dan Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Akademik dan Antarabangsa), Profesor Ir. Dr. Hassan Basri.

Terdahulu, pada majlis berkenaan baginda diberi taklimat mengenai perjalanan universiti oleh Sharifah Hapsah.

Monday, May 25, 2009

Usahawan pendidikan


Oleh Rosniza Mohd Taha

IDEA penggabungan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) sekali lagi timbul dalam iklim ekonomi kurang memberangsangkan ketika ini. Ketua Pegawai Eksekutif/ Pengarah Kolej Teknologi Timur merangkap Presiden Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia, Datin Norayini Ali, menyatakan pandangan kritikalnya mengenai langkah itu seperti disampaikan kepada wartawan pendidikan Berita Harian, Rosniza Mohd Taha.

KETIKA menghadiri satu persidangan peringkat kebangsaan baru-baru ini, wakil Kementerian Pengajian Tinggi memaklumkan pihaknya sedang memperhalusi cadangan menggabungkan IPTS kurang pelajar.

Rasional cadangan itu adalah sebagai langkah menyelamatkan IPTS terbabit daripada ‘gulung tikar’ kerana masalah dihadapi mereka.


Saya mempunyai pandangan tersendiri mengenai cadangan berkenaan kerana berasakan ia bercanggah dengan usaha memupuk semangat keusahawanan.

Pengusaha IPTS diibaratkan usahawan bidang pendidikan dan mereka seharusnya diberi peluang bertapak dalam industri itu sebelum membina kekuatan tersendiri.

Sebagai contoh, usahawan terbabit dalam sektor runcit, sekiranya tidak mampu menjalankan perniagaan pasar raya besar, mereka boleh bermula dengan membuka kedai kecil dulu.

Begitu juga dalam bidang pendidikan, jumlah pelajar IPTS paling sedikit pun melebihi 100 tetapi jika berjaya menunjukkan keupayaan menghasilkan graduan berkualiti, mereka harus terus diberi kepercayaan untuk berkembang.

Seharusnya kerajaan melihat kepada kualiti pelajar dihasilkan bukan kuantiti dan jika IPTS seumpama ini terus diberi kepercayaan serta sokongan, saya yakin enrolmen akan terus meningkat.

IPTS berkenaan khususnya yang bernaung di bawah Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM) berpeluang mempelajari strategi berniaga dengan bimbingan rakan hingga mampu meyakinkan kerajaan akan kredibiliti dimiliki.

Kolej Teknologi Timur (KTT) umpamanya dapat terus bertahan walaupun bermula dengan ratusan pelajar pada 1997 dengan menjalankan program matrikulasi daripada universiti awam.

Purata pelajar kolej itu kini 1,200 setiap tahun tetapi mampu bersaing dengan ratusan IPT lain kerana keupayaan membina identiti dan kekuatan tersendiri khusus Cambridge A Level serta program kerjasama IPT awam.

Dengan mengehadkan jumlah pelajar dan kemudahan disediakan, tahap kemenjadian mereka tinggi apabila memasuki kolej kerana tumpuan lebih dapat diberikan.

Kredibiliti KTT menjalankan program Cambridge A Level terbukti apabila lebih 90 peratus pelajarnya memenuhi syarat minimum 12 mata untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah pertama di luar negara.

Lebih membanggakan, apabila 21 pelajar program berkenaan menerima Anugerah Terbaik Dunia daripada University of Cambridge International Examinations kerana mencatat markah 100 peratus bagi subjek Fizik, Matematik, Biologi dan Kimia.

Ketika ini terdapat 132 IPTS Bumiputera yang berdaftar tetapi hanya 38 menjadi ahli PKIBM.

Justeru, saya menyarankan IPTS Bumiputera segera menyertai persatuan agar ia bertambah kukuh, sekali gus persatuan menjadi kuat dan idea kita didengari kerajaan.

Dengan ini, hasrat dan usaha murni memartabatkan industri pendidikan negara dapat terus dilaksana supaya tiada pelajar kita keciciran daripada mengikuti pengajian tinggi.

Wednesday, May 20, 2009

Risiko pelajar bandar


Oleh Suliati Asri



KAJIAN mendapati bunyi siren, hon kereta dan aliran trafik dalam tempoh yang lama di luar rumah atau sekolah boleh menyebabkan seseorang menghadapi risiko tinggi diserang sakit jantung.

KAJIAN mendapati bunyi siren, hon kereta dan aliran trafik dalam tempoh yang lama di luar rumah atau sekolah boleh menyebabkan seseorang menghadapi risiko tinggi diserang sakit jantung.

Hasil kajian penyelidik Sweden itu pastinya memberi kesan kepada pelajar sekolah di bandar yang sentiasa terdedah kepada fenomena itu setiap hari.


Kajian itu turut mendedahkan mereka yang menghadapi kebisingan jalan raya pada tahap 50 desibel secara kerap mempunyai risiko mendapat serangan jantung sebanyak 40 peratus.

Selain itu, kajian Universiti Putra Malaysia (UPM), mendapati seseorang yang terdedah kepada paras bunyi melebihi 90 dBA secara berterusan selama lapan jam setiap hari, mungkin hilang pendengaran seperti pekerja kilang yang menggunakan mesin dan mendengar muzik di disko.

Jika kajian itu diambil kira, pelajar yang bersekolah di kawasan bandar memang mempunyai risiko mendapat malapetaka itu.

Sepatutnya, sekolah ditempatkan di kawasan yang lebih selamat dan tidak terdedah kepada pencemaran bunyi bagi mengelak pelajar menderita dalam tempoh jangka panjang.

Setiausaha Agung Gabungan Pelajar Malaysia Semenanjung (GPSM), Mohd Nordin Awang, berkata pihaknya menerima baik kajian itu, tetapi hanya Kementerian Pelajaran boleh mengambil sebarang keputusan.

Beliau berkata, pembinaan sekolah di tengah bandar dan di kawasan yang sibuk tidak dapat dielakkan berikutan pembangunan yang semakin pesat.

"Sebagai bapa, saya risau dengan kajian penyelidik Sweden itu lebih-lebih lagi mempunyai anak bersekolah di kawasan sibuk dan punya penduduk yang padat.

"Namun, kita tidak punya pilihan lain kerana dengan kawasan yang cukup terhad di tengah bandar ini, sukar untuk mendapatkan lokasi sesuai menempatkan sekolah jauh dari kesibukan.

"Sesebuah sekolah di bina berdasarkan kepadatan penduduk di kawasan terbabit. Jadi, masalah kesibukan dan pencemaran bunyi tidak dapat dielakkan," katanya.

Dengan keputusan kajian itu, satu langkah yang mungkin bermain di fikiran semua masyarakat terutama ibu bapa adalah dengan menutup sekolah di tengah bandar dan memindahkan ke kawasan yang lebih tenang serta selamat.

Namun, itu adalah mustahil kerana menurut Nordin pemindahan dan pembinaan sesebuah sekolah bukan kerja mudah selain tiada tempat yang sesuai.

"Andai, semua sekolah di tengah bandar ini dipindahkan, di mana serta adakah lokasi yang sesuai. Ini kerana, kawasan untuk dijadikan padang sekolah saja tidak ada, inikan pula membina bangunan sekolah baru.

"Jika ada tempat, lokasinya pula sangat jauh dan menyusahkan ibu bapa terutama golongan miskin kerana terpaksa mengeluarkan belanja lebih bagi mengambil serta menghantar anak ke sekolah," katanya.

Kos pemindahan dan pembinaan sesebuah sekolah juga memerlukan perbelanjaan yang banyak dan ia akan menjejaskan waktu persekolahan pelajar.

Dengan jangka masa pembinaan yang panjang, ia akan menjejaskan waktu persekolahan. Mereka pasti tidak mempunyai tempat untuk belajar berikutan sekolah tempat yang terhad.

Bagaimanapun, Nordin berkata walaupun tidak punya pilihan lain, itu tidak bermakna kita hanya bersikap tunggu dan lihat saja.

"Memang kita tidak boleh memindahkan dan menutup sekolah di tengah bandar walaupun mengetahui risiko dihadapi pelajar, tetapi kita perlu memikirkan kaedah terbaik bagi membantu mereka.

"Sepatutnya pakar dalam bidang pembinaan dan alam sekitar bekerjasama mencari jalan penyelesaian untuk mengurangkan risiko yang dihadapi pelajar di sekolah tengah bandar.

"Mungkin ada teknologi yang yang mampu mengurangkan pencemaran bunyi sekali gus mengelak pelajar di sekolah menghidap penyakit jantung di usia muda," katanya.

Sementara itu, Yang DiPertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Rosley Osman, berkata memang sukar melakukan apa-apa untuk memindahkan sekolah, tetapi pihak berkuasa mungkin boleh memikirkan mengelak pencemaran bunyi atau kesibukan yang ketara.

"Ibu bapa yang menghantar serta mengambil anak di sekolah perlu mempunyai kesedaran sivik dan bertimbang rasa.

"Ada ibu bapa yang menghalang lalu lintas serta tidak bertimbang rasa menyebabkan keadaan lebih parah.

"Sikap mereka menyebabkan punca kesesakan dan mengundang pencemaran bunyi," katanya.

Keadaan sesak turut mengundang bahaya kepada pelajar yang melintas jalan.

Kelab UEMC didik siswa berdikari

BIDANG pengurusan acara kini menjadi tumpuan pelbagai pihak.

Lantas, warga Kolej Universiti Infrastruktur Kuala Lumpur (KLIUC) yang diketuai pelajar ijazah komunikasi, Nur Zarina Mohamad Za'ba menubuhkan United Event Management Club (UEMC) bagi membuka peluang pelajar menyertai bidang pengurusan acara.


Zarina yang juga Presiden UEMC, berkata kelab seumpama itu sebelum ini hanya membabitkan pelajar fakulti komunikasi.

"Kelab itu membolehkan kami bertukar idea dalam pengurusan acara selain memupuk semangat kerjasama.

"Ia juga dapat merapatkan hubungan pelajar dari pelbagai fakulti dan warga KLIUC.

"Tidak semua pelajar yang ada aktiviti riadah setiap minggu atau cuti semester. Sekurang-kurangnya kelab ini boleh mengisi masa terluang pelajar," katanya.

