Friday, July 25, 2008

AUKU - Bersediakah mahasiswa kita?


Oleh Zainor Said

WALAUPUN cadangan meminda Akta Universiti dan Kolej Universiti (AUKU) baru dibentang untuk bacaan kali pertama di Dewan Rakyat pada 17 Julai lalu, dan hanya akan dibahas bulan depan, namun banyak pihak telah mula memperkatakan mengenainya.

Selasa lalu, akhbar ini menyiarkan dua artikel mengenai akta berkenaan. Satu ditulis oleh Timbalan Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, Datuk Saifuddin Abdullah, manakala satu lagi oleh Timbalan Naib Canselor, Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Datuk Dr Zaini Ujang, yang juga penulis kolum Berita Harian.

Tidak terkecuali media elektronik turut menjemput beberapa panel mewakili pelbagai institusi untuk mendapatkan pandangan mereka mengenai langkah kerajaan meminda akta itu. Ia membuktikan betapa langkah kerajaan itu mendapat sokongan kuat dan amat dialu-alukan pelbagai pihak, bukan saja dalam kalangan ahli akademik, tetapi juga mahasiswa, alumni, kakitangan serta pihak pengurusan universiti.


Desakan agar AUKU dipinda sudah lama diperjuangkan sejak era 70-an lagi. Sudah semestinya pindaan itu akan menjadi detik penting dan bakal membuka lembaran baru dalam sistem pendidikan tinggi negara. Antara lain pindaan itu bertujuan untuk menjadikan universiti lebih telus, berinovasi, berdaya saing, dan berkembang dengan budaya ilmu yang lebih subur.

Apabila memperkatakan mengenai AUKU, kita tidak boleh terlepas daripada mengaitkannya dengan gerakan dan aktiviti mahasiswa, walaupun pada hakikatnya bidang kuasa akta itu merangkumi aspek yang lebih luas termasuk membabitkan tenaga pengajar serta urus tadbir universiti.

Ramai berpendapat, sejak AUKU dikuat kuasa, kegiatan mahasiswa lebih bersifat kemasyarakatan dan berpersatuan, yang tidak banyak bezanya dengan kegiatan pelajar di peringkat sekolah menengah. Kegiatan seumpama itu tidak melatih mahasiswa meluahkan pandangan dalam perspektif lebih luas untuk membantu kerajaan memajukan rakyat dan negara.

Universiti sebagai gedung yang menghimpun ribuan golongan cerdik pandai, daripada pelajar sehingga kepada tenaga pengajar bergelar profesor tidak seharusnya sekadar berfungsi sebagai pusat melahirkan graduan cemerlang dalam akademik.

Sebaliknya universiti juga harus menjadi platform untuk golongan itu bersuara dan meluahkan pandangan yang boleh membantu kerajaan membangunkan rakyat dan negara.

Dalam era globalisasi dan dunia tanpa sempadan, adalah merugikan sekiranya mahasiswa terus berada dalam kepompong sempit dan hanya terbabit dengan kegiatan yang tidak menjana bakat kepemimpinan. Mahasiswa harus berfikiran kritis, matang, berkeyakinan tinggi, dan bergiat dengan aktiviti yang boleh membina kewibawaan untuk membolehkan mereka bersaing, sehingga ke peringkat antarabangsa.

Universiti menjadi tempat terbaik untuk melatih mahasiswa dengan keperibadian cemerlang dalam pelbagai aspek agar negara tidak ketandusan pemimpin berkaliber yang bakal mengisi barisan kepemimpinan negara pada masa depan.

Sejajar dengan agenda kerajaan menubuhkan Universiti Apex tidak lama lagi, yang bakal diberi autonomi bagi melonjak universiti ke tahap cemerlang, kita yakin graduan yang bakal lahir selepas ini mampu memiliki kualiti kelas pertama setanding dengan graduan universiti terkenal bertaraf dunia.

Persoalannya sekarang, apakah mahasiswa kita sudah cukup bersedia untuk memanfaatkan sebaik-baiknya apabila AUKU dipinda. Apakan selepas ini kampus akan dipenuhi dengan pelbagai aktiviti yang boleh menjana ciri kepemimpinan cemerlang yang kita harapkan.

Mahasiswa dan warga universiti harus mengikuti perkembangan pindaan AUKU dengan penuh minat kerana merekalah golongan yang bakal menikmati faedahnya. Pemimpin persatuan mahasiswa khususnya, wajar memahami secara jelas peluang yang dibuka supaya mereka dapat mengatur pelbagai aktiviti yang mencerminkan keintelektualan sebenar mahasiswa.

Pindaan AUKU tidak memberi apa-apa makna jika ruang yang diberi kerajaan tidak dimanfaatkan sepenuhnya oleh mahasiswa secara menyeluruh.

Namun mahasiswa harus bijak dan waspada dalam menganjurkan kegiatan agar tidak diperalatkan oleh pihak berkepentingan. Sikap keterbukaan universiti, sering mengundang pihak tertentu mengambil kesempatan menyebar pengaruh serta menghasut mahasiswa melakukan perkara bertentangan dengan dasar kerajaan.