Wednesday, May 20, 2009

Perlu waras gempur Yahudi


Oleh Abu Qassim Nor Azmi


DUNIA mengutuk kekejaman Zionis menghapuskan rakyat Palestin selain mengasingkan Islam dari pegangan umat Nabi Muhammad s.a.w.

Bukan setahun dua, malah ratusan tahun lamanya. Mereka tidak pernah lupa malah jauh sekali untuk terlupa.


Keriuhan anak muda berdemonstrasi, laungan dan pekikan “jahanam Yahudi” terus berkumandang di setiap ruang kampus.

Kesediaan Kementeriaan Pengajiaan Tinggi (KPT) membenarkan perhimpunan aman di Institut Pengajian Tinggi Awam (IPTA) bagi membantah penindasan Israel terhadap Palestin sesuatu yang dialu-alukan.

Sebagai mencipta sejarahnya yang tersendiri, tanggal 9 Januari lalu, ribuan mahasiswa, pensyarah dan pentadbir berkumpul di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) kampus Kuantan untuk menyatakan suara hati mereka terhadap kekejaman zionis.

Namun, di sebalik kerancakan demonstrasi, timbul persoalan, sejauh mana perhimpunan itu mampu mengucap selamat tinggal kepada penindasan dan kekejaman itu?

Apakah resolusi memulaukan barangan buatan Amerika dan sekutunya dapat memastikan kedaulatan Palestin dipelihara?

Kira-kira dua minggu dilancarkan, “Operation Cast Lead” mengorbankan lebih 700 nyawa, kebanyakan penduduk awam.

Namun, kita sepatutnya kecewa kerana gagal membaca sejarah, belajar, berfikir dan merangka sesuatu daripadanya. Kita tidak rela terjerumus dalam lubang yang sama namun hakikatnya arah itu yang kita tuju.

Ketika usianya menjangkau 60 tahun, Israel mendominasi dan mempengaruhi iklim dan suasana dunia. Dengan hanya 7.282 juta penduduk pada tahun 2007 negara Zionis merekodkan Pendapatan Dalam Negara Kasar (KDNK) 188.936 bilion dolar Amerika.

Dari sektor pertahanan dan persenjataan, Israel memiliki kecanggihan teknologi keempat di dunia, meninggalkan negara-negara Islam yang lain.

Justeru, apakah tidak sedikit pun timbul rasa malu dan segan umat Islam yang diberikan amanah mentadbir dan mengurus alam, hidupnya dengan bekal al-Quran dan hadis yang bukan sekadar kata malah terbukti pada teladan kehidupan, sedangkan kita masih mundur?

Dalam menangani masalah itu, kita harus tenang dan waras. Api kemarahan semata-mata tidak membantu malah lebih menyulitkan keadaan.

Anak muda harus matang dan berhikmah agar tidak menjadi tikus membaiki labu. Tidak salah untuk marah, tetapi biarlah kemarahan lahir dalam kewarasan pemikiran serta keluhuran keimanan terhadap Ilahi.

Jangan kita buka ruang-ruang bisikan syaitan menerusi kemarahan kita. Kita diajar cara bijak mengurus kemarahan yang akhirnya menuntut kita kembali bertaubat dan berserah diri pada-Nya.

Generasi al-Quds yang ulung pimpinan Salahuddin Al-Ayubi (1137-1193) sehingga mampu menawan kota Baitulmuqaddis pada tahun 1187 tidak lahir hanya setahun dua.

Malah, persiapan itu tidak salah jika dikatakan bermula sejak zaman Abu Hamid Muhammad ibn Muhammad al-Ghazali (1058-1111) lagi.

Penumpuan al-Ghazali terhadap persiapan ilmu dan pemurnian aspek aqidah menyediakan generasi gergasi seperti Salahuddin Al-Ayubi.

Pertamanya, kita perlu memperkukuhkan akidah Islamiah yang luhur agar kesatuan spiritual dapat dibentuk.

Menerusi kefahaman yang tepat akan membuka hati untuk umat bersatu.

Kedua, menguasai konsep ilmu sebenar dan menyediakan kepakaran terhadapnya. Penguasaan ilmu yang tidak dikuasai unsur sekular akan membawa muslim ke puncak jaya.

Ketiga, moral muslim terpuji harus ditonjolkan biarpun dibaling batu, kita membalas dengan manisan. Namun penting untuk kita melaksanakannya secara berhikmah dan berwawasan.

Akhirnya, kita hanya mampu merancang, tetapi Tuhan penentu segalanya. Teruslah bermotivasi dengan al-Quran dan sunnah agar diri terpandu pada jalannya yang sebenar.



  • Penulis adalah Exco Pendidikan dan Penyelidikan Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia.