Wednesday, May 20, 2009

Pelajar asing pascasiswazah ditambah


KUALA LUMPUR 19 Mei – Kerajaan mahu bilangan pelajar antarabangsa bagi program pascasiswazah ditambah dalam usaha melonjakkan Malaysia sebagai hab pendidikan tinggi antarabangsa.

Timbalan Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Dr. Hou Kok Chung memberitahu, bilangan pelajar antarabangsa yang menuntut di Malaysia kini mencecah 70,000 orang.

Daripada jumlah itu, katanya, kurang lima peratus terdiri daripada pelajar pascasiswazah.

“Setakat ini, penuntut dari China mendahului bilangan pelajar antarabangsa lain iaitu 10,4000 orang termasuk 291 pelajar yang sedang melanjutkan pelajaran dalam program pascasiswazah.

‘‘Ini diikuti dengan 10,150 pelajar Indonesia untuk program siswazah dan pascasiswazah sementara pelajar dari Iran mencatatkan bilangan ketiga tertinggi di negara ini,’’ katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas menyempurnakan pelancaran premis baru Malaysian Institute of Art (MIA) di sini hari ini.

UiTM juara Pertandingan Debat Integriti IPT



PASUKAN UiTM dari kiri Khairulnizam Bakri, Siti Nadzirah Abdullah, Zarul Azhar Nasir dan Nizamuddin Abdul Hamid muncul juara pada Pertandingan Akhir Debat Perdana Integriti antara Institusi Pengajian Tinggi 2009 di UTM, Skudai, Johor Bahru, semalam.


JOHOR BAHRU 19 Mei - Universiti Teknologi Mara (UiTM) muncul juara Pertandingan Debat Perdana Integriti Antara Institusi Pengajian Tinggi (IPT) 2009 pada pertandingan akhir di sini hari ini.

UiTM menewaskan Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) pada pertandingan yang diadakan di Universiti Teknologi Malaysia (UTM) di sini.

Kemenangan kali kedua sejak 2005 itu membolehkan UiTM membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000, piala pusingan Perdana Menteri, piala replika pusingan Perdana Menteri, piala iringan setiap pendebat dan sijil penyertaan.

Kejayaan UiTM itu menjadi lebih bermakna apabila salah seorang pembahasnya, Khairulnizam Bakri, 24, dipilih sebagai pendebat terbaik.

Pelajar Ijazah Sarjana Muda Perakaunan itu berkata, semangat berkumpulan dan latihan secara intensif yang diamalkan oleh rakan-rakan menjadi rahsia kejayaan UiTM apabila dinobatkan sebagai juara.

"Selain membuat kajian terperinci mengenai tajuk yang dibahaskan, kami membuat latihan vokal dan gaya persembahan supaya dapat memantapkan lagi perbahasan kumpulan kami.

"Pada masa sama, kami membuat rujukan membaca pelbagai bahan bacaan agar menguasai semua isu yang berlaku dalam negara dan peringkat antarabangsa ketika ini," katanya yang pernah gagap sehingga umur 12 tahun.

Selain Khairulnizam, UiTM diwakili Nizamuddin Abdul Hamid, Siti Nadzirah Abdullah dan Zarul Azhar Nasir masing-masing berusia 23 tahun.

UKM yang diwakili Shafiq Mahadi, Nil Mohd. Nashriq Mohd. Nazman, Mohd. Khalis Khalid dan Nurul Aqilah Mohd. Zahari terpaksa berpuas hati memenangi tempat kedua.

Pelajar-pelajar yang berusia 21 tahun itu membawa pulang hadiah wang tunai RM4,000, piala iringan setiap pendebat dan sijil penyertaan.

Majlis penyampaian hadiah disempurnakan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Pengurusan), Kementerian Pengajian Tinggi, Omar Abdul Rahman.

Turut hadir, Timbalan Naib Cancelor (Hal Ehwal Pelajar dan Akademik), UTM, Prof. Dr. Mohd. Tajudin Ninggal dan Presiden Institut Integriti Malaysia (IIM), Datuk Dr. Mohd. Tap Salleh.

Pertandingan Debat Perdana Integriti Antara IPT 2009 anjuran IIM dan Majlis Debat Universiti-Universiti Malaysia (MADUM) dianjurkan sejak 2005.

Pertandingan debat yang berlangsung ala Parlimen itu bertemakan 'Integriti Pemangkin Pembangunan Mapan' dengan disertai 42 pasukan daripada 21 IPT di seluruh negara.

Sementara itu, Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin dalam teks ucapannya berkata, kepentingan integriti dalam kehidupan individu khusus di kalangan pelajar IPT tidak boleh dipisahkan.

Jelasnya, satu kualiti unggul perlu dimiliki individu dan ia merangkumi sifat benar, jujur, ikhlas, adil, amanah, telus dan bijaksana.

