Wednesday, May 20, 2009

Program motivasi galak pelajar berusaha untuk ke universiti

BAGI menyuntik motivasi di kalangan pelajar sekolah agar membina impian ke menara gading, pelajar Blok B, Kolej Za'ba, Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) mengadakan program motivasi Za'ba Untergraduate Motivation Program '08 (Prozum), baru-baru ini.

Prozum bertujuan membina ketrampilan pelajar dari segi mental, rohami dan jasmani dalam diri peserra agar mereka lebih berani menghadapi situasi yang mencabar kelak.


Prozum itu diadakan di Sekolah Menengah Teknik Taiping (SMTT) dan disertai 126 pelajar dari UPSI dan sekolah terbabit.

Pengetua Kolej Za'ba, Che Anuar Che Abdullah, berkata program itu berteraskan pembinaan sahsiah dan nilai-nilai murni dalam diri peserta yang berupaya memupuk nilai kerjasama dalam pasukan.

Menurutnya, sepanjang Prozum itu, peserta akan dibahagikan kepada lapan kumpulan dan setiap kumpulan itu menggabungkan peserta dari SMTT dan UPSI.

“Mereka akan melaksanakan pelbagai aktiviti dalam kumpulan seperti Explorasi Zoo Taiping, explorace, lawatan ke Rumah kebajikan Seri Kenangan, Ceramah Agama, Ekspedisi Bukit Larut dan persembahan kumpulan.

“Ini membolehkan peserta lebih akrab dan sentiasa bekerjasama dalam segala hal disamping mewujudkan ikatan persaudaraan yang utuh,” katanya.

Che Anuar berkata, pembinaan sahsiah dan nilai-nilai murni dalam diri peserta dapat dilihat dan dibentuk menerusi aktiviti yang diadakan.

“Melalui aktiviti pertama iaitu aktiviti Explorasi Zoo Taiping, sikap tanggungjawab dan kerjasama mereka akan terserlah kerana mereka akan menyumbang tenaga dengan membersihkan kawasan zoo.

“Dalam aktiviti Expolarace, peserta dikehendaki menyelesaikan tugasan di lima 'check point' bagi menguji kepercayaan di antara ahli kumpulan disamping memupuk semangat kerjasama.

“Program lawatan di Rumah Kebajikan Kenangan, peserta berpeluang menyelami hati warga emas dan memupuk rasa kasih sayang,” katanya.

Peserta Prozum itu juga berpeluang mengenang perjuangan Rasulullah s.a.w melalui ceramah agama bertajuk 'Rasulullah Contoh Pemimpin Terbilang Merentas Tamadun Manusia' yang disampaikan Ustaz Muhammad Hanif Shahabudin.