Katanya, kelab itu akan mendidik pelajar berdikari kerana segala acara yang akan diadakan nanti akan diuruskan sepenuhnya ahli kelab termasuk mencari penaja dan sumber kewangan.

Sementara itu, Pensyarah Komunikasi Korporat dan Pengiklanan yang juga Penasihat UEMC, Azman Ramlie, berkata kelab itu memberi pendedahan kepada pelajar mengendalikan pengurusan acara.

"Ia juga medan mereka menyiapkan diri sebelum melalui dunia kerjaya selepas tamat pengajian," katanya.

UTM menang Anugerah Harta Intelek

UNIVERSITI Teknologi Malaysia (UTM) membuktikan kemahiran dan keunggulan dalam pengurusan harta intelek apabila dipilih pemenang Anugerah Harta Intelek Negara 2008 bagi kategori organisasi anjuran Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna.

UTM turut memenangi anugerah bagi kategori individu menerusi produk harta intelek Membran Komposit Matrik Campuran Hibrid (A Hybrid Mixed Matrix Composite Membrane) yang dihasilkan Profesor Dr Ahmad Fauzi Ismail.


Naib Canselor UTM, Profesor Datuk Ir Dr Zaini Ujang, berkata kejayaan itu amat membanggakan kerana ia institusi pertama mendapat anugerah berkenaan sebanyak dua kali sejak diperkenalkan pada 2006.

Kemenangan itu turut membuktikan UTM organisasi terbanyak mendapat perlindungan harta intelek di Perbadanan Harta Intelek Malaysia (MyIPO) dengan memperoleh penfailan paten sebanyak 131 produk.

"Senarai MyIPO, mendapati UTM menduduki senarai teratas di kalangan institusi penyelidikan, universiti tempatan dan orang perseorangan yang memperoleh penfailan paten," katanya.

Zaini berkata, tahun lalu, UTM mengemukakan permohonan bagi mendapatkan perlindungan untuk 142 harta intelek pelbagai kategori yang terdiri daripada 131 paten, dua pembaharuan utiliti, satu reka bentuk industri dan lapan cap dagangan.

"Pada tahun sama, UTM menerima enam geran paten hasil daripada pemfailan paten bagi tahun sebelumnya.

"Sehingga akhir tahun lalu, UTM mendapat perlindungan harta intelek bagi 1,071 produk menerusi tujuh kategori yang ditetapkan, meningkat sebanyak 70 peratus berbanding tahun sebelumnya," katanya.

UTeM komersial hasil penyelidikan

BAGI membina kerjasama di bidang penyelidikan dan pembangunan, Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) menandatangani Perjanjian Persefahaman (MoU) dengan tiga syarikat terkemuka negara, baru-baru ini.

Majlis itu disaksikan Pengerusi Lembaga Pengarah UTeM, Datuk Dr Mohd Taib Hashim bertujuan mengkomersialkan produk yang dicipta penyelidiknya.


Tiga syarikat terbabit adalah CTRM Sdn Bhd, Syarikat Hampshire Aerospace Sdn Bhd dan Dreamedge Sdn Bhd.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Prof Madya Datuk Dr Abu Bakar Mohd Diah, berkata MoU bersama CTRM adalah lanjutan daripada MoU sejak 2004.

"Melalui perjanjian ini, kita bertukar maklumat, kakitangan, latihan, pemindahan teknologi, pembangunan teknologi dan projek penyelidikan bersama.

"Bagi Syarikat Hampshire Aerospace, kita bekerjasama melalui penyelidikan khususnya di bidang mesin komponen aeroangkasa," katanya.

Kerjasama ini juga menurutnya akan turut membantu dalam pembangunan program akademik terutama dalam bidang pemesinan terkini.

"Ia juga boleh digunakan sebagai bahan pengajaran untuk program akademik di UTeM terutama Fakulti Kejuruteraan Pembuatan," katanya.

MoU ketiga memfokuskan kerjasama antara Fakulti Kejuruteraan Mekanikal dan Dreamedge yang meliputi penyelidikan khususnya dalam pengurusan data penyelidikan kejuruteraan.

"Dreamedge akan melatih kakitangan dan pelajar UTeM berkaitan aplikasi perisian Auto CAD/CAM.

"Dreamedge berhasrat melatih dan membangunkan jurutera di kalangan pelajar UTeM dengan memberi pendedahan berkaitan teknologi terkini melalui pemindahan teknologi baru," katanya.

Kempen usah takut peperiksaan

BAGI merasai bahang peperiksaan akhir berikutan ketiadaan cuti minggu belajar, Majlis Perwakilan Pelajar (MPP) Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM), mengadakan Kempen Exam No Fear dari 13 April lalu hingga 5 Mei ini.

Yang DiPertua MPP UTeM, Mohd Saiful Nizam Hussin, berkata kempen yang dirasmikan Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi, Profesor Madya Datuk Dr Abu Bakar Mohamad Dia itu bertujuan memberikan kesedaran kepada pelajar betapa pentingnya peperiksaan akhir.


Menurutnya, langkah itu dapat memberikan semangat dan galakan kepada pelajar UTeM belajar bersungguh-sungguh bagi menghadapi kertas peperiksaan.

“Sesi ini, pelajar UTeM menghadapi peperiksaan akhir selepas menghabiskan semua jam kredit tanpa cuti minggu belajar seperti kebiasaannya.

“Dengan situasi ini, pastinya ramai pelajar yang tidak sempat mengulang kaji pelajaran sepenuhnya dan barisan MPP merasakan inilah cara terbaik memberikan mereka semangat,” katanya.

Selain itu, Saiful berkata, sepanjang kempen itu, seluruh kawasan kolej dipenuhi pelbagai poster yang dipenuhi kata-kata semangat.

“Kita juga melekatkan petikan daripada tokoh yang berjaya dan terkemuka selain kain rentang yang ditandatangani pelajar di dewan peperiksaan.

“Melalui pendekatan itu, kami berharap pelajar lebih bersungguh-sungguh menjawab kertas peperiksaan akhir yang cukup penting itu,” katanya.

Dari segi sambutan, menurut Saiful, sambutan yang diperoleh daripada pelajar melalui kempen ini sangat menggalakkan.

“Selepas seminggu berlangsung, saya dapat melihat pelajar kini lebih bersungguh-sungguh mengulang kaji pelajaran.

“Tidak ada lagi istilah berseronok kerana mereka khusyuk mentelaah dan mengadakan ulang kaji dalam kumpulan,” katanya.

Kursus paksa


Oleh Suliati Asri



HANYA kerana ingin memberontak, tidak berpuas hati dan terpaksa mengambil kursus kurang diminati, sesetengah pelajar sanggup menggadaikan masa depan serta mensia-siakan peluang yang diberikan.

HANYA kerana ingin memberontak, tidak berpuas hati dan terpaksa mengambil kursus kurang diminati, sesetengah pelajar sanggup menggadaikan masa depan serta mensia-siakan peluang yang diberikan.

Disebabkan tidak berminat dengan kursus terbabit, sesetengah pelajar sanggup belajar separuh jalan.


Ada juga enggan belajar bersungguh-sungguh dan gagal dalam peperiksaan.

Situasi itu bukan saja memberi kesan negatif kepada pelajaran, tetapi menggelapkan peluang mereka melanjutkan pelajaran ke peringkat lebih tinggi.

Kenapa perkara ini perlu berlaku? Bukanlah setiap apa yang dipelajari itu adalah ilmu dan harus dihargai? Jika faktor minat, bukankah ia boleh dipupuk?

Pensyarah Fakulti Undang-Undang, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Profesor Madya Datin Nor Aziah Mohd Awal, berkata tidak dinafikan dalam pemilihan kursus, minat adalah paling utama.

Menurutnya, jika seseorang itu meminati apa yang dilakukan, ia memberikan hasil yang terbaik.

"Namun, tanpa minat, seseorang itu boleh berjaya jika dia belajar bersungguh-sungguh dan menerima apa yang dipelajari dengan hati yang terbuka.

"Selain itu, minat juga akan datang dengan sendirinya jika mengenali kursus itu dan tahu apa kelebihannya," katanya.

Nor Aziah berkata, sebagai seorang pelajar, mencari ilmu adalah satu tanggungjawab dan ia perlu dilaksanakan dengan sempurna.

"Walaupun pada awalnya mungkin ia tidak boleh diteruskan, cuba perlahan-lahan tanam minat itu dan menjadikannya sebagai satu keperluan yang perlu lakukan.

"Ini mungkin membantu dalam meringankan beban pelajar yang tertekan kerana terpaksa mengikuti kursus yang tidak diminati," katanya.

Di samping itu, katanya, tidak semestinya masa depan seorang pelajar itu gelap hanya mengikuti kursus yang tidak diminati.

"Kursus yang diambil bukanlah penentu kerjaya selepas menamatkan pengajian. Ini kerana, dalam era globalisasii, bidang kerjaya sangat meluas dan ia bukan hanya berlandaskan kepada sijil atau diploma.

"Malah, ahli perniagaan, korporat atau mereka yang berjaya hari ini bukan semua mengikuti kursus yang diminati.

"Namun, kerana ingin berjaya, mereka meneruskan kursus terbabit dan mengejar cita-cita mereka selepas menamatkan pengajian," katanya.

Bagi pelajar yang menerima tawaran kursus yang tidak diminati dan tiada keinginan berjaya, Nor Aziah menasihatkan mereka memberi peluang itu kepada orang lain.

"Jika tidak boleh menerima kursus itu, janganlah membuang masa anda kerana ramai lagi yang berminat mengikutinya," katanya.

Seorang bekas mahasiswa, Mazlina Abu Bakar, 30, berkata tidak rugi mempelajari kursus yang tidak diminati walaupun terpaksa atau dipaksa.

Dia yang juga terpaksa mengikuti kursus yang tidak diminati, berkata ilmu yang diperoleh itu mungkin berguna di kemudian hari walaupun bidang itu menyimpang dari kursus yang diikuti.

"Tidak semestinya kita menghabiskan masa bertahun-tahun mengikuti kursus yang tidak diminati, sia-sia saja.

