Thursday, May 28, 2009

Pewarna mesra alam


Oleh Rosniza Mohd Taha


PELAJAR Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli, Norhazlinah Ahmad (berdiri) dan Nordiana Abu Bakar Sidek mengendalikan Submex.

UMP cipta mesin khas guna sumber semula jadi, kos pengendalian rendah

PENGHASILAN bahan pewarna berasaskan sumber semula jadi seperti tumbuhan dan buah-buahan kini semakin meluas kerana ia lebih selamat berbanding sintetik yang berasaskan bahan kimia.

Bagi memangkin penggunaan bahan pewarna mesra alam, penyelidik Universiti Malaysia Pahang (UMP) diketuai Dr Mimi Sakinah Abdul Munaim mencipta mesin khas untuk memudahkan proses penghasilannya bagi tujuan pengkomersialan.


Mesin Submerged Membrane Extractor (Submex) itu membolehkan proses mengekstrak dan mengasingkan bahan pewarna dilakukan secara berterusan berbanding kaedah tradisional yang mengambil tempoh lama kerana penghasilan dilakukan secara berkelompok.

"Ketika ini, bahan pewarna sintetik yang berasaskan bahan kimia digunakan secara meluas terutama dalam penghasilan barangan berasaskan tekstil, sedangkan ia bukan saja mengakibatkan pencemaran alam sekitar, malah memudaratkan kesihatan termasuk menyebabkan ruam serta alahan kulit.

"Kesedaran sejagat mengenai kepentingan beralih kepada penggunaan bahan pewarna mesra alam semakin meningkat, justeru kaedah penghasilan secara komersial perlu dibangunkan supaya ia berupaya memenuhi permintaan pasaran yang semakin meluas.

BAHAN pewarna dalam bentuk serbuk yang dihasilkan menggunakan Submex.

"Submex mampu menghasilkan sehingga 95 peratus pewarna daripada sumber asasnya secara berterusan menggunakan air dan agen pemangkin yang juga berasaskan tumbuhan berbanding pewarna sintetik menggunakan bahan pelarut," katanya kepada Berita Harian di UMP, Gambang, baru-baru ini.

Mimi berkata, tiga sumber semula jadi digunakan dalam kajian penghasilan pewarna menerusi Submex, iaitu buah naga, kunyit dan bunga senduduk.

Katanya, warna merah jambu dihasilkan menggunakan kulit buah naga, isi kunyit (oren dan kuning) serta bunga senduduk (ungu).

"Sumber semula jadi dipanaskan dengan air dan agen pemangkin biomordant yang berasaskan ubi kayu dalam reaktor sebelum ia diasingkan menggunakan komponen membran sehalus 500 nanometer yang dipasang siap pada mesin.

Dr Mimi Sakinah Abdul Munaim

"Mesin yang dihasilkan pada skala makmal ini mempunyai kapasiti 10 liter, mudah dikendalikan dan dialih serta boleh diubah suai mengikut keperluan industri," katanya.

Mengulas kos penghasilan pewarna menggunakan mesin itu, Mimi memberi contoh, pemprosesan 20 kilogram kulit buah naga hanya membabitkan kos 61 sen bagi setiap 10 gram sumber asas digunakan.

Katanya, analisis kos itu mengambil kira kos Submex yang dianggarkan RM500 seunit, biomordant (RM32 seliter) serta pelbagai perbelanjaan lain berjumlah RM79.80," katanya.

Mengenai potensi pengkomersialan bahan pewarna itu, beliau yakin ia bukan saja boleh dimanfaat industri tekstil, malah pengusaha makanan kerana agensi pengesahan halal turut menyatakan minat memasarkannya.

Hasil penyelidikan Mimi bersama rakan penyelidik dari Fakulti Kejuruteraan Kimia dan Sumber Asli UMP, Norasiha Hamid, Prof Madya Zulkafli Hassan dan Dr Zularisam Abd Wahid itu mendapat pingat gangsa pada Ekspo Teknologi Malaysia tahun ini.