Thursday, May 1, 2008

Permata Sarawak


Oleh Kandau Sidi




RANGKAIAN batu karang di perairan Miri, Sarawak dikenal pasti antara yang tersihat dan tercantik di dunia. Perairan ini menjadi tempat pembiakan 600 daripada 800 spesies batu karang di seluruh dunia, sekali gus menjadikannya kawasan paling kaya dengan spesies batu karang dan hidupan marin selain mempunyai lebih 3,000 spesies ikan.

Berikutan itu pemuliharaan khazanah marin itu amat penting. Sempena Hari Bumi 20 April setiap tahun, minggu lalu, penyelam sukarela menjalankan tanggungjawab sosial mereka membersihkan pelantar tukun tiruan Kenyalang Wreck, kira-kira 18 batu nautika dari Marina Bay di Kuala Sungai Miri. Berpuluh-puluh kilogram pukat, plastik, tali dan pelbagai bahan buangan diangkat dari dasar laut itu.

Aktiviti itu bukan saja bagi mengawal kegiatan manusia yang boleh menjejas dan membantutkan pertumbuhan hidupan laut di kawasan berkenaan tetapi juga memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai pentingnya pemuliharaan marin di situ.


Terumbu karang perairan Miri paling cantik, sihat

PUKAT, plastik, tali dan pelbagai bahan buangan lain dikenal pasti menjadi satu ancaman utama kemusnahan khazanah alam semula jadi dasar laut taman marin di seluruh negara.

Situasi ini, tidak terkecuali berlaku kepada hidupan marin dan kawasan terumbu karang di perairan Miri, utara Sarawak yang semakin dikenali antara lokasi skuba tercantik di Malaysia.

SEKUMPULAN penyelam meletakkan poster di Kenyalang Wreck sempena sambutan Hari Bumi Sedunia.

Walaupun, tahap kemusnahan itu masih terkawal namun usaha awal perlu dilakukan. Berikutan itu, sekumpulan 32 penyelam dari pelbagai agensi, termasuk media massa mengambil inisiatif membersihkan terumbu karang di perairan Miri sempena sambutan Hari Bumi Sedunia 2008 yang disambut pada 22 April setiap tahun.

Matlamat program anjuran bersama kerajaan negeri, Majlis Bandaraya Miri (MBM), Sarawak Shell Berhad (SSB), Sarawak Forestry Corporation (SFC), Lembaga Pelancongan Sarawak (STB), Persatuan Wartawan Utara Sarawak (NSJA) dan Tropical Divers ialah mencetuskan kesedaran mengenai kepentingan pemuliharaan taman marin.

Timbalan Ketua Menteri, Tan Sri Dr George Chan Hong Nam, merasmikan aktiviti membersihkan pelantar tukun tiruan Kenyalang Wreck terletak 18 batu nautika dari Marina Bay di Kuala Sungai Miri mulai jam 9 pagi hingga petang.

Berpuluh-puluh kilogram serpihan pukat dan tali yang melekat pada tukun tiruan itu dialihkan penyelam sukarelawan berkenaan, yang boleh menjejas dan membantutkan pertumbuhan hidupan laut di kawasan itu.

PENYELAM membersihkan kawasan batu karang.

Pakar Biologi Marin SFC, James Bali, berkata kerajaan negeri mengambil langkah drastik mewartakan beberapa kawasan terumbu karang di perairan Bintulu-Niah-Sibuti-Miri sebagai taman laut yang dilindungi, bagi mengelak kemusnahan.

"Mungkin tidak ramai menyedari perairan utara Sarawak memiliki khazanah laut yang agak unik dibandingkan negeri lain di Malaysia, termasuk Pulau Sipadan di Sabah.

"Misalnya, jika ingin melihat rumpai laut, kita pergi ke Seafan Garden. Pelbagai jenis rumpai laut yang tiada di lokasi lain boleh dilihat di situ. Begitu juga dengan Kenyalang Werck yang menjadi kawasan pembiakan ikan kecil pelbagai spesies," katanya.

Kenyalang Wreck adalah satu daripada 28 lokasi skuba di sepanjang persisiran pantai dari Sibuti (Kuala Niah) ke Lutong, Miri.