"Mungkin ia tidak sesuai dengan kerjaya yang dijawat sekarang, tetapi dalam kehidupan seharian, sedikit sebanyak ilmu itu akan berguna," katanya.

Mazlina mengambil bidang kedoktoran sedangkan meminati bidang penyiaran.

"Walaupun tidak menjadi doktor, saya masih boleh mengaplikasikan ilmu perubatan dalam kehidupan seharian.

"Ilmu perubatan saya gunakan dalam masa kecemasan," katanya yang kini sudah membuka syarikat produksi sendiri.

Sebagai bekas pelajar yang pernah tertekan dengan kursus yang tidak diminati, Mazlina menasihatkan pelajar senasib meneruskan kursus yang ditawarkan itu.

"Sebagai pelajar, kita perlu menerima ilmu yang diperoleh. Jangan kerana tidak minat, kita mensia-siakan masa depan.

"Dengan kelulusan dari kursus yang tidak diminati, ia seperti batu loncatan mencapai cita-cita dan merealisasikan impian selama ini," katanya.

Mahasiswa Malaysia terlalu dimanjakan

MAHASISWA di negara ini perlu bersyukur segala kemudahan dan peluang yang diberikan pihak universiti.

Presiden Persatuan Mahasiswa Universiti Kebangsaan Malaysia (PMUKM), Mohamad Nasir Mohamed Nazri, berkata kemudahan mahasiswa di negara ini jauh lebih selesa dan lengkap berbanding di Indonesia.


"Pihak universiti sentiasa memberi keutamaan terhadap kebajikan dan kemudahan infrastruktur, tetapi sesetengah mahasiswa tidak menghargai perkara itu.

"Cuba lihat kemudahan pendidikan di Indonesia, suasana pembelajaran tidak selesa, malah kemudahan yang disediakan tidak lengkapi.

"Kekurangan itu menyebabkan mahasiswa di Indonesia kuat berusaha dan bekerjasama," katanya yang mengikuti Lawatan Pembelajaran Malaysia Indonesia, baru-baru ini.

Nasir berkata, mahasiswa perlu belajar berdikari dan tidak bergantung seratus peratus dengan pihak pengurusan universiti atau kerajaan.

"Saya perhatikan mahasiswa di negara ini terlalu dimanjakan sehingga mereka sukar untuk berdikari. Setiap kali ingin melakukan sesuatu perkara, kita akan mengharapkan bantuan universiti.

"Di Indonesia, mahasiswanya lebih berdikari. Ini kerana dalam setiap apa pun yang mereka lakukan, pengurusan universiti tidak akan membantu terutama kewangan.

"Jadi, mereka perlu mencari sumber kewangan sendiri bagi menganjurkan program," katanya.

Selain itu, menurut Nasir, mahasiswa di sana juga lebih kreatif dalam dan sentiasa berusaha bersungguh-sungguh untuk mencapai apa yang diingini.

"Di sana, mereka bebas untuk berfikir dengan kreatif dalam melakukan sesuatu dan pihak pengurusan hanya memberi dorongan kepada mereka.

"Jadi, untuk mendapatkan sumber kewangan, sesetengah mahasiswa menjual nasi atau berniaga di kalangan mereka bagi menampung kehidupan," katanya.

Justeru, sebagai presiden PMUKM dan pelajar, Nasir mengharapkan mahasiswa di negara ini lebih tahan lasak dan mencontohi mahasiswa Indonesia.

MSU turut sedia kemahiran insaniah

DIA menjadi contoh graduan Management and Science University (MSU) yang berjaya memasuki industri kerjaya sebaik tamat pengajian.

Bukan sekadar kecemerlangan dalam akademik, Zeti Akhtar Zakaria, 30, membuktikan kemampuan MSU menyediakan sumber tenaga kerja yang memenuhi kehendak majikan sekali gus 'melariskan' pasaran graduan.


"Saya anggap belajar di MSU bagaikan satu rahmat kerana institusi ini mampu memberi ilmu dan kemahiran secara menyeluruh.

"Buktinya, sebahagian besar graduan MSU sering menjadi rebutan majikan kerana yakin produk institusi ini memang berdaya saing dan mampu memberi sumbangan bernilai," katanya ketika ditemui pada majlis Alumni MSU, baru- baru ini.

Dia menamatkan pengajian dalam ijazah Sarjana Muda Pengurusan Industri tahun lalu sebelum dilamar sebuah syarikat antarabangsa.

Dia kini berkhidmat sebagai Eksekutif Logistik di Fresenius Medical Care Malaysia Sdn Bhd, Petaling Jaya, syarikat berpangkalan di Jerman yang membekalkan mesin hemodialisis dan produk kesihatan di seluruh dunia.

Zeti berkata, selain berkat usaha sendiri, dorongan pensyarah terutama dalam program mentor mentee banyak membantu.

Menurutnya, dia tidak pernah menganggap belajar atau menerima tugasan satu bebanan, tetapi menimba pengetahuan dan pengalaman baru.

"Sebagai pelajar, tugas utama ialah mengaut ilmu sebanyak mungkin. Istimewanya di MSU, pelajar bukan saja diberi ilmu secara akademik, tapi kemahiran insaniah seperti membina komunikasi yang baik secara latihan amali berterusan.

"Inilah kelebihan dan perbezaan graduan MSU. Hasilnya, majikan dan pasaran kerjaya mempercayai kemampuan kami," katanya.

Minat yang mendalam terhadap organisasi sesebuah syarikat turut mendorongnya memilih MSU.

"Program ditawarkan berkaitan persekitaran untuk semua organisasi manakala modul subjek bertepatan keperluan semasa industri.

"Semua ini banyak membantu terutama bagi graduan yang langsung tiada pengalaman bekerja. MSU adalah landasan terbaik kepada mereka yang ingin membina kerjaya cerah pada masa depan," katanya yang juga penerima Anugerah Presiden MSU.

Mengikut kajian pengesanan dijalankan setiap tahun, 95 peratus graduan MSU mendapat pekerjaan dalam tempoh enam bulan selepas tamat pengajian.

Mereka bertugas dalam pelbagai segmen industri seperti pembuatan, kesihatan, perbankan, hospitaliti dan perniagaan.

Kecacatan komunikasi manusia


Oleh Suliati Asri



MASALAH gagap, sengau, mempunyai suara garau atau serak, pelat beberapa konsonan huruf dan nyaring yang melampau adalah sesuatu yang biasa andai ada orang terdekat mengalaminya.

MASALAH gagap, sengau, mempunyai suara garau atau serak, pelat beberapa konsonan huruf dan nyaring yang melampau adalah sesuatu yang biasa andai ada orang terdekat mengalaminya.

Ada sesetengah orang dalam masyarakat kita terutama ibu bapa pasrah apabila anak mereka mengalami masalah seperti ini.


Walaupun ia dikatakan normal, sebenarnya ia sebaliknya. Ini kerana masalah ini adalah satu sindrom di panggil kecacatan komunikasi manusia dan ia boleh dirawat.

Kecacatan komunikasi manusia? Apakah yang dimaksudkan dengan kecacatan komunikasi ini? Pelik juga kerana dalam berkomunikasi juga ada kecacatan?

Pensyarah Kecacatan Komunikasi Manusia Universiti Manusia (UM), Abdul Rahim Mat Yassim, berkata kecacatan komunikasi manusia adalah perkara, penyakit atau fenomena yang mengganggu seseorang itu untuk komunikasi.

Menurutnya, ia berkaitan masalah bahasa dan pertuturan yang dihadapi penghidapnya berbentuk patologi yang berkait dengan penyakit bahasa.

"Kecacatan komunikasi manusia ini membabitkan alat pengeluaran bahasa pertuturan terutama dari saluran pertuturan iaitu daripada rongga hidung, mulut sehinggalah ke saluran suara serta otak.

"Apabila saluran itu mengalami kecederaan atau mempunyai kecacatan, ia akan menjejaskan bahasa dan pertuturan serta menggendalakan komunikasi. Itulah juga definisi kecacatan komunikasi manusia," katanya yang sudah berkecimpung dengan bidang ini selama 13 tahun.

Contoh terbaik adalah kecacatan artikulasi yang apabila seseorang bercakap dalam bahasa ibunda, dia tidak boleh menyebut dengan betul bersesuaian dengan peringkat umurnya seperti pelat.

"Mungkin dalam pelat itu, dia ada menggugurkan bunyi, penambahan bunyi, membuat pemesongan bunyi dan penggantian bunyi.

Justeru, apabila seseorang itu gagap, sengau, mempunyai suara garau atau serak dan nyaring yang melampau, ia dikategorikan sebagai mempunyai kecacatan komunikasi manusia.

Walaupun, ada sesetengah masyarakat menyifatkan ia sebagai kejadian semula jadi, sebenarnya ia boleh di betulkan dan perlu dikesan lebih awal.

Bagaimanapun, perkara ini perlu dikesan dengan segera kerana jika lambat, ia boleh mengakibatkan kanak-kanak itu akan mengalami masalah dalam berkomunikasi.

Selain itu juga, kelewatan ibu bapa mengesan masalah ini juga boleh menyebabkan rawatan yang bakal dijalani lebih panjang.

Menurutnya, paling awal perkara ini dapat dikesan adalah ketika kanak-kanak itu berusia dua tahun. Ini kerana pada ketika itu mereka sudah boleh bercakap walaupun hanya beberapa patah perkataan saja.

"Jadi, jika di usia ini, mereka masih tidak boleh bercakap, ibu bapa perlu mengambil tindakan bagi mengelak masalah ini berlarutan dan bukannya hanya menganggapnya sebagai normal.

"Selain itu, jika mereka sudah mencecah umur enam tahun dan bercakap seperti kanak-kanak berusia tiga atau empat tahun, itu bermakna si kecil itu ada sindrom ini," katanya.

Dengan keadaan anak yang seperti itu dan ibu bapa masih tidak mengambil tindakan, kanak-kanak berkenaan akan berdepan masalah apabila besar nanti.

"Contohnya, kanak-kanak yang gagap. Jika dia tetap gagap sehingga mencecah usia sembilan tahun, kemungkinan besar kanak-kanak itu akan mengalami gagap yang kekal dan sukar untuk dirawat.

