Thursday, July 10, 2008

Mahasiswa UiTM disaran amalkan budaya ilmu


SEGAMAT 3 Julai - Penuntut baru Universiti Teknologi Mara (UiTM) Johor kampus Segamat disaran mengamalkan budaya ilmu dalam kehidupan, sesuai dengan status mahasiswa yang digalas mereka.

Pengarah UiTM Johor Kampus Segamat, Prof. Dr. Muhd. Kamil Ibrahim berkata, apa yang dimaksudkan dengan mahasiswa berbudaya ilmu adalah mereka yang cintakan ilmu dan kebenaran serta meletakkan ilmu di tempat tertinggi dalam kehidupan.

"Mahasiswa juga hendaklah sentiasa berlumba-lumba untuk memiliki, memperkembang, memanfaat dan menghayati ilmu untuk kepentingan seluruh manusia dan alam sejagat,'' katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Minggu Mesra Semester Julai 2007-November 2008 pelajar UiTM Johor, di sini hari ini.

Turut hadir ialah Timbalan Pengarah (Akademik) UiTM Johor, Prof. Madya Yusri Ismail; Timbalan Pengarah (Hal Ehwal Pelajar), Prof. Madya Zaluddin Sulaiman; Timbalan Pendaftar, Khairul Anuar A. Rahim dan Timbalan Bendahari, Mohd. Yusof Mustapa.

Menurut Dr. Muhd. Kamil, golongan mahasiswa hendaklah sentiasa berusaha untuk mengamalkan ilmu yang diperoleh agar menjadi insan yang baik dan soleh.

"Mahasiswa bukan sahaja perlu memiliki, memahami dan mengamalkan ilmu yang diperoleh, malah mereka perlu mempunyai keyakinan serta kesedaran akan tanggungjawab terhadap diri, keluarga dan masyarakat,'' katanya.

Beliau turut mengingatkan mahasiswa agar tidak terjebak dalam segala kegiatan maksiat yang boleh menghitamkan hati mereka.

Katanya, mereka perlu menjadi mahasiswa yang baik kerana ia akan memudahkan mereka untuk belajar agar menjadi manusia yang berjaya dan berguna kepada agama, bangsa dan negara.