Wednesday, May 20, 2009

Ekstrak rawat luka


Oleh Suliati Asri




PENYELIDIK Universiti Putra Malaysia (UPM), berjaya membuktikan ekstrak tumbuhan daripada daun kelapa sawit, rumpai laut dan daun keledek boleh dijadikan penyembuh luka yang pantas.

Profesor Kanan Fakulti Sains dan Teknologi Makanan, Profesor Dr Suhaila Mohamed, berkata hasil penyelidikannya membuktikan produk yang diberi nama Healex itu boleh meningkatkan pemulihan luka atau kecederaan tisu dan organ dalaman dengan lebih cepat.


Menurutnya, Healex dapat mempercepatkan proses pemulihan terutama kepada individu yang mengalami kadar penyembuhan yang lambat seperti pesakit kencing manis.

"Produk ini juga mesra alam dan tidak mempunyai toksik seperti produk lain yang banyak menggunakan bahan kimia.

"Penggunaan produk ini sangat mudah kerana ia boleh dimakan dan disapu di bahagian luka. Ia boleh didatangkan dalam bentuk kapsul dan sapuan.

"Selain itu, produk ini sesuai untuk mereka yang mempunyai tekanan darah tinggi, kolesterol, penyakit kardiovaskular dan kanser," katanya ketika ditemui pada Majlis Promosi Hasil Penyelidikan UPM, baru-baru ini.

Dalam pada itu, Dr Suhaila berkata, kajian ke atas tikus menunjukkan Healex dapat meningkatkan tahap pemulihan sebanyak 30 peratus untuk luka yang dalam atau lebar.

Kata Dr Suhaila, daripada kajian yang dilakukan pada luka haiwan, didapati berlaku pemulihan sepanjang dua sentimeter pada hari ke-15 berbanding luka yang tidak disapu dengan produk terbabit.

"Bahagian luka yang disapu dengan produk itu akan mengalami kadar pengecutan, kematangan dan granulasi tisu lebih pantas bagi tujuan penyembuhan luka," katanya.

Pada majlis berkenaan, Dr Suhaila turut membentangkan penyelidikannya yang kedua iaitu Addex, sejenis bahan antipenyerapan minyak pertama di dunia yang dipercayai dapat membantu mengurangkan 30 peratus penyerapan minyak dalam makanan bergoreng.

Menurut Dr Suhaila, produk berkenaan dihasilkan daripada rumusan khas biophenol yang diperoleh daripada ekstrak tumbuh-tumbuhan.

"Addex bersifat antioksida lemak semula jadi sehingga 85 peratus terhadap makanan. Ia dapat membantu menghalang tekanan darah tinggi serta bertindak sebagai antialah, antikejang otot, antikuman, antikolesterol, antibengkak, antikanser selain meningkatkan kerangupan serta rasa makanan.

"Penggunaan produk ini juga dapat membantu mengurangkan masalah kegemukan, kolesterol tinggi, kanser, tekanan darah tinggi dan penuaan yang disebabkan pengambilan lemak berlebihan," katanya.