Wednesday, May 20, 2009

UPM terima Anugerah Gong Kencana Emas anjuran Makum

KEJAYAAN Universiti Putra Malaysia (UPM) menjuarai anugerah utama anjuran Majlis Kebudayaan Universiti-Universiti Malaysia (MAKUM) melayakkannya memenangi Anugerah Gong Kencana Emas MAKUM, baru-baru ini.

Sepanjang 2007 dan 2008, UPM muncul juara Festival Zapin dan Festival Nasyid 2008 selain juara Festival Zapin, Deklamasi Puisi Merdeka dan Festival Pantun 2007.


Komitmen tinggi UPM menyertai pertandingan anjuran MAKUM turut membolehkan mereka merangkul Anugerah Saron Wangsa MAKUM 2008.

Ketua Unit Seni Budaya dan Kreatif Bahagian Hal Ehwal Pelajar (BHEP) UPM, Mohd Isnain Ali, berkata kemenangan itu adalah hasil kerjasama pelajar dan bimbingan BHEP.

“Kemenangan ini cukup bermakna buat kami kerana segala penat lelah selama ini mendapat pengiktirafan.

“Kemenangan ini memberi semangat kepada penggiat seni dan budaya di UPM terus meningkatkan mutu persembahan dan mencapai lebih banyak kejuaraan,” katanya.

Anugerah Seni MAKUM diadakan secara dwitahunan itu memberi pengiktirafan terhadap usaha dan hasil seni yang dihasilkan IPTA sepanjang 2007 dan 2008.

Empat lagi anugerah yang dipertandingkan antaranya anugerah Bonang Emas, Gambang Mustika, Gendang Sari dan Kenong Budi.

UKM pertahan kejuaraan

UNIVERSITI Kebangsaan Malaysia (UKM) mempertahankan kejuaraan tahun lalu apabila dinobatkan juara Pertandingan Sistem Kuasa Elektrik (Electric Power System Competition 2009 - EPSCOM 2009) yang berlangsung di Panggung Seni, Dewan Canselor Tun Abdul Razak (DECTAR), UKM, baru-baru ini.

Pasukan UKM B yang terdiri dari pelajar tahun empat Jabatan Kejuruteraan Elektrik, Elektronik dan Sistem, Fakulti Kejuruteraan dan Alam Bina (FKAB) iaitu Mohd Hairil A Karim, Diana Tan Hui Lyn dan Adilah Zaira Abu Bakar menewaskan 13 pasukan dari lapan institusi pengajian tinggi (IPT) yang mengambil bahagian.


Pertandingan yang dinilai berasaskan penyelesaian masalah tenaga elektrik anjuran bersama Institut Elektrik Elektronik Engineers (IEEE) Pes, Cigre, UKM, Tenaga Nasional Berhad (TNB) dan Akaun Amanah Industri Bekalan Elektrik (AAIBE) melayakkan pasukan UKM B pulang dengan hadiah wang tunai RM9,000, piala dan sijil.

Mereka juga dipilih menerima hadiah bagi Kategori Penyelesaian Terbaik dengan hadiah wang tunai RM900.

Timbalan Presiden Kanan TNB, Datuk Wira Sidik Ahmad, berkata pertandingan ini sangat berguna kepada pelajar IPT dalam mencari penyelesaian sesuatu masalah yang timbul khususnya berkaitan bekalan elektrik.

"Pelajar perlu faham teori dan realiti alam pekerjaan kerana kedua-duanya memainkan peranan penting dalam isu semasa.

"Selain itu, masyarakat setempat juga perlu diutamakan kerana mereka adalah tanggungjawab yang tidak boleh diabaikan," katanya.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor, Universiti Tenaga Nasional (UNITEN), Prof Dr Sheikh Ghazali Sheikh Abod, Dekan Fakulti Kejuruteraan UKM, Prof Dr Mohd Marzuki Mustafa, Pengerusi EPSCOM, Dr Ir. Abdul Halim Abu Bakar dan Pengerusi Jawatankuasa Pertandingan, Prof Dr Azah Mohamed.

Sementara itu, pasukan Universiti Malaya A (UM) terdiri daripada Lim Chee Shen, Che Hang Seng dan Mohd Nizam Esa dipilih Naib Juara dengan menggondol wang tunai RM6,000, piala dan sijil manakala pasukan UM B di tempat ketiga dengan hadiah wang tunai RM3,000, piala dan sijiil.

Pasukan UM B juga dipilih menerima Kategori Persembahan Terbaik dengan hadiah wang tunai RM900.00.

Antara IPT yang mengambil bahagian ialah Universiti Muiltimedia, Universiti Teknologi Malaysia, Universiti Teknologi Petronas, Universiti Malaya, Universiti Tenaga Nasional, Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Teknikal Malaysia Melaka.

Warga USIM bantah Israel


Oleh Suliati Asri

Program Rapat Umum disertai 5,000 kakitangan, pelajar di kampus induk

BAGI menentang keganasan Israel terhadap Palestin yang mengorbankan insan tidak berdosa terutama wanita dan kanak-kanak, Universiti Sains Islam Malaysia (USIM) mengadakan program Rapat Umum di kampus induknya, Nilai, Negeri Sembilan, baru-baru ini.


USIM turut menganjurkan kutipan derma segera daripada kakitangan dan pelajarnya selama seminggu bagi misi bantuan kemanusiaan.

Penolong Pendaftar Pusat Hubungan Industri dan Khidmat USIM, Syafful Annuar Sarani, berkata program ini diadakan untuk menunjukkan keprihatinan warga USIM terhadapnasib yang menimpa rakyat Palestin.

Selain itu, menurutnya, ia juga satu cara memupuk nilai murni dan menolak keganasan di kalangan warga USIM.

"Dari hari ke sehari, semakin ramai insan yang tidak berdosa menjadi mangsa keganasan Israel.

"Sayangnya, kita tidak ada kuasa menghentikan kekejaman itu melainkan berdoa dan melakukan protes ini.

"Ini juga satu cara memberi sokongan kepada rakyat Palestin dari segi moral dan kewangan supaya mereka bersemangat meneruskan hidup," katanya.

Program yang disertai 5,000 kakitangan dan pelajar USIM dimulakan dengan laungan 'Allahuakbar' dan perarakan bermula dari Bangunan Canselori menuju ke Stadium Tertutup, Nilai.

Sementara itu, Naib Canselor USIM, Profesor Datuk Dr Abdul Shukor Husin, meminta warga USIM secara sukarela memotong satu hari gaji untuk didermakan kepada rakyat Palestin.

"Walaupun hanya menderma sebanyak satu sen, ia sangat bernilai seolah-olah mendermakan satu panadol kepada rakyat Palestin.

"Di samping itu, saya juga berharap semua warga USIM berhati-hati dalam menghulurkan bantuan bagi mengelak pihak lain mengambil kesempatan," katanya.