"Semakin lambat kanak-kanak itu dikesan mengalami sindrom ini, semakin panjanglah tempoh rawatan yang mereka terpaksa terima," katanya.

Ada juga segelintir ibu bapa yang menyedari masalah ini tetapi tidak tahu ke mana seharusnya mereka merujuk.

Selain itu, mereka juga tidak ada masa untuk membuat kajian atau berjumpa dengan pakar dan kerana itu anak dibiarkan dalam keadaan sedemikian.

Menurut Rahim, ibu bapa sebenarnya ada banyak tempat untuk membuat rujukan atau memulihkan sindrom ini.

"Ibu bapa sebenarnya boleh merujuk kepada persatuan yang banyak ditubuhkan di negara kita termasuk persatuan orang pekak.

"Selain itu, mereka juga boleh merujuk kepada Pusat Perubatan UM (PPUM) Bahagian Klinik Telinga, Hidung dan Tekak," katanya.

Di klinik terbabit, kanak-kanak boleh dibantu dengan penilaian klinikal apabila kebiasaannya doktor akan memeriksa alat pertuturan mereka bagi menentukan kecacatan fizikal pada alat pertuturan berkenaan.

"Jika tidak ada kecacatan fizikal dikesan, doktor akan terus merujuk kepada jurupulih pertuturan klinikal yang menawarkan perkhidmatan seumpama itu di PPUM.

"Bagaimanapun, jika terdapat kecacatan fizikal, doktor akan membuat pembetulan di bahagian yang mengalami kecacatan itu," katanya.

Sementara itu, selain menyediakan klinik berkaitan masalah ini, UM juga menawarkan kursus berkenaan di Fakulti Bahasa dan Linguistik sejak 13 tahun lalu.

Bagaimanapun, kursus itu tidak dikenali ramai kerana kurang pendedahan dan kebanyakan berpendapatan kecacatan atau kelemahan dalam komunikasi itu berkait rapat dengan kelemahan seseorang menguasai bahasa kedua seperti bahasa Inggeris.

Biasanya apabila bercerita mengenai komunikasi, orang akan berpendapat mengenai bagaimana kita bertutur dalam bahasa lain tetapi bidang komunikasi ini sangat meluas dan ia mempunyai kecacatan yang kita tidak

tahu.

Rahim berkata, UM menawarkan kursus ini di peringkat sarjana muda dan sarjana yang akan mengkaji mengenai bahasa serta pertuturan kerana komponen itu penting dalam sesuatu komunikasi.

Kursus ini juga menggabungkan perubatan dan linguistik kerana ia memerlukan pengetahuan dalam bidang anatomi dan psikologi dalam pertuturan.

"Oleh itu, dengan ilmu ini, pelajar atau guru yang mengambil kursus berkenaan boleh membuat pengesahan awal terhadap kanak-kanak atau murid yang menghidap sindrom ini.

"Selain itu, pelajar juga terutama guru dapat memberi tumpuan kepada murid yang bermasalah supaya mereka tidak ketinggalan serta terpinggir," katanya.

Menurutnya, kanak-kanak yang ada masalah kecacatan komunikasi manusia ini bukanlah seorang yang bodoh atau lembap, namun dek sindrom ini mereka tidak dapat menerima pelajaran itu dengan baik.

"Jadi, saya berharap sangat agar masyarakat terutama ibu bapa dan guru lebih peka terhadap permasalahan ini supaya mereka tidak terabai," katanya.

Bagi mereka yang mempunyai anak mengalami sindrom ini dan ingin membuat rujukan, bolehlah menghubungi Abdul Rahim Mat Yassim di talian 03-79673108 atau e-mel: masrimie@gmail.com

Isu bahasa berkocak semula


Oleh Suliati Asri



MULANYA isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sudah senyap, tiba-tiba berkocak semula malah lebih panas berbanding sebelumnya.

MULANYA isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sudah senyap, tiba-tiba berkocak semula malah lebih panas berbanding sebelumnya.

Setakat ini, Kementerian Pelajaran masih menangguhkan keputusan sama ada mengekal atau kembali mengguna bahasa Malaysia.


Pelbagai pro dan kontra diterima berhubung pelaksanaan PPSMI, ada yang mendakwa ia merosakkan bahasa Melayu manakala yang lain mahu ia dijadikan landasan untuk anak Melayu mahir bertutur bahasa Inggeris.

Bagi pihak yang membantah, PPSMI dikatakan bertentangan dengan maksud dan semangat Perlembagaan selain mencabar Perkara 152, Perkara 159, Perkara 10(4), Akta Pelajaran 1996, akta Bahasa Kebangsaan dan lain-lain yang menjamin hak dan kedudukan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi kerajaan, termasuk pendidikan.

Bagi Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, beliau menganggap isu itu tidak perlu didebatkan.

Beliau berkata, di peringkat dasar, PPSMI masih relevan tetapi kini dalam proses pengubahsuaian.

Isu ini kian rumit dan membingungkan banyak pihak malah menjadi bahan kepada pemimpin politik untuk berkempen.

Setiausaha Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) , Khairul Anwar Shazali, berkata pihaknya bersetuju PPSMI dimansuhkan kerana ia memberikan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

Beliau berkata, PPSMI membuatkan subjek Sains dan Matematik menjadi semakin sukar difahami pelajar.

"Dua subjek ini adalah mata pelajaran yang sukar bagi sesetengah pelajar di sekolah. Jadi dengan pembelajaran dalam bahasa Inggeris (BI), pelajar hilang tumpuan.

"Ibu bapa juga hilang minat menghantar anak ke sekolah berikutan keputusan pembelajaran anak-anak mereka merosot.

"Kajian mendapati, 85 peratus responden sukar untuk memahami Sains dan Matematik dalam BI," katanya.

Khairul berkata, bagi mengelak generasi muda yang bijak pandai terkorban, PPSMI perlu dimansuhkan.

"Lebih baik kita mengorbankan enam generasi yang sudah mengikuti pembelajaran PPSMI ini daripada kita mengorbankan generasi yang akan datang," katanya.

Bekas Pengerusi Dewan Bahasa da Pustaka (DBP), Datuk Dr Hassan Ahmad, isu bahasa mempunyai maksud yang mendalam kerana ia membabitkan bahasa Melayu (BM) dan agama Islam.

"Bahasa ialah pemikiran. Kita menggunakan bahasa untuk berfikir dan mencipta sesuatu yang baru. Jadi, jika kita menggunakan bahasa ibunda, kita boleh berfikir dengan lebih mudah.

"Oleh itu, kita seharusnya perlu menguasai subjek ini dalam BM agar generasi muda boleh mencipta Sains dan Matematik dalam bahasa kita sendiri tanpa meniru," katanya.

Menurutnya, sekolah sudah menggunakan Sains dan Matematik dalam BM sejak berpuluh tahun malah puluhan ribu pelajar kita menguasai subjek itu dalam BM.

"Kini, ada lebih 2,000 tesis dalam BM yang dihasilkan pelajar kita dan pastinya jumlah ini akan bertambah dari tahun ke tahun.

"Jadi, pelaksanaan PPSMI ini sudah tidak relevan hanya semata-mata bagi menguasai Sains dan Matematik," katanya.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub, berkata BM boleh menjadi bahasa dunia serta bahasa ilmu dengan usaha semua pihak.

Menurutnya, kita perlu bersatu dan berusaha menjadikan BM bahasa disegani, bukannya merosakkannya dengan PPSMI.

"Kita tidak akan ketinggalan hanya kerana menggunakan BM kerana negara maju seperti Korea dan Jepun mampu berjaya tanpa mengagungkan bahasa asing.

"Justeru, kerajaan perlu memikir semula pelaksanaan PPSMI kerana masyarakat menolak perkara ini.

"Saya tidak menafikan BI adalah bahasa ilmu dan sangat penting tetapi jangan lupa bahasa sendiri," katanya

Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata jika kerajaan mahu pelajar menguasai BI, sekolah perlu menambah subjek BI, bukan menggantikan dengan Sains dan Matematik dalam BI.

"Isu ini perlu diteliti semula dan mansuhkan sahaja agar ia tidak menghancurkan negara satu hari nanti.

"Kita perlu mengembalikan Sains dan Matematik dalam BM agar generasi kita lebih maju dan setanding negara luar," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, berkata pelaksanaan PPSMI ini bukanlah bertujuan untuk mengkhianati bahasa.

Beliau berkata, walaupun mempelajari dua subjek ini dalam bahasa asing, ia tidak bermaksud kita mengkhianati dan menjatuhkan BM.

"Sekarang ini, apa yang penting adalah ilmu kerana untuk memajukan negara, kita harus mempunyai generasi yang boleh menerajui kemajuan negara kita.

"Perlaksanaan PPSMI ini adalah kerana kita tidak mahu pelajar kita tercicir terutama dalam bidang sains dan perubatan kerana kebanyakan buku-buku dalam bidang ini diterbitkan dalam BI," katanya.

Tajuddin berkata, tanpa menguasai Sains dan Matematik dalam BI, tidak ramai anak-anak kita yang akan menjadi pencipta berikutan mempunyai pengetahuan yang tidak mencukupi dalam bidang ini.

"Ilmu sains dan teknologi ini luas dan ia perlu diterokai. Namun, untuk menguasainya, kita perlu kuasai bahasa mereka dulu.

"Memang Jepun boleh maju walaupun masih menggunakan bahasa ibundanya namun, sebelum mengecapi kemajuan itu, mereka juga tetap menghantar bijak pandainya ke luar negara.

"Andai kita sudah menguasai teknologi dan ilmu dalam subjek ini, ia akan diterjemah kepada BM dan kita tetap menggunakan bahasa kita," katanya.



INFO PPSMI

  • Mula dilaksanakan pada 2003 dengan perbelanjaan sebanyak RM46 juta bagi pembayaran imbuhan khas kepada guru mata pelajaran bahasa Inggeris, Sains dan Matematik yang terbabit dalam program Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

  • Selepas dua tahun pelaksanaannya, banyak pihak membantah sebarang cadangan menarik balik dasar itu berikutan tahap kefahaman murid sekolah rendah serta pelajar menengah terhadap PPSMI didapati meningkat.

