Wednesday, May 20, 2009

Cabaran kembara ilmu


Oleh Samadi Ahmad




BERKAYUH melebihi 150 kilometer (km) dalam tempoh tiga hari memang menuntut stamina dan keazaman tinggi. Lebih mencabar apabila ekspedisi itu mengharungi cuaca panas merentasi jalan raya Kemaman-Kuala Terengganu.

Bagaimanapun, semua faktor itu tidak menjadi penghalang kepada 64 mahasiswa Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) yang menyertai Kembara Berbasikal Rakan Muda 2008.


Program kembara ilmu bertema ‘Had Batasan Kami Melangkaui Kembara Perjalanan’ anjuran Kelab Basikal UIAM dengan kerjasama Sekretariat Rakan Muda, Kementerian Belia dan Sukan Malaysia.

Ekspedisi berbasikal itu bertujuan memupuk jati diri dan ketahanan mental peserta di samping menyuntik semangat motivasi pelajar ke menara gading.

Program itu turut memberi peluang peserta melawat ke beberapa kawasan pelancongan menarik di Terengganu.

Konsep ekspedisi itu bukan kepada kelajuan tetapi untuk mendisiplinkan peserta dengan cara tunggangan yang selamat dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia.

Pengarah program, Rozara Rozman, 21, pelajar tahun dua jurusan Ekonomi, berkata walaupun ada yang pertama kali menyertainya, kebanyakan mereka tidak menghadapi masalah menamatkan ekspedisi.

Menurutnya, sepanjang ekspedisi itu, pelbagai dugaan yang perlu dihadapi namun ia tidak mematahkan semangat.

“Kami terpaksa mengayuh basikal dalam hujan lebat kerana mengejar masa untuk menamatkan ekspedisi.

“Kami juga menghadapi situasi genting apabila ada peserta berlanggar sesama sendiri dan basikal rosak.

“Namun, syukur semua masalah itu dapat ditangani,” katanya.

Program selama tiga hari ini bermula dengan program motivasi di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Chukai, kemudiannya mengayuh basikal ke Kemaman dan sesi bersama pelajar SMK Tengku Intan Zaharah, Dungun pada sebelah malam.

Di hari kedua, peserta singgah di beberapa tempat pelancongan di Terengganu seperti Masjid Terapung, Muzium Negeri, Taman Tamadun Islam dan Masjid Kristal di Pulau Wan Man.

Pada hari terakhir program, peserta berbasikal ke Universiti Darul Iman Malaysia (UDM) dengan pelbagai acara, antaranya permainan wau, congkak, dam haji, tarik tali dan batu seremban.

Timbalan Rektor UIAM, Datuk Hamidon Abdul Hamid menyempurnakan majlis penutupan program.

Peserta program, Haslina Nazari, 23, berkata ekspedisi itu suatu cabaran baginya dan segala pengalaman yang dilalui akan dijadikan panduan masa hadapan.

“Sebagai pelajar universiti, kami perlu memainkan peranan penting dalam membantu memastikan pelajar yang menuntut di sekolah menyimpan impian untuk ke menara gading,” katanya.