Wednesday, May 20, 2009

Mahasiswa UIAM curah bakti di 4 kampung

BAGI memberi pendedahan berkaitan pergaulan dan komunikasi dengan masyarakat luar, Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) mengadakan program Bakti Siswa Mahabbah Negeri Sembilan, baru-baru ini.

Program anjuran bersama Jawatankuasa Perwakilan Kolej Al-Faruq, Talhah, Sumayyah dan Maimunah serta Jawatankuasa Kemajuan Kampung (JKKK) ini menggunakan pendekatan khidmat masyarakat bagi mengeratkan perpaduan dalam kalangan mahasiswa.


Majlis dirasmikan Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Seri Menanti, Abdul Samad Ibrahim.

Pengarah program, Mohd Habibudin Ahmad, 23, berkata sambutan pelajar amat menggalakkan walaupun ia program pertama dilaksanakan.

"Sepanjang program lima hari, kami banyak memberi pendedahan berkaitan konsep membina keyakinan diri serta semangat berdikari.

"Dengan aktiviti tinggal bersama keluarga angkat, pelajar dapat merasai senario berbeza kehidupan bermasyarakat di kampus dan kampung yang mengamalkan adat Minangkabau," katanya.

Empat kolej mengambil bahagian termasuk kuliah perubatan cawangan Kuantan membabitkan 109 mahasiswa dan 40 keluarga angkat.

Di sepanjang program itu, mahasiswa mencurah bakti di tiga kampung dalam daerah Kuala Pilah iaitu Kampung Gementir, Ibol dan Tanjung Ipoh.

Mohd Habibudin berkata, daripada maklum balas yang diperoleh, mahasiswa yang menyertai program ini tertarik dengan keunikan adat Minangkabau yang diamalkan masyarakat setempat.

"Selain itu, peluang melawati beberapa tempat bersejarah serta layanan baik keluarga angkat memberikan pengalaman cukup berharga," katanya.

Sementara itu, pelajar jurusan sains cawangan Kuantan, Nurul Zainariza Zainal Abidin, 21, berkata program ini membantu pelajar di kampung ini mencintai ilmu.

"Melalui latihan berterusan dan motivasi, kami dapat melihat kemahiran mereka yang perlu digilap dan ada potensi berjaya," katanya.

Bagi Alif Awaludin, 23, pelajar tahun empat jurusan Sains Bersekutu, program itu memberikan pendidikan tidak formal kepada mahasiswa berkaitan kepelbagaian budaya dan adat orang Melayu.

Menurut Alif, pengalaman kali pertama bertemu keluarga angkat dengan memberikan buah tangan sekilo gula adalah cukup unik kerana ia melambangkan kemanisan dalam keluarga.

Aktiviti yang dijalankan sempena program itu, antaranya kursus pengurusan jenazah, solat berjemaah, forum keagamaan, sukaneka, pameran kesihatan dan majlis kenduri.

Sebelum pulang, mahasiswa mengadakan gotong-royong, memasak beramai-ramai dan mengadakan lawatan rumah ke rumah bagi mengeratkan hubungan silaturahim.