"Di samping sifat mulia ini, pelajar IPT juga diharap mendalami ilmu agama sebagai jati diri dan pendinding daripada pelbagai pengaruh, anasir dan gejala sosial yang melanda masyarakat hari ini," katanya.

Friday, July 25, 2008

AUKU - Bersediakah mahasiswa kita?


Oleh Zainor Said

WALAUPUN cadangan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) baru dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 17 Julai lalu, dan hanya akan dibahas bulan depan, namun banyak pihak telah mula memperkatakan mengenainya.

Selasa lalu, akhbar ini menyiarkan dua artikel mengenai akta berkenaan. Satu ditulis oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah, manakala satu lagi oleh Timbalan Naib Canselor, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr Zaini Ujang, yang juga penulis kolum Berita Harian.

Tidak terkecuali media elektronik turut menjemput beberapa panel mewakili pelbagai institusi untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai langkah kerajaan meminda akta itu. Ia membuktikan betapa langkah kerajaan itu mendapat sokongan kuat dan amat dialu-alukan pelbagai pihak, bukan saja dalam kalangan ahli akademik, tetapi juga mahasiswa, alumni, kakitangan serta pihak pengurusan universiti.


Desakan agar AUKU dipinda sudah lama diperjuangkan sejak era 70-an lagi. Sudah semestinya pindaan itu akan menjadi detik penting dan bakal membuka lembaran baru dalam sistem pendidikan tinggi negara. Antara lain pindaan itu bertujuan untuk menjadikan universiti lebih telus, berinovasi, berdaya saing, dan berkembang dengan budaya ilmu yang lebih subur.

Apabila memperkatakan mengenai AUKU, kita tidak boleh terlepas daripada mengaitkannya dengan gerakan dan aktiviti mahasiswa, walaupun pada hakikatnya bidang kuasa akta itu merangkumi aspek yang lebih luas termasuk membabitkan tenaga pengajar serta urus tadbir universiti.

Ramai berpendapat, sejak AUKU dikuat kuasa, kegiatan mahasiswa lebih bersifat kemasyarakatan dan berpersatuan, yang tidak banyak bezanya dengan kegiatan pelajar di peringkat sekolah menengah. Kegiatan seumpama itu tidak melatih mahasiswa meluahkan pandangan dalam perspektif lebih luas untuk membantu kerajaan memajukan rakyat dan negara.

Universiti sebagai gedung yang menghimpun ribuan golongan cerdik pandai, daripada pelajar sehingga kepada tenaga pengajar bergelar profesor tidak seharusnya sekadar berfungsi sebagai pusat melahirkan graduan cemerlang dalam akademik.

Sebaliknya universiti juga harus menjadi platform untuk golongan itu bersuara dan meluahkan pandangan yang boleh membantu kerajaan membangunkan rakyat dan negara.

Dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan, adalah merugikan sekiranya mahasiswa terus berada dalam kepompong sempit dan hanya terbabit dengan kegiatan yang tidak menjana bakat kepemimpinan. Mahasiswa harus berfikiran kritis, matang, berkeyakinan tinggi, dan bergiat dengan aktiviti yang boleh membina kewibawaan untuk membolehkan mereka bersaing, sehingga ke peringkat antarabangsa.

Universiti menjadi tempat terbaik untuk melatih mahasiswa dengan keperibadian cemerlang dalam pelbagai aspek agar negara tidak ketandusan pemimpin berkaliber yang bakal mengisi barisan kepemimpinan negara pada masa depan.

Sejajar dengan agenda kerajaan menubuhkan Universiti Apex tidak lama lagi, yang bakal diberi autonomi bagi melonjak universiti ke tahap cemerlang, kita yakin graduan yang bakal lahir selepas ini mampu memiliki kualiti kelas pertama setanding dengan graduan universiti terkenal bertaraf dunia.

Persoalannya sekarang, apakah mahasiswa kita sudah cukup bersedia untuk memanfaatkan sebaik-baiknya apabila AUKU dipinda. Apakan selepas ini kampus akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang boleh menjana ciri kepemimpinan cemerlang yang kita harapkan.

Mahasiswa dan warga universiti harus mengikuti perkembangan pindaan AUKU dengan penuh minat kerana merekalah golongan yang bakal menikmati faedahnya. Pemimpin persatuan mahasiswa khususnya, wajar memahami secara jelas peluang yang dibuka supaya mereka dapat mengatur pelbagai aktiviti yang mencerminkan keintelektualan sebenar mahasiswa.

Pindaan AUKU tidak memberi apa-apa makna jika ruang yang diberi kerajaan tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh mahasiswa secara menyeluruh.

Namun mahasiswa harus bijak dan waspada dalam menganjurkan kegiatan agar tidak diperalatkan oleh pihak berkepentingan. Sikap keterbukaan universiti, sering mengundang pihak tertentu mengambil kesempatan menyebar pengaruh serta menghasut mahasiswa melakukan perkara bertentangan dengan dasar kerajaan.