Wednesday, May 20, 2009

Isu bahasa berkocak semula


Oleh Suliati Asri



MULANYA isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sudah senyap, tiba-tiba berkocak semula malah lebih panas berbanding sebelumnya.

MULANYA isu Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) sudah senyap, tiba-tiba berkocak semula malah lebih panas berbanding sebelumnya.

Setakat ini, Kementerian Pelajaran masih menangguhkan keputusan sama ada mengekal atau kembali mengguna bahasa Malaysia.


Pelbagai pro dan kontra diterima berhubung pelaksanaan PPSMI, ada yang mendakwa ia merosakkan bahasa Melayu manakala yang lain mahu ia dijadikan landasan untuk anak Melayu mahir bertutur bahasa Inggeris.

Bagi pihak yang membantah, PPSMI dikatakan bertentangan dengan maksud dan semangat Perlembagaan selain mencabar Perkara 152, Perkara 159, Perkara 10(4), Akta Pelajaran 1996, akta Bahasa Kebangsaan dan lain-lain yang menjamin hak dan kedudukan bahasa Melayu dalam setiap urusan rasmi kerajaan, termasuk pendidikan.

Bagi Menteri Pelajaran, Datuk Seri Hishamuddin Tun Hussein, beliau menganggap isu itu tidak perlu didebatkan.

Beliau berkata, di peringkat dasar, PPSMI masih relevan tetapi kini dalam proses pengubahsuaian.

Isu ini kian rumit dan membingungkan banyak pihak malah menjadi bahan kepada pemimpin politik untuk berkempen.

Setiausaha Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM) , Khairul Anwar Shazali, berkata pihaknya bersetuju PPSMI dimansuhkan kerana ia memberikan lebih banyak keburukan berbanding kebaikan.

Beliau berkata, PPSMI membuatkan subjek Sains dan Matematik menjadi semakin sukar difahami pelajar.

"Dua subjek ini adalah mata pelajaran yang sukar bagi sesetengah pelajar di sekolah. Jadi dengan pembelajaran dalam bahasa Inggeris (BI), pelajar hilang tumpuan.

"Ibu bapa juga hilang minat menghantar anak ke sekolah berikutan keputusan pembelajaran anak-anak mereka merosot.

"Kajian mendapati, 85 peratus responden sukar untuk memahami Sains dan Matematik dalam BI," katanya.

Khairul berkata, bagi mengelak generasi muda yang bijak pandai terkorban, PPSMI perlu dimansuhkan.

"Lebih baik kita mengorbankan enam generasi yang sudah mengikuti pembelajaran PPSMI ini daripada kita mengorbankan generasi yang akan datang," katanya.

Bekas Pengerusi Dewan Bahasa da Pustaka (DBP), Datuk Dr Hassan Ahmad, isu bahasa mempunyai maksud yang mendalam kerana ia membabitkan bahasa Melayu (BM) dan agama Islam.

"Bahasa ialah pemikiran. Kita menggunakan bahasa untuk berfikir dan mencipta sesuatu yang baru. Jadi, jika kita menggunakan bahasa ibunda, kita boleh berfikir dengan lebih mudah.

"Oleh itu, kita seharusnya perlu menguasai subjek ini dalam BM agar generasi muda boleh mencipta Sains dan Matematik dalam bahasa kita sendiri tanpa meniru," katanya.

Menurutnya, sekolah sudah menggunakan Sains dan Matematik dalam BM sejak berpuluh tahun malah puluhan ribu pelajar kita menguasai subjek itu dalam BM.

"Kini, ada lebih 2,000 tesis dalam BM yang dihasilkan pelajar kita dan pastinya jumlah ini akan bertambah dari tahun ke tahun.

"Jadi, pelaksanaan PPSMI ini sudah tidak relevan hanya semata-mata bagi menguasai Sains dan Matematik," katanya.

Ketua Dewan Pemuda Pas Pusat, Salahuddin Ayub, berkata BM boleh menjadi bahasa dunia serta bahasa ilmu dengan usaha semua pihak.

Menurutnya, kita perlu bersatu dan berusaha menjadikan BM bahasa disegani, bukannya merosakkannya dengan PPSMI.

"Kita tidak akan ketinggalan hanya kerana menggunakan BM kerana negara maju seperti Korea dan Jepun mampu berjaya tanpa mengagungkan bahasa asing.

"Justeru, kerajaan perlu memikir semula pelaksanaan PPSMI kerana masyarakat menolak perkara ini.

"Saya tidak menafikan BI adalah bahasa ilmu dan sangat penting tetapi jangan lupa bahasa sendiri," katanya

Ketua Angkatan Muda Parti Keadilan Rakyat, Shamsul Iskandar Mohd Akin, berkata jika kerajaan mahu pelajar menguasai BI, sekolah perlu menambah subjek BI, bukan menggantikan dengan Sains dan Matematik dalam BI.

