Thursday, May 1, 2008

Putus tunang kerana hal remeh



SAYA berusia 25 tahun dan sudah bertunang. Tunang saya bagaimanapun masih melanjutkan pengajian di London. Kami merancang untuk berkahwin pada 2010. Baru-baru ini, bakal mentua saya ke London untuk menjenguk tunang saya dan anak perempuannya yang kebetulan sedang dalam pantang.

Mereka mengajak saya tetapi saya tidak mahu kerana ibu bapa tidak mengizinkan atas sebab keselamatan. Ini kerana bila pulang nanti, saya keseorangan kerana mereka akan berada di sana dalam tempoh yang lama.

Disebabkan hal remeh itu, tunang saya merajuk. Malah, lebih teruk, bakal mentua masuk campur memburuk-burukkan saya dalam hal ini. Sejak itu tunang mula memandang serong terhadap saya dan akhirnya memutuskan pertunangan kami baru-baru ini kerana katanya, saya tidak pandai jaga hati dan perasaannya.


Saya cuba memujuknya dan menyambung kembali ikatan tetapi tiada tindak balas darinya. Dan, kalau saya boleh berbaik semula dengan tunang, emak saya tidak menyukai bakal ibu mentua yang secara terang bersikap talam dua muka memburuk-burukkan saya di depan tunang. Apalah hendak saya lakukan...

Gadis Bertunang.
Jawapan:


Salam buat gadis bertunang. Tahniah kerana berani berusaha mencari penyelesaian kepada masalah yang anda dihadapi. Persoalan yang anda hadapi adalah masalah yang berkisar pada isu keyakinan diri dan kesetiaan. Anda dan tunangan anda sebenarnya belum faham apa itu cinta yang sebenarnya. Andainya anda dan tunangan anda tahu, mungkin belum belajar cara membina dan mempertahankan cinta yang dibina.

Anda masih menggantung kekuatan cinta pada pertemuan jasad bukan bertemu hati. Lalu, anda merinduinya setakat mahu bertemu wajah dan bertentang mata. Itu baru pada tahap cinta nafsu sebenarnya. Cintanya belum suci dan kudus untuk dipertahankan. Oleh itu, dengan perpisahan maka menggilalah rindu dan bila bertemu melonjak emosi untuk berdampingan secara jasad.

Cinta yang sebenarnya apabila dua hati selalu berasa dekat walaupun jasad terpisah serta mampu merawat rindu melalui hubungan berita dan kata-kata. Tidak sangat tergila-gila mahu bertemu secara langsung dan kedua-dua pihak terus berusaha menjaga hati dulu kemudian baru menjaga perasaan serta tahu apa yang disukai dan tidak disukai.

Sikap faham memahami anda dan tunang belum kental, kesetiaan pada hati belum tebal malah belum benar-benar hormat pada pertalian pertunangan yang sudah dijalin. Ini jelas bila dia terlalu cepat menghukum anda dengan tindakan yang tidak matang seperti tidak menjawab panggilan telefon dan membalas khidmat pesanan ringkas (SMS) yang anda hantar kepadanya.

Begitu juga dengan keluarganya. Mereka tidak wajar menjadi tali barut yang mengeruhkan keadaan. Hanya kerana anda tidak berani mengambil risiko untuk bertemu bersama dalam lawatan keluarganya, dia memandang serong terhadap anda. Ini menunjukkan dia sangat mementingkan dirinya tanpa memahami kesulitan yang akan anda hadapi dan risiko yang anda alami.

Mereka sangat mementingkan diri, sanggup menuduh anda macam-macam sedangkan dia tahu perjalanan itu tidak begitu selamat untuk diri anda. Dia tidak mengutamakan keselamatan anda. Ini menunjukkan dia bukan pasangan yang sesuai untuk anda.

Maka terimalah kejadian yang berlaku sebagai satu daripada cara Allah ingin memberitahu anda bahawa orang yang anda rindu itu tidak begitu prihatin dengan keadaan diri anda hingga sanggup bertindak sesuka hatinya tanpa berbincang dan memikirkan situasi dan perasaan anda. Nasihat Umi, daripada terus luka dan dihina maka lebih baik mencari yang ada di depan mata.

Mungkin anda didorong Allah untuk bercinta dengan orang yang salah, lalu belajar kecewa dan dikecewakan serta ditemukan satu pengalaman baru untuk menjadikan anda lebih matang. Belajarlah menghargai diri sendiri dan menghargai orang yang menghargai kita. Bila kita ditemukan dengan orang lain bermakna anda diberi pilihan untuk menentukan kehidupan sendiri, memilih jodoh sendiri dan belajar untuk membahagiakan diri dan keluarga. Lipatlah kisah silam kemas-kemas dan simpanlah dalam kotak pengalaman untuk tidak dibuka lagi hingga akhir hayat. Cintailah Allah dan Nabi Muhammad SAW sebelum mencintai sesiapa pun di dunia ini untuk berasa hebatnya Allah untuk kita.