  • Calon PMR 2005 adalah kumpulan pertama yang digalakkan menjawab kedua-dua subjek itu dalam bahasa Inggeris

  • Bagi memenuhi keperluan 2007 dalam sistem ini, Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) melatih 1,564 Jurulatih Utama (JU) mata pelajaran Sains dan Matematik sekolah rendah dan menengah sebagai persediaan melatih guru kedua-dua subjek berkenaan.

  • Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2006, subjek ini stabil dan menampakkan pelajar makin selesa belajar kedua-dua subjek itu dalam Bahasa Inggeris.

  • Pelaksanaan PPSMI yang masuk tahun keempat mencacat keputusan memuaskan apabila murid tahun empat mengikuti ujian Sains mencatatkan kelulusan 61 peratus manakala bagi mata pelajaran Matematik, kelulusannya 59 peratus.

  • Pencapaian ini dianggap memuaskan berikutan murid tahun empat baru beralih dari tahap satu ke tahap dua yang lebih sukar.

  • Tahun keenam pelaksanaan PPSMI, ia menunjukkan prestasi membanggakan apabila hampir semua negeri menunjukkan prestasi membanggakan dengan mencatatkan peningkatan dari segi peratus calon yang memperoleh sijil penuh dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

  • Calon SPM 2007 adalah kumpulan pertama pelajar yang mengikuti program pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang bermula 2003.

  • Bagaimanapun, Kementerian Pelajaran disaran mengkaji semula pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak lima tahun lalu kerana ia gagal meningkatkan pemahaman konsep, ilmu dan kemahiran kedua-dua subjek berkenaan.

  • Kemelut mengenai dasar PPSMI bermula apabila banyak pihak yang mula mempertikaikan kewajaran dasar ini. Walau bagaimanapun, kerajaan masih belum mengambil sebarang keputusan berkaitan dasar ini.

  • Gerakan Mansuhkan PPSMI menghantar memorandumnya kepada ahli parlimen dan akan mengadakan perhimpunan di hadapan Istana Negara bagi membantah dasar ini.
  • Penyelidik UMP mampu bersaing

    KEMENANGAN berganda di Ekspo Teknologi Malaysia (MTE) 2009 di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), baru-baru ini, membuktikan penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) mampu bersaing dengan penyelidik lain di negara ini.

    Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Daing Nasir Ibrahim, berkata kemenangan ini membantu meningkatkan sumbangan universiti terhadap sains dan teknologi.


    Kejayaan itu memberi makna yang cukup mendalam kepada UMP kerana hampir semua projek penyelidikan yang di bawa mendapat pengiktirafan juri profesional.

    Sementara itu, Timbalan Naib Canselor UMP, Prof Madya Rosli Mohd Yunus, berkata, setiap penyelidikan adalah bagi memenuhi keperluan pelanggan terutama industri.

    “Ini sejajar dengan usaha kerajaan untuk memperbadankan universiti dan berharap setiap penyelidikan berjaya dipaten dan dikomersilkan kerana ia mampu menghasilkan sumber pendapatan kepada kampus sendiri,” katanya.

    Di MTE, UMP memenangi pingat emas melalui penyelidikan terhadap sisa industri (titatium dioksida) yang diformulasi semula sebagai gris serba guna berkeupayaan tinggi.

    Pingat emas kedua dimenangi Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Elektrik & Elektronik, (FKEE), Dr Ahmed N Abdella (FKEE) iaitu penyelidikan mengenai pembangunan perisian yang boleh mengenal pasti dan memantau tahap kesihatan pesakit menggunakan aplikasi tanpa wayar.

    Pingat emas ketiga diterima Pensyarah Kejuruteraan Mekanikal (FKM), Zamzuri Hamedon yang mencipta alat untuk memudahkan pemotongan dahan pokok kelapa sawit yang menjimatkan kos dan mudah untuk diaplikasi.

    Selain itu, hasil penyelidikan Pensyarah Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli (FKKSA), Dr Hayder A Abdul Bari (FKKSA) turut menerima Anugerah Penyelidikan Terbaik dari keseluruhan penyertaan.

    Tahun ini, UMP menghantar 13 penyertaan terdiri daripada pelbagai projek penyelidikan dari semua fakulti dan merangkul tiga pingat emas, dua perak dan tujuh pingat gangsa.

    Buat pertama kalinya bagi pameran MTE, booth UMP mendapat tempat pertama bagi anugerah booth terbaik bagi kategori Bare Space Category.

    Kampus Astro


    Oleh Suliati Asri



    DENGAR saja namanya, Kampus Astro, pasti apa yang berlegar di minda adalah bangunan canggih berteknologi tinggi dilengkapi kemudahan pembelajaran terkini.

    DENGAR saja namanya, Kampus Astro, pasti apa yang berlegar di minda adalah bangunan canggih berteknologi tinggi dilengkapi kemudahan pembelajaran terkini.

    Namun, jika itu tanggapannya, ia nyata silap kerana Kampus Astro Bersama Komuniti Sekolah (Kampus Astro) bukan institusi pengajian tinggi tetapi ia program kerjasama antara Kementerian Pelajaran dan Astro yang menyediakan pembelajaran bertaraf dunia di semua sekolah melalui tontonan siaran televisyen.


    Kampus Astro ini adalah antara inisiatif tanggungjawab korporat Astro sebagai pengendali televisyen satelit pelbagai saluran terus ke rumah.

    Ia juga adalah pendekatan baru dalam menyampaikan maklumat dan pembelajaran bertaraf dunia kepada masyarakat melalui siaran televisyen.

    Ini kerana menerusi Kampus Astro ini, pelajar di 10,000 sekolah rendah dan menengah di seluruh negara termasuk Pusat Aktiviti Guru akan dibekalkan dekoder dengan fungsi merakam, set televisyen, akses kepada 11 saluran kandungan pelajaran dan maklumat Astro.

    Kampus Astro ini memberi peluang kepada pelajar untuk mendapat pembelajaran bermutu dan kandungan informatif bertaraf dunia melalui 11 saluran antarabangsa dan tempatan Astro iaitu Saluran TV1, TV2, Astro Awani, Bernama TV, Discovery Channel, National Geographic Channel, Discovery Science, The History Channel, Animal Planet, Astro Ceria dan Disney Channel.

    Ketua Pegawai Eksekutif Astro, Rohana Rozhan, berkata dalam era globalisasi, masyarakat kini lebih mengutamakan pembelajaran berbanding hiburan kerana hampir 80 peratus pelanggan Astro melanggan pakej pembelajaran.

    Oleh itu, menurutnya, sejajar dengan sokongan pihak kementerian terhadap konsep pembelajaran dan menimba ilmu pengetahuan melalui tontonan televisyen, Astro komited melabur RM30 juta dalam tempoh tiga tahun bagi melaksanakan program ini di seluruh negara.

    "Kami di Astro menyedari Kementerian Pelajaran Malaysia (KPM) terus berusaha agar semua anak Malaysia mendapat akses kepada pelajaran yang berkualiti dan bertaraf dunia.

    "Jadi, sebagai pengendali televisyen satelit di negara ini, Kampus Astro adalah medium utama kami bagi mencapai matlamat untuk mengilhamkan pembelajaran secara holistik kepada semua sekolah terutama di kawasan luar bandar.

    "Sudah menjadi harapan kami supaya menerusi Kampus Astro ini, pelajar dapat memperoleh pengetahuan terkini, meluaskan pengalaman serta meningkatkan kemahiran," katanya.

    Kerjasama antara Astro dan KPM sebenarnya sudah bermula sejak 2000 lagi dengan membekalkan perkhidmatan Astro termasuk dekoder, televisyen dan saluran pilihan kepada beberapa sekolah terpilih.

    Namun, selepas kontrak itu berakhir pada 2007, Astro tetap meneruskan komitmen untuk memberi perkhidmatan percuma kepada sekolah di Sabah dan Sarawak supaya mereka yang berada di pedalaman dapat menonton siaran televisyen melalui teknologi satelit Astro.

    Rohana berkata, usaha itu secara tidak langsung menguatkan lagi kepercayaan kementerian bahawa televisyen adalah media berkesan dalam menyebarkan ilmu bertaraf dunia kepada masyarakat.

    "Bagi menentukan kejayaan projek ini, kami tidak akan tertumpu kepada pemasangan perkhidmatan Astro tetapi turut mengambil tindakan proaktif dengan mengadakan sesi komunikasi dan latihan kepada guru.

    "Selain itu, kami mengadakan program menyeluruh termasuk bengkel yang dapat memberi galakan kepada guru menggunakan perkhidmatan dan kandungan kami sebagai alat mengajar.

    "Justeru, dari semasa ke semasa, kami akan sentiasa menimbangkan maklum balas daripada guru dalam usaha untuk membaiki kandungan dan penyampaian maklumat," katanya.

    Kampus Astro yang dilancarkan Menteri Pelajaran Malaysia, Datuk Seri Hishamuddin Hussein di Sekolah Menengah Kebangsaan Nabawan II, Keningau, Sabah itu akan dilaksanakan selama tiga tahun secara berperingkat.

    Menurutnya, di bawah fasa satu, fokus diberikan kepada sekolah di sekitar Sabah dan Sarawak sebelum ke sekolah di seluruh Semenanjung Malaysia di bawah fasa kedua.

    "Matlamat utama program ini adalah untuk memastikan sekolah di kawasan pedalaman dan sekolah yang tidak mendapat sebarang kemudahan transmisi televisyen sebelum ini berpeluang untuk mendapatkan pendedahan mengenai pengisian pembelajaran menerusi teknologi satelit Astro.

    "Kita berharap dengan adanya Kampus Astro ini, semua pelajar di seluruh negara tidak akan ketinggalan dan mampu menjana minda mereka ke arah yang lebih kreatif.

    "Selain itu, kita sentiasa mengharapkan Kampus Astro ini akan memberi inspirasi kepada minda kanak-kanak yang inovatif dan bersifat ingin tahu melalui kandungan pendidikan serta maklumat bertaraf dunia kerana ilmu itu penyuluh kehidupan," katanya.