Kawasan skuba yang paling hampir dengan pantai Miri ialah Eve's Garden, Azam's Reff, Seafan Garden, Anemone Garden, Sunday, Siwa, Tusan, Lakim, Atagomaru Wreck, New Reef V, dan Siwa Oil Rigs. Tempat lain ialah Pelantar Minyak Tukau, Barracuda Point, Sri Gadong Wreck, Beting Niah, Batu Butik, Berabok Bubble dan Batu Tar.

Kawasan seluas hampir 100,000 kilometer persegi yang menjadi kediaman lebih 3,000 spesies ikan itu ditumbuhi 34 peratus daripada jumlah batu karang di seluruh dunia. Selain itu, ia juga menjadi tempat pembiakan 600 daripada 800 spesies batu karang di seluruh dunia, sekali gus menjadikan perairan Miri kawasan paling kaya dengan spesies batu karang dan hidupan marin.

Douglas Fenner dari Institut Sains Marin Australia dalam buku Underwater Jungles Sarawak yang ditulis jurugambar dasar laut berpengalaman Michael AW yang diterbitkan pada September 2002, berkata, rangkaian batu karang di Miri bebas daripada aktiviti pencemaran dan paling sihat serta tercantik di Malaysia," katanya.

Penyelam dari SSB, Steve Axon, 46, berkata, perairan Miri mempunyai rangkaian batu karang yang pelbagai dan berwarna-warni hingga membentuk gambaran seperti hutan rimba berwarna merah, hitam, putih, hijau dan perang keemasan di dasar laut.

"Di dasar laut yang berwarna biru dengan suhu 30 darjah Celsius amat sesuai untuk pertumbuhan batu karang dan saya menemui enam spesies batu karang berwarna oren, merah dan merah muda.

"Daripada spesies yang menyerupai pokok berwarna jingga kemerah-merahan hingga karang lembut berwarna terang dan menyerupai 'span' berwarna ungu serta ikan badut dan batu karang yang dinamakan Sunday," katanya.

Steve mengkategorikan terumbu karang itu berdasarkan kelompok tertentu mengikut warna, jenis karang sama ada keras mahupun lembut, berbentuk kipas, kulat dan sebagainya.

Antara spesies itu ialah batu karang keras seperti Gorgonian Seafan, Montipora, koloni Massive Staghorn seperti Acropora Solitaryensis, koloni batu karang lembut (Siphonogorgian dan Dendronephthya), koloni sea whip (spesies Junceella, Ellisella, Rhabdamia Cypseluca serta Ellisella) koloni karang kulat Sarcophyton dan beberapa spesies lain seperti ubergorgiidae dan Comanthina Nobilis serta karang hitam dan banyak lagi.

Penyelam dari Tropical Divers, Voo Heng Kong, berharap pihak berkuasa terus memerangi aktiviti tidak sihat yang boleh menyumbang kepada kemusnahan sumber alam semula jadi yang menjadi 'permata' Sarawak.

Sementara itu, Dr Chan berkata, hasil penemuan dan pendedahan pakar dalam aktiviti menyelam dan batu karang, Miri kini menjadi salah satu destinasi menyelam di Malaysia dan yang pertama memiliki pelantar yang dijadikan terumbu karang atau 'rig to reef'.

Katanya, Program 'rig to reef' Baram 8 yang diberikan nama Kenyalang Wreck, adalah antara jaminan yang bakal membuka pasaran amat cerah dalam memasarkan produk menyelam di dasar laut Miri.

Wednesday, April 30, 2008

Selendang Sakti dan Melati & Melur


Oleh Nazmi Yaakub


SEBAHAGIAN daripada babak Teater Melati & Melur.

Teater percuma pelajar Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu

PEMENTASAN dua teater Selendang Sakti dan Melati & Melur di Panggung Percubaan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, pada 5 dan 6 April ini, bakal menguji bakat lakonan dan pengurusan pentas kira-kira 112 pelajar Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pertama, Fakulti Pendidikan di universiti berkenaan.

Selendang Sakti karya Rebecca Reisert diadaptasi Raihani Mohd Saaid di tangan pengarahnya, Radhiah Mohd Dom, mengangkat kisah Raja lakonan Kamarul Syaifudin Wajahudin yang mengambil keputusan drastik mahu meninggalkan singgahsana untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan roti.


