Wednesday, May 20, 2009

UiTM juara Pertandingan Debat Integriti IPT



PASUKAN UiTM dari kiri Khairulnizam Bakri, Siti Nadzirah Abdullah, Zarul Azhar Nasir dan Nizamuddin Abdul Hamid muncul juara pada Pertandingan Akhir Debat Perdana Integriti antara Institusi Pengajian Tinggi 2009 di UTM, Skudai, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 19 Mei - Universiti Teknologi Mara (UiTM) muncul juara Pertandingan Debat Perdana Integriti Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2009 pada pertandingan akhir di sini hari ini.

UiTM menewaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada pertandingan yang diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini.

Kemenangan kali kedua sejak 2005 itu membolehkan UiTM membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000, piala pusingan Perdana Menteri, piala replika pusingan Perdana Menteri, piala iringan setiap pendebat dan sijil penyertaan.

Kejayaan UiTM itu menjadi lebih bermakna apabila salah seorang pembahasnya, Khairulnizam Bakri, 24, dipilih sebagai pendebat terbaik.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan itu berkata, semangat berkumpulan dan latihan secara intensif yang diamalkan oleh rakan-rakan menjadi rahsia kejayaan UiTM apabila dinobatkan sebagai juara.

"Selain membuat kajian terperinci mengenai tajuk yang dibahaskan, kami membuat latihan vokal dan gaya persembahan supaya dapat memantapkan lagi perbahasan kumpulan kami.

"Pada masa sama, kami membuat rujukan membaca pelbagai bahan bacaan agar menguasai semua isu yang berlaku dalam negara dan peringkat antarabangsa ketika ini," katanya yang pernah gagap sehingga umur 12 tahun.

Selain Khairulnizam, UiTM diwakili Nizamuddin Abdul Hamid, Siti Nadzirah Abdullah dan Zarul Azhar Nasir masing-masing berusia 23 tahun.

UKM yang diwakili Shafiq Mahadi, Nil Mohd. Nashriq Mohd. Nazman, Mohd. Khalis Khalid dan Nurul Aqilah Mohd. Zahari terpaksa berpuas hati memenangi tempat kedua.

Pelajar-pelajar yang berusia 21 tahun itu membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000, piala iringan setiap pendebat dan sijil penyertaan.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pengajian Tinggi, Omar Abdul Rahman.

Turut hadir, Timbalan Naib Cancelor (Hal Ehwal Pelajar dan Akademik), UTM, Prof. Dr. Mohd. Tajudin Ninggal dan Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh.

Pertandingan Debat Perdana Integriti Antara IPT 2009 anjuran IIM dan Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) dianjurkan sejak 2005.

Pertandingan debat yang berlangsung ala Parlimen itu bertemakan 'Integriti Pemangkin Pembangunan Mapan' dengan disertai 42 pasukan daripada 21 IPT di seluruh negara.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam teks ucapannya berkata, kepentingan integriti dalam kehidupan individu khusus di kalangan pelajar IPT tidak boleh dipisahkan.

Jelasnya, satu kualiti unggul perlu dimiliki individu dan ia merangkumi sifat benar, jujur, ikhlas, adil, amanah, telus dan bijaksana.

"Di samping sifat mulia ini, pelajar IPT juga diharap mendalami ilmu agama sebagai jati diri dan pendinding daripada pelbagai pengaruh, anasir dan gejala sosial yang melanda masyarakat hari ini," katanya.