    UiTM ungguli konvensyen


    Oleh Suliati Asri




    UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) mengungguli Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Kelima apabila Kumpulan My Smart UiTM dan E-wave dinobatkan johan keseluruhan dan tempat kedua yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.

    My Smart dinobatkan sebagai juara keseluruhan apabila mengungguli konvensyen itu dalam kategori teknikal, sekali gus membawa pulang piala pusingan dan wang tunai sebanyak RM3,000.


    E-wave pula turut membawa pulang sijil dan wang tunai RM2,000 dan kumpulan Permata daripada Universiti Sains Malaysia yang menduduki tempat ketiga membawa pulang sijil dan RM1,000.

    Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Profesor Rosnah Ismail, berkata konvensyen itu secara tidak langsung mendedahkan pelajar untuk berfikiran positif, kreatif, rasional dan bijaksana dalam mengharungi kehidupan seharian.

    Menurutnya, konvensyen itu juga adalah platform untuk meningkatkan kerjasama berpasukan dan keyakinan diri untuk mencapai objektif yang dituju.

    "Cetusan pemikiran tanpa disusuli dengan kesedaran tidak akan membawa apa-apa makna kepada individu atau organisasi.

    "Oleh itu, kita perlu sedar perlunya melakukan sesuatu perkara dengan baik dan melaksanakan pekerjaan kita dengan efisien. Kita juga perlu sedar kerja itu satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan," katanya.

    Konvensyen yang julung kali diadakan di UMS itu disertai 20 kumpulan dari seluruh IPTA yang mengambil bahagian dalam dua kategori dipertandingkan pada konvensyen kali ini.

    KIK juga pada kali ini memperkenalkan satu anugerah khas iaitu Anugerah Inovasi Harapan yang dimenangi kumpulan Sentrometer, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).

    Galak berfikir lebih kritikal

    KAMPUS baru Kolej Taylor di Sri Hartamas menawarkan pelbagai kemudahan dan teknologi canggih bagi memberi keselesaan kepada pelajarnya di samping memenuhi keperluan era teknologi maklumat kini.

    Pengarah Program A Level Cambridge, Kolej Taylor Sri Hartamas, Ananda Kumaresh, berkata pihak kolej memberi lebih penekanan terhadap penggunaan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dalam pengajaran dan pembelajaran bersesuaian dengan pelajar generasi-Y lebih celik teknologi.


    Menurutnya, pendekatan pengajaran yang digunakan lebih tertumpu kepada pelajar iaitu dengan memberi pendidikan yang disesuaikan kepada keperluan, minat dan gaya pembelajaran mereka.

    "Konsep pembelajaran kita tumpu kepada pelajar bagi memastikan mereka akan lebih seronok menimba ilmu dan mendapat pengalaman belajar yang lebih canggih.

    "Di sini, mereka digalakkan membabitkan diri secara aktif dan bertanggungjawab terhadap pembelajaran mereka sendiri," katanya.

    Selain itu, menurutnya, setiap kelas dikendalikan dengan tahap pembabitan dan interaksi yang lebih tinggi dengan pelajar.

    "Pelajar tidak hanya disuap maklumat, sebaliknya soalan terbuka diberikan dan mereka diberi panduan untuk menyelesaikan segala masalah dalam merangka rumusan atau jalan penyelesaian.

    "Kaedah ini menggalakkan mereka berfikir lebih kritikal, mengasah kemahiran komunikasi lisan, membina semangat berpasukan dan menanamkan kemahiran kepimpinan di kalangan pelajar," katanya.

    Kaji kesan sarung tangan getah asli

    UNIVERSITI Putra Malaysia (UPM) dan Lembaga Getah Malaysia (LGM) akan menjalankan kerjasama dalam penyelidikan kesan sarung tangan getah asli terhadap pekerja kesihatan di seluruh dunia.

    Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi (KPPK), Datuk Peter Chin Fah Kui, berkata hasil penyelidikan itu mendorong industri sarung tangan menghasilkan produk getah asli bagi tujuan perubatan.


    “Kesedaran ini perlu diutamakan bagi meyakinkan pengguna terhadap sarung tangan buatan Malaysia,” katanya.

    Sementara itu, Naib Canselor UPM, Profesor Datuk Dr Nik Mustapha R Abdullah, berkata penyelidikan itu dijalankan bagi mengetahui tahap alahan sarung tangan perubatan terhadap pekerja.

    Penyelidikan itu akan dibuat ke atas ciri sarung tangan termasuk kandungan serpihan protein dan kimia bagi menentukan kadar alahan getah asli pada mereka yang berisiko tinggi.

    Terdahulu, Majlis Dialog Keempat KPPK dengan UPM membincangkan pembangunan modal insan untuk menyediakan latihan industri dan amali di agensi KPKK kepada pelajar dan kakitangan UPM selain warga KPPK ditawarkan melanjutkan pelajaran di UPM.

    Dialog itu membincangkan peruntukan aktiviti penyelidikan dan pembangunan bagi sektor perladangan serta komoditi oleh KPPK.

    Kerjasama antara UPM dan KPPK bernilai RM1.49 juta itu dijangka dapat memberi latihan dan pendedahan teknologi peralatan terbabit dalam reka bentuk serta pembuatan komponen kayu Sistem Pembinaan Industri.

    Hadir sama, Ketua Pengarah LGM, Datuk Dr Kamarul Baharain Basir.

    Sambung belajar ketika krisis


    Oleh Ruhaiza Rusmin



    SUKAR menepis kebimbangan masyarakat antarabangsa mengenai pelbagai krisis yang melanda dunia hari ini.
    Jangkauan kemelesetan ekonomi, masalah sosial masyarakat serta tragedi peperangan di Gaza antara cabaran hebat yang terpaksa dihadapi.

    SUKAR menepis kebimbangan masyarakat antarabangsa mengenai pelbagai krisis yang melanda dunia hari ini.

    Jangkauan kemelesetan ekonomi, masalah sosial masyarakat serta tragedi peperangan di Gaza antara cabaran hebat yang terpaksa dihadapi.


    Kegusaran tidak mampu dielak namun ada bersikap tenang kerana mempunyai perancangan jangka panjang menghadapinya.

    Di tengah kekalutan itu, sektor pendidikan dikatakan antara sektor kurang terjejas malah menjadi tumpuan ramai.

    Bersesuaian dengan fungsinya sebagai nadi terkuat pembangunan modal insan, ia dianggap senjata penyelamat kerana mampu memberi peluang masyarakat melanjutkan pengajian dan lebih bersedia apabila krisis ini berakhir.

    Persoalannya, benarkah sektor pendidikan terutama membabitkan institusi pendidikan tinggi swasta dan penyelidikan langsung tidak terjejas?

    Bolehkah sektor ini menjadi jaminan individu pada masa depan jika terpaksa bersaing merebut peluang pekerjaan terhad apabila ekonomi ekonomi mula pulih?

    Bagaimana strategi diguna pakai institusi ini bagi menghadapi kemelut?

    Presiden Management Science University (MSU) dan Kumpulan Kolej PTPL, Profesor Datuk Wira Mohd Shukri Ab Yajid, berkata masyarakat perlu bersikap optimis dan berpandangan positif ketika berdepan cabaran selain melihat krisis itu sebagai sebahagian ujian mengecapi kejayaan lebih hebat pada masa depan.

    Meskipun ada sektor terjejas akibat kemelut ekonomi dunia, masyarakat seharusnya percaya sektor pendidikan mampu menjadi pemangkin terbaik mengubah pencapaian diri.

    Menurutnya, membina sikap optimis perlu kerana dapat menyiapkan diri dengan pelbagai kemahiran atau ilmu sekali gus membantu meningkatkan taraf hidup dan keupayaan individu.

    "Krisis yang bakal berlaku atau sedang kita hadapi ini memang mencabar, menduga kesabaran dan kemampuan namun jangan anggap ia sebagai halangan untuk lebih berjaya.

    "Meskipun perit, inilah masanya seseorang merancang sesuatu yang boleh mendatangkan manfaat seperti melanjutkan pengajian. Sekarang mungkin tidak nampak kebaikannya, tapi apabila ekonomi sudah pulih, persediaan sudah ada.

    "Dengan ilmu dan kemahiran dipelajari, ia bukan saja mampu mencerahkan masa depan malah berupaya memberi pulangan lumayan setimpal dengan kesabaran dan hasil diusahakan sewaktu melanjutkan pengajian.

    "Seseorang yang ingin berjaya perlu berani menghadapi cabaran dan berpandangan jauh terlebih dulu sebelum menggenggam kejayaan," katanya.

    Bagai sudah menjadi tradisi, apabila krisis ekonomi global berlaku, ramai mengambil keputusan melanjutkan pengajian kerana faktor dibuang atau sukar memperoleh pekerjaan.

    Institusi akan berlumba-lumba menawarkan tempat kerana permintaan tinggi. Bagaimanapun, masyarakat akan turut mempersoalkan adakah institusi ini mampu mengekalkan kualiti dan kecemerlangan sedia ada?

    Mengulasnya, Mohd Shukri berkata, institusi sewajarnya lebih bersikap bertanggungjawab dan tidak memanipulasikan keadaan semata-mata mengaut keuntungan.

    Menurutnya, institusi terbabit seharusnya berbangga kerana mereka menjadi pilihan masyarakat menuntut ilmu sekali gus mampu meningkatkan taraf sama ada menerusi program ditawarkan institusi atau pencapaian pelajar.

    "Bukan mudah institusi dapat kepercayaan orang ramai untuk melanjutkan pengajian kerana persaingan dunia pendidikan sengit, jadi mengapakah tidak gunakan peluang itu sebagai anjakan meningkatkan kualiti serta pencapaian sedia ada?

    "Meskipun setiap institusi mahu menjana keuntungan, jangan lupakan tanggungjawab serta objektif utama penubuhan. Tidak kira taraf institusi, setiap satunya berperanan membantu masyarakat mendapat dan mencapai kualiti pendidikan terbaik selain menyokong penjanaan pembangunan negara keseluruhannya.

    "Jika dilakukan secara lewa, bagaimana nasib masyarakat pada masa depan? Justeru sama ada kita berdepan kemelut ekonomi atau tidak, kualiti pendidikan perlu sentiasa dipertingkatkan," katanya.

