Wednesday, May 20, 2009

UiTM ungguli konvensyen


Oleh Suliati Asri




UNIVERSITI Teknologi Mara (UiTM) mengungguli Konvensyen Kumpulan Inovatif dan Kreatif (KIK) Kelima apabila Kumpulan My Smart UiTM dan E-wave dinobatkan johan keseluruhan dan tempat kedua yang berlangsung di Universiti Malaysia Sabah (UMS), baru-baru ini.

My Smart dinobatkan sebagai juara keseluruhan apabila mengungguli konvensyen itu dalam kategori teknikal, sekali gus membawa pulang piala pusingan dan wang tunai sebanyak RM3,000.


E-wave pula turut membawa pulang sijil dan wang tunai RM2,000 dan kumpulan Permata daripada Universiti Sains Malaysia yang menduduki tempat ketiga membawa pulang sijil dan RM1,000.

Timbalan Naib Canselor Penyelidikan dan Inovasi UMS, Profesor Rosnah Ismail, berkata konvensyen itu secara tidak langsung mendedahkan pelajar untuk berfikiran positif, kreatif, rasional dan bijaksana dalam mengharungi kehidupan seharian.

Menurutnya, konvensyen itu juga adalah platform untuk meningkatkan kerjasama berpasukan dan keyakinan diri untuk mencapai objektif yang dituju.

"Cetusan pemikiran tanpa disusuli dengan kesedaran tidak akan membawa apa-apa makna kepada individu atau organisasi.

"Oleh itu, kita perlu sedar perlunya melakukan sesuatu perkara dengan baik dan melaksanakan pekerjaan kita dengan efisien. Kita juga perlu sedar kerja itu satu amanah dan tanggungjawab yang perlu dilaksanakan," katanya.

Konvensyen yang julung kali diadakan di UMS itu disertai 20 kumpulan dari seluruh IPTA yang mengambil bahagian dalam dua kategori dipertandingkan pada konvensyen kali ini.

KIK juga pada kali ini memperkenalkan satu anugerah khas iaitu Anugerah Inovasi Harapan yang dimenangi kumpulan Sentrometer, Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM).