Wednesday, April 30, 2008

PTPTN kaji caj tiga peratus

Oleh Amirullah Andi Nur

Datuk Idris Haron

Menteri arah bayaran perkhidmatan diteliti bagi kurang beban peminjam

MELAKA: Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN) diarah mengkaji semula kadar caj perkhidmatan tiga peratus yang kini dikenakan kepada semua peminjamnya bagi mengurangkan beban mereka membayar balik pinjaman itu.

Arahan itu dibuat selepas isu caj perkhidmatan PTPTN dibangkitkan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, dalam mesyuarat kementerian baru-baru ini berikutan banyak rungutan yang diterima mengenainya.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Idris Haron, berkata Mohamed Khalid sudah mengarahkan supaya PTPTN membuat kajian mengenai caj perkhidmatan itu dengan tujuan memberi keselesaan kepada peminjam.

“Arahan itu dibuat selepas beliau meneliti pelbagai rungutan berkaitan isu berkenaan yang disampaikan banyak pihak termasuk pelajar dan ibu bapa,” katanya selepas merasmikan Forum Rangkaian Universiti Teknikal Malaysia (MTUN) Bersama Industri, di sini, semalam.

Program sehari ini dihadiri kira-kira 150 peserta dari empat universiti teknikal, iaitu Universiti Teknikal Melaka Malaysia (UTeM), Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Universiti Malaysia Pahang (UMP) dan Universiti Malaysia Perlis (UniMAP).

Bagaimanapun, Idris enggan mengulas jika arahan itu termasuk meminta PTPTN supaya mengurangkan caj perkhidmatan itu yang dianggap membebankan peminjam, sebaliknya meminta semua pihak menunggu hasil kajian berkenaan.

Beliau menegaskan, caj perkhidmatan tiga peratus yang kini dikenakan PTPTN bukan bertujuan membebankan peminjam khususnya pelajar yang baru menamatkan pengajian, sebaliknya diwujudkan bagi membiayai pengurusan PTPTN supaya ia dapat beroperasi dengan lancar.

Katanya, peminjam harus sedar wang yang digunakan untuk membiayai mereka sepanjang tempoh pengajian diperoleh daripada sumber kewangan lain yang turut mengenakan pelbagai caj kepada kerajaan pada kadar yang jauh lebih tinggi.

“Namun, kerajaan bersikap prihatin kerana sanggup menyerap hampir semua kos yang tinggi itu dan hanya mengenakan tiga peratus caj perkhidmatan bagi memastikan semua peminjam PTPTN tidak perlu menanggung beban.

“Caj perkhidmatan yang dikenakan PTPTN itu sebenarnya lebih menjurus kepada komitmen bagimemastikan dana daripada tabung berkenaan dapat terus disalurkan, sekali gus memastikan ia berjalan lancar,” katanya.

Idris yang juga Exco Pemuda Umno turut menegur segelintir peminjam PTPTN yang masih berdegil dan enggan membuat pembayaran balik walaupun selepas beberapa kali diberi notis peringatan, selepas menamatkan pengajian dan bekerja.

“Mereka perlu sedar, bayaran balik mesti dibuat untuk menjamin kesinambungan PTPTN. Kalau enggan bayar balik, ia boleh diibaratkan seperti menganiaya adik atau anak sendiri yang nanti mungkin tidak mendapat pinjaman kerana tabung itu kehabisan dana,” katanya.

Pada 19 April lalu, akhbar ini melaporkan kira-kira 17,500 peminjam PTPTN akan diheret ke mahkamah secara berperingkat dalam tempoh terdekat kerana gagal memberi maklum balas kepada agensi itu berhubung notis tuntutan diserahkan kepada mereka sejak 1997.

Ketua Pegawai Eksekutif PTPTN, Yunos Abdul Ghani, dilaporkan berkata nama 14,000 daripada mereka sudah diserahkan ke Jabatan Imigresen dan berkuat kuasa serta-merta mereka dihalang ke luar negara, manakala nasib 3,500 individu masih belum diputuskan di mahkamah.

Januari lalu, PTPTN juga sudah menghantar senarai nama 200,000 peminjamnya yang ingkar membayar balik pinjaman kepada Jabatan Imigresen bagi menghalang mereka ke luar negara, termasuk untuk mengerjakan haji atau umrah.

PTPTN berkata, tindakan tegas menyenaraihitamkan nama serta mengambil tindakan mahkamah terhadap peminjam itu terpaksa diambil selepas mereka berdegil dan bersikap acuh tak acuh dalam soal pembayaran balik pinjaman.

RnD gubal dasar pendidikan khas


Oleh Srihanasham Noordin

3 IPT bekerjasama kaji program pelajar istimewa

JOHOR BAHRU: Kementerian Pelajaran mengadakan kerjasama dengan tiga universiti tempatan yang menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan pelajar berkeperluan pendidikan khas bagi merangka, menggubal dan melaksana dasar untuk pelajar istimewa di negara ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata hasil kajian tiga universiti itu, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) mengenai pendidikan khas dapat membantu kerajaan merencana sistem pendidikan khas negara.


Beliau berkata, hasil penyelidikan itu boleh dijadikan asas menggubal dasar dan diperluaskan untuk pembinaan kokurikulum, latihan, infrastruktur dan peralatan, penentuan anggaran belanjawan dan pengajaran pembelajaran.

Katanya, inisiatif diambil pelbagai pihak yang menjalankan penyelidikan itu dapat menjimatkan masa dan kos kerajaan dalam merancang, melaksana dan memantau program pendidikan khas menyebabkan hasil kajian berkenaan patut dihargai.

“Antara hasil kajian universiti diterima pakai kerajaan membabitkan pendidikan khas bagi pelajar yang mengalami disleksia.

“Kita mendapati banyak lagi hasil kajian lain yang boleh diguna pakai dalam meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran pendidikan khas,” katanya selepas merasmikan Seminar Pendidikan Khas Kebangsaan Ketujuh 2008 di Pusat Konvensyen Persada Johor, di sini, semalam.

Seminar empat hari bertajuk Penyelidikan Empirikal Menjana Kecemerlangan Pendidikan Khas itu dihadiri kira-kira 200 peserta terdiri daripada pegawai Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran negeri, guru, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), swasta dan universiti.

Kata Alimuddin, kementerian juga menggalakkan guru menjalankan kajian pendek bagi membolehkan mereka mengesan minat dan keperluan pelajar di sekolah.

Selain itu, katanya, kementerian berusaha menggunakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) untuk memperbaiki sistem pendidikan khas, terutama dengan peningkatan murid sekolah khas terbabit daripada 7,436 pada 1996 kepada 25,106 pada 2007.

Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM440 juta bagi pembangunan sekolah pendidikan khas menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan RM15 juta daripadanya digunakan untuk menempatkan komputer dan peralatan ICT menggunakan perisian khas di 32 sekolah khas di seluruh negara.

MMC jadi peluang akhir untuk 'doktor tidak diiktiraf'

"SAYA mempunyai ijazah doktor perubatan (MD) dari sebuah universiti di Armenia, tetapi saya tidak dibenarkan mendaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

"Ini bermakna, saya tidak dapat bekerja sebagai seorang pengamal perubatan di negara ini," kata L Suresh ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selepas mengeluarkan perbelanjaan hampir RM300,000 sebagai pembiayaan untuk pengajian Suresh, berita sedemikian sudah tentu tidak menggembirakan sama sekali kepada keluarga Suresh yang begitu berharap agar bidang perubatan dapat menjadi kerjaya beliau.

"Tempat bagi kursus perubatan di universiti tempatan amat terhad. Saya memang bercita-cita satu hari nanti menjadi seorang doktor, tetapi kini semuanya tidak kesampaian. Saya mempunyai kelulusan doktor perubatan, tetapi pada hakikatnya saya bukan seorang doktor perubatan", katanya.

Suresh adalah antara graduan perubatan universiti dari luar negara, tetapi kursus perubatannya tidak diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Namun Suresh masih ada jalan atau peluang untuk mencapai cita-citanya.

Menurut MMC, graduan yang mempunyai ijazah perubatan dari universiti yang tidak diiktiraf boleh mendaftar dengan majlis itu dengan syarat mereka menduduki dan lulus satu ujian kelayakan.

