Thursday, July 10, 2008

Universiti Apex: IPTlayak diketahui Ogos ini


KUALA LUMPUR 7 Julai - Institusi pengajian tinggi (IPT) tempatan yang layak menyertai program Universiti Apex akan diketahui selewat-lewatnya penghujung Ogos ini.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata, kementeriannya akan membentangkan permohonan tersebut ke Kabinet dalam masa terdekat.

''Saya akan bentangkan perkara ini tidak lama lagi dan keputusannya terserah kepada perbincangan Kabinet.

''Kita akan tahu keputusan universiti mana yang akan mewakili program ini selewat-lewatnya Ogos depan,'' katanya pada sidang akhbar selepas merasmikan Mesyuarat Meja Bulat Agensi Jaminan Kualiti ASEAN di sini hari ini.

Turut hadir pada majlis tersebut, Pengerusi Agensi Kelayakan Malaysia (MQA), Tan Sri Rais Abdul Karim dan Ketua Pegawai Eksekutif MQA, Datuk Dr. Syed Ahmad Hussein.

Mohamed Khaled berkata, setakat ini sebanyak sembilan IPT tempatan mengemukakan permohonan untuk menyertai program tersebut.

Menurutnya, empat daripada universiti berkenaan berorientasikan penyelidikan iaitu Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) dan Universiti Sains Malaysia (USM).

Sementara itu, lima universiti yang lain pula ialah Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Universiti Tenaga Nasional (Uniten), Universiti Teknologi Petronas (UTP) dan Universiti Sains Islam.

Universiti Apex ialah pengiktirafan yang diberikan kepada IPT tempatan untuk menjadi penanda aras di peringkat dunia dalam bidang pengajian tinggi.

Cadangan penubuhannya terkandung dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara (PSPTN) Melangkaui Tahun 2020 yang dilancarkan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi di Putrajaya pada 27 Ogos tahun lalu.

Di bawah PSPTN, Universiti Apex dijanjikan autonomi dari segi kewangan, skim perkhidmatan, pengurusan, pengambilan pelajar, kepimpinan tertinggi dan penetapan yuran pengajian.

Sementara itu, Khaled memberitahu, mesyuarat meja bulat yang pertama kali diadakan itu bertujuan meningkatkan hubungan dalam bidang pendidikan antara negara-negara Asia terutama melalui pendidikan tinggi.

''Antara objektif mesyuarat ini adalah untuk mewujudkan satu bentuk jaringan kerjasama antara pelbagai agensi jaminan kualiti bagi membentuk rangka kerja yang seragam,'' jelasnya.