    Sebagai universiti pilihan, MSU tidak ketinggalan menawarkan bidang pengajian yang relevan untuk keperluan semasa seperti perubatan, sains kesihatan, pengurusan, perundangan, sains maklumat, hospitaliti dan kejuruteraan yang menjadi antara pengkhususan teras program pengajiannya.

    Bagaimanapun, beliau kurang bersetuju apabila pengangguran dikatakan menjadi masalah utama apabila semua graduan ini mula mencari pekerjaan selepas krisis ekonomi berakhir.

    "Masalah pengangguran sentiasa berlaku sama ada kita berdepan krisis atau tidak, yang berbeza mungkin dari segi jumlah dan cara menanganinya.

    "Saya tidak setuju dikatakan semua graduan yang sedang atau ambil keputusan belajar kini akan menyumbang kepada masalah pengangguran.

    "Mungkin ketika itu, kita mampu meneroka bidang dan kemahiran baru, contohnya kewangan Islam yang kini semakin meningkat permintaannya.

    "Graduan ini boleh berjaya dengan syarat melengkapkan diri dengan kriteria pilihan pasaran seperti komunikasi baik dan pemantapan nilai insaniah.

    "Gabungan ilmu dan kemahiran membolehkan seseorang itu memasarkan diri dengan mudah. Apabila krisis ekonomi berakhir, pasaran tentu akan melonjak dan mereka yang bersedia pasti beruntung," katanya.

    Komitmen bantu mangsa Zionis

    UNIT Pembangunan Pelajar, Management & Science University (MSU) dan Kumpulan Kolej PTPL (PTPL), menganjurkan program Pelancaran Tabung Kemanusiaan Palestin 2009 di kampus induknya, Shah Alam, Selangor, baru-baru ini.

    Tabung kemanusiaan itu bagi membantu meringankan beban penderitaan rakyat Palestin di Semenanjung Gaza yang menjadi mangsa kekejaman zionis.


    Presiden yang juga Naib Canselor MSU/ (PTPL), Prof Datuk Mohd Shukri Ab Yajid, berkata kutipan derma Tabung Kemanusiaan Palestin itu acara tahunan yang dijalankan MSU dan Kumpulan Kolej PTPL.

    Menurutnya, MSU dan PTPL menyediakan RM40,000 bagi tabung ini dan mensasarkan mengutip RM100,000.

    "Setiap kutipan yang diterima akan digandakan dan disalurkan terus kepada Global Peace Malaysia bagi membeli keperluan rakyat Palestin termasuk ubat-ubatan dan makanan.

    "Tabung itu adalah komitmen berterusan MSU dan PTPL bagi membantu mereka yang ditimpa kesusahan akibat peperangan atau bencana alam," katanya.

    Mohd Shukri berkata, pihaknya pernah memberi bantuan untuk mangsa gempa bumi, tsunami, dan peperangan.

    "Kami mahu mencetuskan kesedaran dalam kalangan pelajar MSU dan PTPL selain masyarakat sekitar makna kemanusiaan dan keamanan.

    "Pelancaran tabung ini diharap mampu melahirkan pelajar-pelajar yang prihatin dan sensitif kepada isu kemanusiaan dan keamanan sejagat," katanya.

    Mahasiswa UIAM curah bakti di 4 kampung

    BAGI memberi pendedahan berkaitan pergaulan dan komunikasi dengan masyarakat luar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengadakan program Bakti Siswa Mahabbah Negeri Sembilan, baru-baru ini.

    Program anjuran bersama Jawatankuasa Perwakilan Kolej Al-Faruq, Talhah, Sumayyah dan Maimunah serta Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) ini menggunakan pendekatan khidmat masyarakat bagi mengeratkan perpaduan dalam kalangan mahasiswa.


    Majlis dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Menanti, Abdul Samad Ibrahim.

    Pengarah program, Mohd Habibudin Ahmad, 23, berkata sambutan pelajar amat menggalakkan walaupun ia program pertama dilaksanakan.

    "Sepanjang program lima hari, kami banyak memberi pendedahan berkaitan konsep membina keyakinan diri serta semangat berdikari.

    "Dengan aktiviti tinggal bersama keluarga angkat, pelajar dapat merasai senario berbeza kehidupan bermasyarakat di kampus dan kampung yang mengamalkan adat Minangkabau," katanya.

    Empat kolej mengambil bahagian termasuk kuliah perubatan cawangan Kuantan membabitkan 109 mahasiswa dan 40 keluarga angkat.

    Di sepanjang program itu, mahasiswa mencurah bakti di tiga kampung dalam daerah Kuala Pilah iaitu Kampung Gementir, Ibol dan Tanjung Ipoh.

    Mohd Habibudin berkata, daripada maklum balas yang diperoleh, mahasiswa yang menyertai program ini tertarik dengan keunikan adat Minangkabau yang diamalkan masyarakat setempat.

    "Selain itu, peluang melawati beberapa tempat bersejarah serta layanan baik keluarga angkat memberikan pengalaman cukup berharga," katanya.

    Sementara itu, pelajar jurusan sains cawangan Kuantan, Nurul Zainariza Zainal Abidin, 21, berkata program ini membantu pelajar di kampung ini mencintai ilmu.

    "Melalui latihan berterusan dan motivasi, kami dapat melihat kemahiran mereka yang perlu digilap dan ada potensi berjaya," katanya.

    Bagi Alif Awaludin, 23, pelajar tahun empat jurusan Sains Bersekutu, program itu memberikan pendidikan tidak formal kepada mahasiswa berkaitan kepelbagaian budaya dan adat orang Melayu.

    Menurut Alif, pengalaman kali pertama bertemu keluarga angkat dengan memberikan buah tangan sekilo gula adalah cukup unik kerana ia melambangkan kemanisan dalam keluarga.

    Aktiviti yang dijalankan sempena program itu, antaranya kursus pengurusan jenazah, solat berjemaah, forum keagamaan, sukaneka, pameran kesihatan dan majlis kenduri.

    Sebelum pulang, mahasiswa mengadakan gotong-royong, memasak beramai-ramai dan mengadakan lawatan rumah ke rumah bagi mengeratkan hubungan silaturahim.

    Sama tinggi sama rendah


    Oleh Suliati Asri



    PERUBATAN adalah bidang yang amat mencabar. Bukan calang-calang orang yang dapat mengambil pengajian itu apatah lagi ia mengambil masa yang lama.

    PERUBATAN adalah bidang yang amat mencabar. Bukan calang-calang orang yang dapat mengambil pengajian itu apatah lagi ia mengambil masa yang lama.

    Bidang perubatan menjanjikan anda gelaran doktor, satu nama yang cukup disegani di kalangan masyarakat kerana mereka dianggap ikon.


    Jika ada anak yang menjadi doktor, seluruh kampung akan bercakap mengenai perkara itu.

    Ini memberi gambaran bukan mudah untuk menjadi doktor terutama di kalangan orang Melayu dahulu.

    Perubatan dikatakan bidang yang kurang diminati anak Melayu dan bilangan yang mengambil kursus berkenaan di universiti boleh dibilang dengan jari.

    Tetapi itu kisah 20 tahun lalu. Kini, semakin ramai yang mahu mencuba bidang yang memerlukan ketahanan mental itu apatah lagi berhadapan dengan latihan amali yang memenatkan.

    Begitupun, jumlah pelajar Melayu dalam bidang perubatan dikatakan masih kecil berbanding bangsa lain.

    Apakah yang menghalang mereka mengambil kursus itu sebagai kerjaya masa depan.

    Adakah kesukaran kursus atau takut untuk bersaing dengan bangsa lain dalam bidang berkenaan?

    Dekan dan Pengarah Fakulti Perubatan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) , Profesor Datuk Dr Lokman Saim, berkata perbezaan antara pelajar Melayu dan bukan Melayu dalam bidang perubatan sudah tidak relevan untuk diperkatakan.

    Beliau berkata, pada zaman globalisasi, sesiapa saja boleh menimba ilmu dalam apa mana-mana bidang yang diminati termasuk perubatan.

    "Memang tidak dapat dinafikan di awal tahun 70-an, bidang perubatan dikuasai pelajar bukan Melayu kerana peluang mengikuti kursus terbabit adalah terhad dan memerlukan kos pembiayaan tinggi.

    "Selain itu, pembelajaran bidang ini yang menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa penghantar membataskan peluang anak Melayu kerana kebanyakan mereka belajar di sekolah Melayu.

    "Jadi, masa itu kebanyakan yang mampu dan berpeluang mengikuti pengajian perubatan adalah pelajar bukan Melayu," katanya.

    Bagaimanapun, penubuhan UKM pada ketika itu yang berteraskan perubatan membuka peluang kepada anak Melayu mendalami ilmu perubatan.

    Lokman berkata, yuran pembelajaran yang ditawarkan pada ketika itu juga berpatutan dan mampu untuk ditanggung golongan Melayu yang berpendapatan sederhana.

    "Penggunaan bahasa Melayu (BM) sebagai bahasa penghantar dalam kursus ini juga turut menyumbang kepada pertambahan pelajar Melayu dalam bidang ini.

    "UKM ketika itu peneraju kepada penggunaan istilah perubatan dalam BM dengan bantuan pakar dan pensyarah dari beberapa universiti di Indonesia," katanya.

    Sudah menjadi satu kemestian pada ketika dulu, pelajar perubatan perlu mengikuti pengajian di luar negara untuk melengkapkan ijazah perubatan mereka.

    Namun, kini mereka tidak perlu lagi berbuat demikian kerana semuanya boleh ditimba di dalam negara.

    Bagaimanapun, untuk menjadi doktor pakar, mereka terpaksa menyambung pembelajaran di luar negara.

    Kini, bidang perubatan bukan satu kursus yang sukar untuk diikuti kerana banyak peluang yang dibuka universiti tempatan dan swasta.

    Dari segi persaingan, pelajar perubatan tidak perlu gusar kerana permintaan terhadap doktor tinggi dan sentiasa diperlukan di pelbagai sektor.

    "Graduan perubatan punya banyak pilihan dalam kerjaya. Ini kerana mereka boleh memilih untuk bekerja sebagai doktor di mana-mana hospital atau membuka klinik sendiri.

