Wednesday, May 20, 2009

IPTA terokai bidang baru


PUTRAJAYA 14 Mei - Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diingatkan berusaha menerokai bidang baru untuk meningkatkan kedudukan serta reputasi masing-masing agar mampu bersaing di peringkat global.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, IPTA tidak boleh lagi setakat berbangga dengan pencapaian dalam negara kerana ia seolah-olah tidak menggambarkan sebarang peningkatan dalam prestasi mereka.

Menurutnya, ekonomi dunia akan terus meningkat dan seharusnya peluang itu tidak disia-siakan oleh mereka dengan menawarkan keistimewaan serta kelebihan pembelajaran supaya mampu menarik lebih ramai pelajar dari luar negara.

''Sewajarnya IPTA selepas sekian lama ditubuhkan berusaha untuk bergerak lebih jauh ke depan, bukan statik begitu saja.

''Terokai bidang baru untuk tingkatkan kedudukan hingga peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) di sini hari ini.

Pemeteraian MoU tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Tan Sri Dr. Nordin Kardi serta Pengarah ACCA ASEAN dan Australiasia, Tay Kay Luan.

Menerusi kerjasama tersebut, para pelajar UUM yang sedang mengikuti program ijazah perakaunan berpeluang mengambil kursus profesional ACCA secara serentak.

Pelajar tahun akhir yang memperoleh sekurang-kurangnya purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.0 mata akan diberikan pengecualian tertentu daripada ACCA untuk meneruskan kursus profesional perakaunan.

Mohamed Khaled memberitahu, kerjasama pertama kali itu membuktikan bahawa badan profesional berkenaan mengiktiraf kemampuan UUM.

''Pelajar yang mengikuti program ini bukan saja dapat ijazah apabila tamat pengajian, tapi keluar dari universiti sebagai seorang profesional dalam bidang perakaunan," katanya.

Jelasnya, keistimewaan tersebut mampu menjadi tarikan kepada para pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di UUM.