Friday, July 25, 2008

UPM minta pelajar bantu capai status Universiti Apex


Oleh Rosniza Mohd Taha


JANJI: Pelajar baru program doktor falsafah, Razam Abd Latip mengetuai upacara lafaz ikrar pelajar siswazah UPM, di Serdang, kelmarin.

PELAJAR pascasiswazah Universiti Putra Malaysia (UPM) diminta memainkan peranan aktif bagi membantu universiti penyelidikan itu mencapai sasaran bertaraf dunia atau Universiti Apex.

Naib Canselornya, Prof Datuk Dr Nik Mustapha R Abdullah, berkata antara langkah boleh dilakukan ke arah itu ialah menerbitkan tesis atau hasil kajian dalam jurnal terkemuka serta membentangkan kertas kerja pada seminar atau persidangan tempatan dan antarabangsa.

“UPM berhasrat mencapai status universiti bertaraf dunia dan menghasilkan graduan berdaya saing yang mampu menerajui inisiatif penyelidikan dalam pelbagai bidang baru.


“Mengukuhkan program pascasiswazah dikenal pasti sebagai salah satu faktor kritikal bagi merealisasikan hasrat ini.

“Pelajar siswazah perlu memainkan peranan penting dalam hal ini dengan menerbitkan tesis berkualiti tinggi dalam jurnal terkemuka serta menghasilkan produk penyelidikan berpotensi tinggi untuk dikomersialkan,” katanya pada Majlis Perasmian Putra Sarjana 2008 serta Majlis Ikrar Pelajar Baru Siswazah Semester 2008/2009, di Serdang, Selangor, kelmarin.

Hadir sama, Timbalan Naib Canselor (TNC) Akademik dan Antarabangsa, Prof Datin Paduka Dr Khadijah Mohd Yusoff; TNC Penyelidikan dan Inovasi, Prof Dr Abu Bakar Salleh; TNC Hal Ehwal Pelajar dan Alumni, Prof Dr Azali Mohamed; TNC Industri dan Hubungan Komuniti, Prof Dr Tai Shzee Yew serta Dekan Sekolah Pengajian Siswazah (SPS), Prof Dr Aini Ideris.

Sementara itu, Aini berkata, seramai 1,884 pelajar baru siswazah mendaftar membabitkan 1,227 pelajar tempatan dan 657 lagi antarabangsa termasuk dari Iran, Yaman, Iraq dan Indonesia.

“SPS menawarkan lebih 200 program pengajian dan antara bidang pilihan kebanyakan pelajar ialah pendidikan, kejuruteraan dan sains komputer.

“Dengan kemasukan pelajar baru, jumlah keseluruhan mereka mengikuti pengajian di SPS ketika ini ialah 7,560 orang, iaitu 5,104 pelajar tempatan manakala 2,456 lagi antarabangsa,” katanya.