    "Kementerian Kesihatan kekurangan doktor yang boleh berkhidmat dengan hospital awam di seluruh negara. Ini kerana, kebanyakan doktor yang sudah lama berkhidmat di hospital awam memilih berhijrah ke hospital swasta atau membuka klinik sendiri.

    "Nisbah doktor dan pesakit ialah 1:600 dan ia menunjukkan bahawa negara kita masih memerlukan graduan perubatan untuk mengisi kekosongan jawatan.

    "Jadi, berapa banyak pun graduan perubatan yang dilahirkan, mereka punya tempat di semua hospital kerajaan di seluruh negara," katanya.

    Pelajar tahun empat dalam bidang perubatan UKM yang kini menjalani latihan di Hospital UKM, Kathija Banu Ariffin, 22, berkata tidak ada persaingan antara pelajar Melayu dan bukan Melayu dalam fakulti perubatan di UKM.

    Ini kerana mereka sentiasa digalakkan untuk bercampur gaul dengan semua bangsa dalam menimba ilmu.

    "Dalam juga pembentangan atau pembelajaran, kami akan dibahagikan kepada kumpulan yang majmuk iaitu menggabungkan semua pelajar tidak kira bangsa.

    "Dengan itu, kami boleh saling tolong menolong dalam apa juga persoalan dalam pelajaran," katanya yang berhasrat untuk perkhidmatan dengan hospital awam selepas menamatkan pelajarnya nanti.

    Sementara itu, Zairi Azwan Zulkifli, 23, berkata bidang perubatan adalah meluas dan punya tanggungjawab yang berat.

    Menurut, Zairi yang juga kini menjalani latihan di HUKM, dia memilih bidang ini kerana ia adalah cita-cita daripada kecil lagi.

    "Selain sudah menanam cita-cita untuk menjadi doktor, peristiwa kematian seorang ahli keluarga kerana kekurangan doktor pakar menjadi pembakar semangat untuknya mendalami bidang ini," katanya.

    Pasukan UM kekal unggul


    Oleh Idris Musa

    UNIVERSITI Malaya (UM) muncul juara Debat Kefahaman Islam Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) ke-6 anjuran Institut Kefahaman Islam Malaysia (Ikim),baru-baru ini.

    UM membawa pulang hadiah wang tunai RM15,000.


    Pasukan terbabit turut menerima geran bagi kelab debat sebanyak RM10,000, piala pusingan, hadiah iringan dan sijil penyertaan.

    UM dibarisi Nur Izzati Wan Hanapi, Mohd Zulfadhli Khairuddin, Azri Zahier Azmi dan Ali Asyraf Mohamed menewaskan Universiti Sains Islam Malaysia (Usim) dengan tajuk, ‘Keganasan Dunia Akibat Salah Tafsir Tentang Jihad’.

    Ia kemenangan kedua berturut-turut bagi UM.

    Ali Asyraf, pelajar jurusan Sains dan Pendidikan UM dipilih pendebat terbaik dan menerima wang tunai RM2,000.

    “Saya gembira dengan kemenangan ini hasil kerjasama pasukan sekali gus mengharumkan nama UMi,” kata Ali , 23, yang meminati debat sejak sekolah rendah.

    “Saya banyak membaca dan membuat rujukan di Internet serta mengupas topik untuk memudahkan juri memahami,” katanya.

    Debat itu disertai 16 IPT termasuk Universiti Islam Antarabangsa, Universiti Kebangsaan Malaysia, Universiti Utara Malaysia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Sains Malaysia dan Universiti Teknologi Mara.

    Universiti Malaysia Sabah, Universiti Putra Malaysia, Universiti Teknologi Petronas (UTP), Universiti Darul Iman, Universiti Tun Hussein Onn, Universiti Multimedia, Universiti Pendidikan Sultan Idris dan Institut Penguruan Islam Selangor (IPIS).

    UTP menduduki tempat ketiga, manakala IPIS di tempat keempat, masing-masing menerima hadiah wang tunai RM5,000 dan RM3,000.

    Pengerusi Ikim, Tun Ahmad Sarji Abdul Hamid, berkata pihaknya menganjurkan pertandingan debat kefahaman Islam itu bagi memberi peluang penuntut IPT mengenali institusi itu dengan lebih dekat.

    UPM terima Anugerah Gong Kencana Emas anjuran Makum

    KEJAYAAN Universiti Putra Malaysia (UPM) menjuarai anugerah utama anjuran Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) melayakkannya memenangi Anugerah Gong Kencana Emas MAKUM, baru-baru ini.

    Sepanjang 2007 dan 2008, UPM muncul juara Festival Zapin dan Festival Nasyid 2008 selain juara Festival Zapin, Deklamasi Puisi Merdeka dan Festival Pantun 2007.


    Komitmen tinggi UPM menyertai pertandingan anjuran MAKUM turut membolehkan mereka merangkul Anugerah Saron Wangsa MAKUM 2008.

    Ketua Unit Seni Budaya dan Kreatif Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM, Mohd Isnain Ali, berkata kemenangan itu adalah hasil kerjasama pelajar dan bimbingan BHEP.

    “Kemenangan ini cukup bermakna buat kami kerana segala penat lelah selama ini mendapat pengiktirafan.

    “Kemenangan ini memberi semangat kepada penggiat seni dan budaya di UPM terus meningkatkan mutu persembahan dan mencapai lebih banyak kejuaraan,” katanya.

    Anugerah Seni MAKUM diadakan secara dwitahunan itu memberi pengiktirafan terhadap usaha dan hasil seni yang dihasilkan IPTA sepanjang 2007 dan 2008.

    Empat lagi anugerah yang dipertandingkan antaranya anugerah Bonang Emas, Gambang Mustika, Gendang Sari dan Kenong Budi.

    UKM pertahan kejuaraan

    UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) mempertahankan kejuaraan tahun lalu apabila dinobatkan juara Pertandingan Sistem Kuasa Elektrik (Electric Power System Competition 2009 - EPSCOM 2009) yang berlangsung di Panggung Seni, Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), UKM, baru-baru ini.

    Pasukan UKM B yang terdiri dari pelajar tahun empat Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) iaitu Mohd Hairil A Karim, Diana Tan Hui Lyn dan Adilah Zaira Abu Bakar menewaskan 13 pasukan dari lapan institusi pengajian tinggi (IPT) yang mengambil bahagian.


    Pertandingan yang dinilai berasaskan penyelesaian masalah tenaga elektrik anjuran bersama Institut Elektrik Elektronik Engineers (IEEE) Pes, Cigre, UKM, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) melayakkan pasukan UKM B pulang dengan hadiah wang tunai RM9,000, piala dan sijil.

    Mereka juga dipilih menerima hadiah bagi Kategori Penyelesaian Terbaik dengan hadiah wang tunai RM900.

    Timbalan Presiden Kanan TNB, Datuk Wira Sidik Ahmad, berkata pertandingan ini sangat berguna kepada pelajar IPT dalam mencari penyelesaian sesuatu masalah yang timbul khususnya berkaitan bekalan elektrik.

    "Pelajar perlu faham teori dan realiti alam pekerjaan kerana kedua-duanya memainkan peranan penting dalam isu semasa.

    "Selain itu, masyarakat setempat juga perlu diutamakan kerana mereka adalah tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan," katanya.

    Hadir sama, Timbalan Naib Canselor, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Prof Dr Sheikh Ghazali Sheikh Abod, Dekan Fakulti Kejuruteraan UKM, Prof Dr Mohd Marzuki Mustafa, Pengerusi EPSCOM, Dr Ir. Abdul Halim Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, Prof Dr Azah Mohamed.

    Sementara itu, pasukan Universiti Malaya A (UM) terdiri daripada Lim Chee Shen, Che Hang Seng dan Mohd Nizam Esa dipilih Naib Juara dengan menggondol wang tunai RM6,000, piala dan sijil manakala pasukan UM B di tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM3,000, piala dan sijiil.

    Pasukan UM B juga dipilih menerima Kategori Persembahan Terbaik dengan hadiah wang tunai RM900.00.

    Antara IPT yang mengambil bahagian ialah Universiti Muiltimedia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Malaya, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

    Warga USIM bantah Israel


    Oleh Suliati Asri

    Program Rapat Umum disertai 5,000 kakitangan, pelajar di kampus induk

    BAGI menentang keganasan Israel terhadap Palestin yang mengorbankan insan tidak berdosa terutama wanita dan kanak-kanak, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengadakan program Rapat Umum di kampus induknya, Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.


    USIM turut menganjurkan kutipan derma segera daripada kakitangan dan pelajarnya selama seminggu bagi misi bantuan kemanusiaan.

    Penolong Pendaftar Pusat Hubungan Industri dan Khidmat USIM, Syafful Annuar Sarani, berkata program ini diadakan untuk menunjukkan keprihatinan warga USIM terhadapnasib yang menimpa rakyat Palestin.

    Selain itu, menurutnya, ia juga satu cara memupuk nilai murni dan menolak keganasan di kalangan warga USIM.

    "Dari hari ke sehari, semakin ramai insan yang tidak berdosa menjadi mangsa keganasan Israel.

    "Sayangnya, kita tidak ada kuasa menghentikan kekejaman itu melainkan berdoa dan melakukan protes ini.

    "Ini juga satu cara memberi sokongan kepada rakyat Palestin dari segi moral dan kewangan supaya mereka bersemangat meneruskan hidup," katanya.

    Program yang disertai 5,000 kakitangan dan pelajar USIM dimulakan dengan laungan 'Allahuakbar' dan perarakan bermula dari Bangunan Canselori menuju ke Stadium Tertutup, Nilai.

    Sementara itu, Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr Abdul Shukor Husin, meminta warga USIM secara sukarela memotong satu hari gaji untuk didermakan kepada rakyat Palestin.

    "Walaupun hanya menderma sebanyak satu sen, ia sangat bernilai seolah-olah mendermakan satu panadol kepada rakyat Palestin.

    "Di samping itu, saya juga berharap semua warga USIM berhati-hati dalam menghulurkan bantuan bagi mengelak pihak lain mengambil kesempatan," katanya.