Demi mencapai hasratnya, Raja yang gemar memasak itu mahu mengahwinkan puterinya, Puteri Aira lakonan Salinah Sawal dengan anak saudaranya, Putera Abu Bakar (Hassan Sirajuddin) kerana beliau berpendapat anak perempuan tidak boleh memerintah dengan baik tanpa bimbingan suami.

Bagaimanapun, Maharani Balu (Noor Suhaili Suhaimi) bersenjatakan selendang sakti yang mampu menundukkan orang lain untuk mengikut perintahnya, menggunakan sihir itu dengan tujuan menguasai negeri terbabit dan merompak harta kerajaan sehingga menyebabkan Puteri Aira memerintahkan agar wanita itu dibicarakan.

Rancangan untuk membawa Maharani Balu ke muka pengadilan gagal, menyebabkan Raja dan Puteri Aira terpaksa melarikan diri ke Bandar, lalu membuat perancangan baru untuk merampas takhtanya kembali.

ANTARA babak Teater Selendang Sakti yang dipentaskan pelajar Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu UPM.

Naskhah Melati & Melur karya Lenny Erwan yang turut diadaptasi Raihani pula membawa mesej politik di sebalik pertembungan dua adik-beradik, Melati lakonan Citra Dewi Saidy dan Melur (Haslinda Awaludin) yang mewakili pergeseran dua kelompok dalam negara.

Di tangan Pengarahnya, Syakila Menhuri, dua beradik yang turut mempunyai adik bongsu, Mazlan (Razyff Mohd Rodzi) yang cacat pendengaran itu, berselisih pendapat apabila Melati mahukan kehidupan yang lebih baik untuk Melur walaupun tindakan itu dianggap cuba mengongkong kehidupannya.

Melati menjadi pengacara rancangan bicara yang terkenal, manakala Melur pula remaja lepasan sekolah yang bekerja di restoran makanan segera Sugar Queen dan jatuh cinta pada penyelianya, Hazwan (Syawal Idham Shafei) terpaksa mencari jalan untuk mengatasi pergeseran mereka.

Selendang Sakti sebagai drama muzikal dan Melati & Melur sebagai drama moden turut dimeriahkan dengan nyanyian koir, sekali gus menjadi halwa telinga kepada penonton terbabit.

Galak pelajar IPT kerja separuh masa



STATISTIK Kementerian Sumber Manusia menyatakan 400,000 rakyat negara ini tidak mempunyai pekerjaan walaupun ada hampir dua juta pekerja asing mencari nafkah secara sah seperti dilaporkan melalui akhbar ini, Sabtu lalu. Keadaan ini perlu diteliti dan difikirkan semua pihak kerana angka itu terlalu banyak, melebihi populasi penduduk Perlis.

Sektor perindustrian, pembuatan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan yang dikatakan tidak diminati golongan muda negara ini memungkinkan perkara itu berlaku. Adakah benar golongan muda tidak berminat bidang itu yang dianggap berat, kotor dan tidak sesuai dengan diri mereka serta dianggap kerjaya kelas ketiga?

Sekiranya diteliti dengan jelas, banyak pihak sebenarnya bertanggungjawab menyebabkan kebanjiran pekerja asing dan keengganan golongan muda negara tidak boleh dipersalahkan seratus peratus. Saya yakin masih ada golongan muda ingin memenuhi keperluan pekerjaan dalam sektor pembinaan, perindustrian dan perkhidmatan.


Jika anda berpeluang ke kawasan perindustrian Bayan Lepas Pulau Pinang, perhatikan dengan teliti memang anak muda tempatan bekerja di situ sebagai operator pengeluaran dengan ada antara mereka adalah pemegang ijazah dan diploma dalam pelbagai bidang. Persoalannya benarkah mereka memilih?

Keengganan syarikat swasta dalam sektor terbabit menggaji pekerja tempatan dan lebih ke arah untuk menggaji pekerja asing juga dijadikan penyebab kebanjiran pekerja asing ini.

Memang tidak dinafikan upah kepada pekerja asing jauh lebih murah daripada pekerja tempatan. Ia sesuai dengan konsep asas ekonomi iaitu membuat pengeluaran dengan kos murah untuk menjamin keuntungan berlipat kali ganda. Tetapi adakah syarikat seperti itu perlu dipersalahkan?

Hasrat penubuhan Institut Latihan Jabatan Negara Manusia (ILJTM) melahirkan lebih ramai tenaga mahir kompetitif untuk keperluan sektor tertentu, dilihat bertepatan menyelesaikan perkara ini.