"Isu ini perlu diteliti semula dan mansuhkan sahaja agar ia tidak menghancurkan negara satu hari nanti.

"Kita perlu mengembalikan Sains dan Matematik dalam BM agar generasi kita lebih maju dan setanding negara luar," katanya.

Sementara itu, Ahli Parlimen Pasir Salak, Datuk Tajuddin Abdul Rahman, berkata pelaksanaan PPSMI ini bukanlah bertujuan untuk mengkhianati bahasa.

Beliau berkata, walaupun mempelajari dua subjek ini dalam bahasa asing, ia tidak bermaksud kita mengkhianati dan menjatuhkan BM.

"Sekarang ini, apa yang penting adalah ilmu kerana untuk memajukan negara, kita harus mempunyai generasi yang boleh menerajui kemajuan negara kita.

"Perlaksanaan PPSMI ini adalah kerana kita tidak mahu pelajar kita tercicir terutama dalam bidang sains dan perubatan kerana kebanyakan buku-buku dalam bidang ini diterbitkan dalam BI," katanya.

Tajuddin berkata, tanpa menguasai Sains dan Matematik dalam BI, tidak ramai anak-anak kita yang akan menjadi pencipta berikutan mempunyai pengetahuan yang tidak mencukupi dalam bidang ini.

"Ilmu sains dan teknologi ini luas dan ia perlu diterokai. Namun, untuk menguasainya, kita perlu kuasai bahasa mereka dulu.

"Memang Jepun boleh maju walaupun masih menggunakan bahasa ibundanya namun, sebelum mengecapi kemajuan itu, mereka juga tetap menghantar bijak pandainya ke luar negara.

"Andai kita sudah menguasai teknologi dan ilmu dalam subjek ini, ia akan diterjemah kepada BM dan kita tetap menggunakan bahasa kita," katanya.



INFO PPSMI

  • Mula dilaksanakan pada 2003 dengan perbelanjaan sebanyak RM46 juta bagi pembayaran imbuhan khas kepada guru mata pelajaran bahasa Inggeris, Sains dan Matematik yang terbabit dalam program Pengajaran dan Pembelajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Inggeris (PPSMI).

  • Selepas dua tahun pelaksanaannya, banyak pihak membantah sebarang cadangan menarik balik dasar itu berikutan tahap kefahaman murid sekolah rendah serta pelajar menengah terhadap PPSMI didapati meningkat.

  • Calon PMR 2005 adalah kumpulan pertama yang digalakkan menjawab kedua-dua subjek itu dalam bahasa Inggeris

  • Bagi memenuhi keperluan 2007 dalam sistem ini, Pusat Perkembangan Kurikulum (PPK) melatih 1,564 Jurulatih Utama (JU) mata pelajaran Sains dan Matematik sekolah rendah dan menengah sebagai persediaan melatih guru kedua-dua subjek berkenaan.

  • Keputusan peperiksaan Penilaian Menengah Rendah (PMR) 2006, subjek ini stabil dan menampakkan pelajar makin selesa belajar kedua-dua subjek itu dalam Bahasa Inggeris.

  • Pelaksanaan PPSMI yang masuk tahun keempat mencacat keputusan memuaskan apabila murid tahun empat mengikuti ujian Sains mencatatkan kelulusan 61 peratus manakala bagi mata pelajaran Matematik, kelulusannya 59 peratus.

  • Pencapaian ini dianggap memuaskan berikutan murid tahun empat baru beralih dari tahap satu ke tahap dua yang lebih sukar.

  • Tahun keenam pelaksanaan PPSMI, ia menunjukkan prestasi membanggakan apabila hampir semua negeri menunjukkan prestasi membanggakan dengan mencatatkan peningkatan dari segi peratus calon yang memperoleh sijil penuh dalam peperiksaan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) tahun lalu.

  • Calon SPM 2007 adalah kumpulan pertama pelajar yang mengikuti program pengajaran dan pembelajaran Sains dan Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) yang bermula 2003.

  • Bagaimanapun, Kementerian Pelajaran disaran mengkaji semula pelaksanaan Pengajaran dan Pembelajaran Sains dan Matematik Dalam Bahasa Inggeris (PPSMI) sejak lima tahun lalu kerana ia gagal meningkatkan pemahaman konsep, ilmu dan kemahiran kedua-dua subjek berkenaan.

  • Kemelut mengenai dasar PPSMI bermula apabila banyak pihak yang mula mempertikaikan kewajaran dasar ini. Walau bagaimanapun, kerajaan masih belum mengambil sebarang keputusan berkaitan dasar ini.

  • Gerakan Mansuhkan PPSMI menghantar memorandumnya kepada ahli parlimen dan akan mengadakan perhimpunan di hadapan Istana Negara bagi membantah dasar ini.