Wednesday, May 20, 2009

Pelajar K15 UPM curah bakti di rumah anak yatim

BAGI memupuk pelajar beramal kepada masyarakat, pelajar Kolej Lima Belas Universiti Putra Malaysia (UPM) mengadakan Program Menyemai Budi Mengikat Kasih di Sabak Bernam, Selangor baru-baru ini.

Seramai 62 pelajar mengambil bahagian dan menyampaikan sumbangan kepada Asrama Pertubuhan Kebajikan Anak Yatim Islam, Selangor


Pengarah program, Zakiyah Ahmad, berkata program ini amat bermakna kerana ia dapat mengisi masa terluang pelajar dengan aktiviti bermanfaat di samping menunaikan tanggungjawab mencurahkan bakti kepada golongan yang memerlukan.

"Mereka bukan saja boleh menyumbang tetapi juga mampu menjadi pemangkin semangat kepada anak-anak ini untuk berjaya," katanya.

Zakiyah berkata, asrama anak yatim di luar bandar kurang menerima sumbangan berbanding kawasan bandar sedangkan mereka amat memerlukan sumbangan sektor awam dan korporat.

"Selain itu kami akan mengadakan lawatan ke rumah orang tua dan kempen derma darah," katanya.

Pada sesi lawatan itu, Kolej Lima Belas UPM menyumbang barangan makanan, hamper, hadiah daripada pelajar dan barangan sumbangan Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP), UPM yang disampaikan Penolong Pengurus Kolej Lima Belas, Haliena Azhar kepada 46 anak yatim.

Selain itu, mereka juga menjalankan pelbagai aktiviti bersama anak yatim antaranya aktiviti suai kenal, jamuan makan, sukaneka, kuiz dan gotong-royong membersihkan kawasan asrama anak yatim.