Dengan tersedia sumber manusia yang dapat memenuhi kriteria diperlukan sektor itu, masalah kebanjiran pekerja asing ini boleh diselesaikan. Tetapi ia memerlukan kerjasama semua pihak. Syarikat perlu lebih terbuka menerima pekerja tempatan dan pekerja tempatan perlu lebih sedia menerima sesuatu pekerjaan tanpa memikirkan taraf pekerjaan terbabit.

Pada hemat saya, untuk mengurangkan kebanjiran pekerja asing dalam sektor tertentu seperti perindustrian dan perkhidmatan, syarikat swasta digalakkan mengambil lebih ramai pekerja separuh masa.

Banyak pihak enggan menerima pekerja separuh masa kerana memungkinkan berlaku kekurangan kakitangan yang boleh menjejaskan operasi sekiranya pekerja ini berhenti.

Selain itu, pekerja separuh masa selalunya kurang terikat dengan sebarang peraturan syarikat seperti pekerja sepenuh masa yang membolehkan majikan mengawal mereka secara menyeluruh.

Beberapa langkah boleh dilakukan kerajaan untuk menggalakkan syarikat dalam sektor ini mengambil pekerja tempatan iaitu mungkin dengan menurunkan cukai beberapa peratus dan kemudahan pinjaman bank. Mungkin timbul pula soalan bagaimana kita dapat memastikan tenaga pekerja separuh masa mencukupi.

Saban tahun, pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasata (IPTS) meningkat dari masa ke masa. Universiti pula kebanyakannya beroperasi di seluruh negara yang berhampiran dengan syarikat di sektor perkhidmatan dan perindustrian seperti Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang berhampiran dengan kilang dan hotel. Contoh lain ialah di Kuala Lumpur, Selangor.

Pelajar ini boleh diambil bekerja separuh masa jika difikirkan perlu kerana jumlah mereka yang ramai. Logiknya perkara ini seperti tidak dapat dilakukan kerana pelajar perlu menghadiri kuliah dan tidak mempunyai masa.

Kepadatan jadual pembelajaran pelajar mungkin dijadikan alasan mengapa ia tidak boleh dilakukan. Ada hubungan terus antara kepadatan jadual pembelajaran dan subjek yang diambil di universiti. Sekiranya pengajian di universiti dapat dirombak iaitu dengan mengurangkan jumlah mata pelajaran pada setiap semester atau kursus, masalah kepadatan ini dapat diselesaikan dan pelajar boleh bekerja.

Jadual juga perlu dirombak iaitu dengan mengehadkan hari untuk ke kuliah iaitu dengan nisbah 3:4 atau 4:3 iaitu tiga hari kuliah dan empat hari bekerja atau sebaliknya.

Jika sistem pengajian dapat dirombak, disertai pula kerjasama daripada majikan sektor berkaitan, saya yakin kita dapat menyelesaikan masalah pekerja asing dalam jangka masa panjang dan pada masa sama jumlah graduan menganggur dapat dikurangkan.

Faedahnya kepada mahasiswa ialah mereka dapat menjana pendapatan sendiri untuk menyara hidup sepanjang pengajian di universiti tanpa bergantung bantuan ibu bapa atau pinjaman pengajian seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Negara juga dapat melahirkan pelajar bermutu pada masa depan kerana graduan tidak akan berasa kekok untuk bekerja selepas terdedah dengan alam pekerjaan daripada awal lagi.

Mereka dapat mempelajari kemahiran lain yang tidak dapat dipelajari di universiti seperti komunikasi dan pentadbiran. Dengan adanya graduan berkualiti, masalah graduan menganggur dapat dikurangkan atau diselesaikan secara beransur.

Penilaian menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan perkara ini terjadi. Ia nampak rumit kerana banyak perkara yang perlu diteliti dan membabitkan banyak pihak iaitu kerajaan, universiti, syarikat dan pelajar. Bagaimanapun, sekiranya ia dapat direalisasikan, masalah kebanjiran pekerja asing akan berakhir atau mungkin satu hari nanti negara tidak perlu lagi bergantung kepada pekerja asing.

MOHD HIDY MD DZAHIR,
Bandar Seri Damansar,
Kuala Lumpur.