Wednesday, May 20, 2009

Kejuruteraan kimia tonggak UniKL MICET



Dr. Azanam Shah Hashim (tiga dari kiri) bersama penuntut yang memenangi pertandingan 4th Malaysian Chem-E Car Competition 2009, baru-baru ini.


KURSUS teknologi kejuruteraan kimia yang ditawarkan Universiti Kuala Lumpur Malaysian Institute of Chemical & Bioengineering Technology (UniKL MICET) menjadikannya antara universiti teknikal di negara ini.

Kejayaan itu sejajar dengan kemampuan universiti ini yang mempunyai kemudahan peralatan yang lengkap dan terkini dalam bidang teknologi kejuruteraan kimia.

Ditambah pula dengan sokongan 43 makmal di antaranya Makmal Analisis Kimia, Makmal Asas Kimia, Makmal Teknologi Kimia, Makmal Penyediaan, Ujian & Penilaian Polimer, Makmal Pemprosesan Getah, Makmal Analisis & Pemprosesan Makanan, Makmal Analisis & Ujian Produk Kimia, Makmal Komputer, Makmal Rawatan Air, Makmal Kawalan Pencemaran Udara dan Makmal Sains Alam Sekitar lengkap dengan kemudahan peralatan.

Ini membolehkan pelajar menggunakan peralatan dengan kadar nisbah satu untuk dua pelajar, selain kemudahan dewan kuliah, bilik kuliah, bilik tutorial, perpustakaan, makmal teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) dan kemudahan asrama.

Yang pastinya, kecanggihan teknologi di UniKL MICET mampu melahirkan para graduan yang berkebolehan menghasilkan barang keperluan harian seperti makanan, plastik, ubat-ubatan, petroleum dan gas.

Apatah lagi, dengan gabungan 73 tenaga pensyarah yang terdiri daripada profesor, profesor madya, pensyarah tempatan, pensyarah antarabangsa yang berpengalaman dari Jerman dan Indonesia.

Tenaga pengajar berkaliber ini turut dibantu oleh 40 juruteknik kejuruteraan kimia. Sistem pengajaran dan latihan baru yang dicetuskan berupaya mewujudkan suasana lebih inovatif bagi memenuhi keperluan pembelajaran pelajar yang pelbagai.

Pada 6 Mac lalu, UniKL MICET menjadi tuan rumah pertandingan 4th Malaysian Chem-E Car Competition 2009.

Pertandingan anjuran Institut Kejuruteraan Malaysia (IEM) itu disertai oleh tujuh institusi pendidikan tinggi Malaysia iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM), Universiti Sains Malaysia (USM), Universiti Teknologi Mara (UiTM), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan UniKL MICET.

Pada pertandingan itu para pelajar UniKL MICET berjaya menjadi juara buat kali kedua selepas tahun 2006.

Kejayaan itu juga adalah hasil bimbingan para pensyarah dan kerja keras pelajar di dalam jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Proses) iaitu Ahmad Fadzil Rosedi, Mohd. Zulkifli Ramly dan Nur Hazwan Shariful Azman manakala Zikkri Zainal Abidin dari jurusan Ijazah Sarjana Muda Teknologi Kejuruteraan Kimia (Alam Sekitar).

Pertandingan begini amat mencabar nilai kreativiti dan daya saing inovasi pelajar ke peringkat yang lebih tinggi.

Menerusi pertandingan ini juga, kejuruteraan kimia akan diletakkan di tahap yang lebih tinggi. Seterusnya mencetuskan fenomena baru dalam peta dunia sebagai peneraju inovasi teknologi tinggi beraplikasi.

Wakil negara

Gelaran juara ini juga bermakna pasukan UniKL MICET akan mewakili negara dalam Kongres Kejuruteraan Kimia Dunia kelapan di Montreal, Kanada, Ogos ini.

Di samping itu, UniKL MICET turut diberi penghormatan mengadakan buat julung kalinya '1st PRIM's Student Chapter Carnival' dengan tema 'Industri Polimer dalam Pembangunan Mapan'.

Program ini dianjurkan oleh Institut Getah dan Plastik Malaysia (PRIM) dengan kerjasama UniKL MICET.

Objektif utamanya adalah mengumpul pelajar bidang Teknologi Polimer, Kejuruteraan dan Sains sebagai landasan berkongsi maklumat serta aktiviti-aktiviti akademik dan sosial.

Empat institusi pendidikan tinggi Malaysia yang terlibat secara langsung adalah USM, UTM, UiTM dan UniKL MICET, selaku tuan rumah.

Menurut Dekan UniKL MICET, Prof. Dr. Azanam Shah Hashim, kerjasama pihak industri dan pakar polimer tempatan berjaya menghasilkan banyak produk berunsurkan getah, menggunakan bahan buangan (mineral) yang lebih selamat pada pengguna dan alam sekitar.

"Kilang berskala dunia menghasilkan produk separa siap (resin) sudah lama dibina di negara ini menjadikan Malaysia sebagai pembekal resin ternama di dunia.

"Faktor ini menjadikan industri plastik sebagai satu sektor paling dinamik di Malaysia," kata beliau.

Di samping kecemerlangan mahasiswa UniKL MICET, para pensyarahnya juga aktif dalam penganjuran kursus dan bengkel yang berkaitan dengan program-program berasaskan Kejuruteraan Kimia, Pertandingan Sains dan Reka cipta.

Kejuruteraan kimia adalah bidang yang sangat luas. Ia merangkumi bidang bioteknologi dan nanoteknologi sehingga pemprosesan mineral di mana ia dapat diterapkan dalam pelbagai sektor industri.

Di antaranya adalah seperti genetik biokimia, kimia, sains pemakanan, kejuruteraan teknologi makanan, kejuruteraan makanan, kejuruteraan kimia, kejuruteraan biokimia, elektronik dan mikrobiologi.

Terdapat banyak peluang kerjaya dalam kejuruteraan kimia seperti penyelidikan dan pembangunan, pendidikan di universiti dan pengurusan kerajaan.

Di sektor swasta pula, peluang kerjaya terbuka luas di syarikat-syarikat tempatan dan multi nasional. Pasaran global yang berasaskan bioteknologi juga sangat berkembang luas dan pesat.

Sementelah lagi, UniKL MICET melalui aktiviti Teknoputra menawarkan banyak kursus jangka pendek kepada industri.

Antaranya memberi khidmat nasihat cara menghasilkan makanan yang berkhasiat mengikut nutrien yang seimbang, program pembungkusan makanan, program rawatan air dan mengenalpasti kewujudan kandungan DNA khinzir di dalam makanan ataupun sesuatu produk.

UniKL MICET yang terletak di Taboh Naning, iaitu Kawasan Perindustrian Bandar Vendor, Alor Gajah, Melaka juga mempunyai kilang mini yang mana peralatan yang disediakan bertaraf kilang sebenar. Ia membolehkan pelajar tahun akhir menjalankan proses penyelidikan dan pembangunan.

Untuk keterangan lanjut hubungi 06-551 2000 atau faks ke 06-551 2001 ataupun layari laman web di alamat: www.unikl.edu.my.