Thursday, July 10, 2008

Jangan lalai akibat kebebasan di universiti



Aksi menarik oleh para pelajar baru selepas Majlis Perasmian Haluan Siswa dan Upacara Lafaz Aku Janji pelajar baru 2008/09 di Universiti Malaya, baru-baru ini.


KE MANA hala tuju ratusan ribu remaja apabila mereka mula berada di menara gading untuk bergelar mahasiswa dan sedang melalui proses suai kenal sekarang?

Ini kerana, alam persekolahan yang ditinggalkan dan persekitaran universiti yang sedang dilalui adalah dua dunia yang berbeza dalam segala aspek.

Sehubungan itu Pengerusi Lembaga Pengarah Universiti Malaya (UM), Tan Sri Arshad Ayub mengingatkan para remaja yang baru bergelar mahasiswa agar jangan taksub supaya mereka tidak terjerat dengan kejutan budaya.

Ini kerana kata beliau, ramai mahasiswa terjebak dengan kebebasan di universiti sebab sebelum ini mereka sentiasa diawasi oleh guru-guru di sekolah dan ibu bapa di rumah.

“Universiti bukan lagi alam untuk mendisiplinkan kehidupan individu, tetapi setiap mahasiswa itu sendirilah yang bertanggungjawab untuk mendisiplinkan diri sendiri.

“Setiap mahasiswa mesti membina hala tuju masing-masing dan para pensyarah hanya berfungsi sebagai pembantu,” katanya.

Untuk itu kata beliau, setiap mahasiswa mesti bijak mengurus kebebasan yang dimiliki dengan tidak bersikap taksub kepada sesuatu yang baru.

Tokoh akademik negara itu berkata demikian semasa merasmikan majlis Haluan Siswa dan Upacara Lafaz Aku Janji pelajar baru sesi 2008-2009 Universiti Malaya (UM) di Dewan Tunku Canselor universiti berkenaan pada 1 Julai lalu. Hadir sama Naib Canselor UM, Datuk Rafiah Salim.

UM menerima seramai 3,926 pelajar bagi kemasukan sesi Julai 2008-2009 dan untuk pertama kalinya menyaksikan peningkatan pelajar lelaki sehingga mencecah 36 peratus.

Arshad juga mengingatkan golongan mahasiswa khususnya yang baru, agar jangan leka dengan budaya khidmat pesanan ringkas (SMS) dan perbualan (chatting) di Internet.

“Budaya SMS dan chatting di Internet adalah pemusnah kepada penggunaan bahasa standard yang betul dalam penulisan,” katanya.

Malah, sikap terlalu mementingkan kecemerlangan akademik atau mengutamakan kegiatan berpersatuan dan kokurikulum sahaja juga akan menjejaskan masa depan seseorang mahasiswa.

Sebaliknya tegas Arshad, pelajar mesti menyeimbangkan keilmuan secara holistik dan bersaing secara sihat sebagai persediaan menghadapi pasaran kerja yang terlalu kompetitif sekarang.

“Tempoh empat tahun di universiti adalah masa untuk anda membina diri melalui keilmuan agar mampu berfikir tanpa membataskan bidang pengkhususan tertentu,” ujarnya.

Ini kerana tegas beliau, dalam setiap perjalanan yang penting bukanlah destinasi semata-mata tetapi apa yang ditempuh dan didapati sepanjang tempoh perjalanan tersebut.

Sementara itu, Rafiah berkata, UM telah menerima peruntukan sebanyak RM30 juta yang disediakan khusus untuk menampung kos pengajian ijazah pertama ke luar negara melalui program pertukaran.

Bagi tujuan itu menurut beliau, pihak universiti akan memastikan mahasiswa UM berkemahiran menguasai Bahasa Malaysia dan Inggeris pada tahap maksimum.

“Malah kami juga turut menyediakan program soft skill dengan syarikat swasta utama kepada tidak kurang 1,000 pelajar di tahun akhir,” ujarnya.

Program tersebut katanya, antara langkah yang menjamin pasaran kerjaya apabila mereka telah menamatkan pengajian.