Syarat ini termaktub dalam Peraturan Perubatan 1993 (Peruntukan Peperiksaan Untuk Pendaftaran Sementara). Graduan ini boleh menduduki peperiksaan kelayakan itu sama ada di fakulti perubatan Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) atau Universiti Sains Malaysia (USM).

Hanya selepas lulus, graduan berkenaan boleh mendaftar dengan MMC dan menjadi pengamal perubatan di negara ini.

Menurut MMC, graduan ini diberi kelonggaran untuk menduduki peperiksaan kelayakan itu sebanyak tiga kali. Seandainya masih gagal, mereka bukan saja tidak lagi boleh menduduki peperiksaan, malah impian untuk berkhidmat sebagai pengamal perubatan akan lenyap begitu saja.

Bagaimanapun dengan perkembangan terbaru, hasil daripada mesyuarat pada 9 April lalu, Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai bersetuju memberi peluang terakhir bagi kira-kira 200 graduan dari kolej perubatan luar negara yang tidak diiktiraf oleh kementerian.

Mereka daripada kalangan yang gagal buat kali ketiga dalam peperiksaan kelayakan itu.

Kelonggaran ini bertujuan untuk membantu graduan terbabit mendaftar dengan MMC serta berupaya menjadi pengamal perubatan.

Menurut Liow, tawaran ini hanya dibuka sehingga Disember tahun ini, selepas Jemaah Menteri mengambil kira rayuan graduan berkenaan kepada Kementerian Kesihatan.

Dalam tawaran itu, graduan berkenaan boleh memohon melalui MMC supaya mereka diserap masuk dalam kolej perubatan tempatan untuk program pertukaran kredit selama tiga tahun.

Selepas itu, mereka akan menjalani program houseman selama dua tahun di hospital kerajaan. Kaedah pertukaran kredit itu membabitkan setahun pengajian pra-klinikal serta dua tahun kursus praktikal klinikal. Kemudian mereka akan menjadi doktor pelatih selama dua tahun.

Universiti awam serta swasta di negara ini mengeluarkan lebih kurang 3,000 graduan perubatan setahun, manakala ada 300 kolej perubatan yang diiktiraf kerajaan Malaysia di seluruh dunia.

"Tidak banyak kolej perubatan awam atau swasta tempatan. Lagipun, tempat untuk pelajar kursus perubatan memang terhad dan hanya pelajar yang betul-betul cemerlang dipilih seperti yang mendapat 5A dalam keputusan STPM serta nilai purata gred kumulatif (CGPA) 4.0.

"Saya tidak mencapai tahap akademik sedemikian, jadi saya tiada jalan lain melainkan menjalani kursus perubatan di universiti luar negara," kata beliau.

Suresh mengakui dengan tahap kelulusan yang ada, tidak mungkin beliau dapat menjalani kursus itu di universiti tempatan.

"Nak dapatkan tempat di universiti luar negara lagi senang," katanya.

Menurut satu sumber MMC, pihak berkuasa kesihatan tiada pilihan melainkan mengenakan peraturan agak tegas mengenai pengiktirafan kelayakan ijazah perubatan dari luar negara.

"Menjadi seorang pengamal perubatan bukanlah satu isu yang remeh. Doktor menanggung kewajipan yang besar kerana ia berhubung dengan nyawa pesakit. Ini bukan satu kerja yang mudah", katanya.

Beliau berkata, faktor utama kenapa MMC dan Kementerian Kesihatan tidak dapat memberi pengiktirafan terhadap beberapa kolej perubatan asing ialah nilai dan kualiti sukatan pelajaran yang tidak menepati piawaian serta keperluan kursus perubatan.

Bagi pegawai perubatan pediatrik, Dr Zaidatul Adzreen Dzulkifly, kerjaya sebagai seorang doktor perubatan memerlukan tahap disiplin dan kewibawaan yang tinggi.

"Kerjaya doktor bukan hanya untuk bergaya dengan sepasang stetoskop di atas bahu. Doktor perubatan mempunyai tanggungjawab yang berat," katanya. � Bernama