Wednesday, May 20, 2009

76 pelajar CUCMS sertai karnival kesihatan



ORANG ramai mengambil kesempatan mendapatkan khidmat pemeriksaan kesihatan percuma pada karnival kesihatan di SMK Seri Dungun, Dungun, baru-baru ini.


DUNGUN 20 Mei - Cyberjaya University College of Medical Sciences (CUCMS) menghantar para pelajarnya menyertai karnival kesihatan di sini dalam usaha memupu k mereka membantu masyarakat setempat, baru-baru ini.

Karnival sehari yang berlangsung di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Seri Dungun di sini itu disertai 76 pelajar perubatan tahun satu CUCMS.

Kesemua pelajar itu memberikan perkhidmatan kesihatan kepada masyarakat di kawasan tersebut.

Pengarah programnya, Nur Atiqah Zulkipili berkata, penyertaan mereka dalam karnival anjuran Persatuan Perubatan Islam Malaysia dan kerajaan negeri itu bertujuan memberi pendedahan terhadap kerja-kerja kemasyarakatan dalam kalangan pelajar perubatan.

''Sepanjang aktiviti yang dijalankan bermula pukul 7.15 pagi sehingga 4 petang, lebih 200 penduduk di daerah ini berpeluang mendapatkan khidmat pemeriksaan kesihatan beserta khidmat konsultan secara percuma.

''Mereka mendapatkan khidmat tersebut daripada dua orang doktor yang didatangkan khas dari Hospital Sultanah Nur Zahirah (HSNZ), dengan bantuan para pelajar kolej universiti ini," katanya di sini hari ini.

Menurutnya, para pelajar turut terlibat dalam aktiviti karnival kesihatan tersebut iaitu pemeriksaan gigi dan mata, kelas pertolongan cemas, pameran anti dadah dan pertandingan sains.

Katanya lagi, pelajar perubatan tersebut turut mengadakan perlawanan persahabatan bola sepak dan bola jaring dengan pelajar sekolah tersebut.

Selain itu, jelas beliau, karnival tersebut dimeriahkan dengan gerai jualan dan makanan.

Menurutnya, para pelajar CUCMS dibimbing oleh dua pensyarah pengiring iaitu Prof. Dr. Noor Aini Abd. Hamid dan Prof. Madya Dr. Mohamed Ikram Mohamed Salleh.

Warga kampus digesa kenali budaya masyarakat


PONTIAN 14 Mei - Warga kampus digesa melihat suasana kehidupan masyarakat sekeliling agar mereka lebih mengenali budaya dan adat resam setempat.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Benut, Datuk Ir. Hasni Mohammad berkata, sebagai generasi terpelajar, mereka tidak sewajarnya meminggirkan warisan yang menjadi kebanggaan sejak turun-temurun.

Misalnya, kaum Melayu terdiri daripada pelbagai kaum seperti Bugis, Banjar, Jawa dan sebagainya dengan masing-masing mempunyai budaya seperti pakaian, makanan, kesenian selain bahasa pertuturan tersendiri.

"Ini memandangkan tidak semua mereka datang dari kawasan luar bandar yang tentunya kurang mengetahui sosio budaya sesuatu kaum sekiranya tidak berpeluang mengenalinya," katanya semasa merasmikan Program Silaturrahim Bersama Pewaris Negara (Pewaris) di Masjid Jamek Pekan Tampok, Benut di sini semalam.

Program tersebut dianjurkan oleh Jabatan Penerangan Negeri Johor, Universiti Utara Malaysia (UUM), Pejabat Daerah Pontian dan Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kawasan 12 Mukim Benut.

Turut hadir Pengarah Jabatan Penerangan Johor, Almain Ajirul; Penolong Pegawai Daerah Pontian, Nor Azmi Amir Hamzah dan Penghulu Mukim Benut, Abdul Jabal Kiman.

Seramai 45 peserta mengikuti program selama seminggu di beberapa buah kampung di Mukim Benut seperti Kampung Tampok Darat, Kampung Tampok Laut dan Kampung Lapis Tampok.

IPTA terokai bidang baru


PUTRAJAYA 14 Mei - Institusi pengajian tinggi awam (IPTA) diingatkan berusaha menerokai bidang baru untuk meningkatkan kedudukan serta reputasi masing-masing agar mampu bersaing di peringkat global.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, IPTA tidak boleh lagi setakat berbangga dengan pencapaian dalam negara kerana ia seolah-olah tidak menggambarkan sebarang peningkatan dalam prestasi mereka.

Menurutnya, ekonomi dunia akan terus meningkat dan seharusnya peluang itu tidak disia-siakan oleh mereka dengan menawarkan keistimewaan serta kelebihan pembelajaran supaya mampu menarik lebih ramai pelajar dari luar negara.

''Sewajarnya IPTA selepas sekian lama ditubuhkan berusaha untuk bergerak lebih jauh ke depan, bukan statik begitu saja.

''Terokai bidang baru untuk tingkatkan kedudukan hingga peringkat antarabangsa," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) di antara Universiti Utara Malaysia (UUM) dengan Persatuan Akauntan Bertauliah Berkanun (ACCA) di sini hari ini.

Pemeteraian MoU tersebut disempurnakan oleh Naib Canselor UUM, Tan Sri Dr. Nordin Kardi serta Pengarah ACCA ASEAN dan Australiasia, Tay Kay Luan.

Menerusi kerjasama tersebut, para pelajar UUM yang sedang mengikuti program ijazah perakaunan berpeluang mengambil kursus profesional ACCA secara serentak.

Pelajar tahun akhir yang memperoleh sekurang-kurangnya purata nilai gred kumulatif (CGPA) 3.0 mata akan diberikan pengecualian tertentu daripada ACCA untuk meneruskan kursus profesional perakaunan.

Mohamed Khaled memberitahu, kerjasama pertama kali itu membuktikan bahawa badan profesional berkenaan mengiktiraf kemampuan UUM.

''Pelajar yang mengikuti program ini bukan saja dapat ijazah apabila tamat pengajian, tapi keluar dari universiti sebagai seorang profesional dalam bidang perakaunan," katanya.

Jelasnya, keistimewaan tersebut mampu menjadi tarikan kepada para pelajar antarabangsa untuk melanjutkan pengajian di UUM.