Thursday, July 10, 2008

Pesara 71 tahun masuk universiti

PULAU PINANG 4 Julai – Biarpun usianya telah mencecah 71 tahun, pesara tentera, Abdul Hamid Yunus, tidak pernah menjadikannya sebagai penghalang untuk mencapai impian bergelar penuntut universiti.

Kesungguhan dan usaha gigihnya berbaloi apabila diterima masuk ke Universiti Sains Malaysia (USM) sekali gus membolehkannya melanjutkan pengajian di peringkat Ijazah Sarjana Muda Ilmu Kemanusiaan.

‘‘Saya sangat minat belajar dan tidak pernah merasa jemu melakukannya. Paling saya suka melalui pengalaman menjawab kertas peperiksaan kerana ia sungguh menyeronokkan.

‘‘Selepas menamatkan pengajian di USM ini, saya akan terus sambung belajar. Hasrat saya untuk belajar sampailah saya mati,” kata Abdul Hamid yang baru sahaja memperoleh Diploma Syariah dari Universiti Malaya (UM) cawangan Nilam Puri, Kelantan pada 14 Jun lalu.

Menurut pelajar tertua USM itu, pada awalnya hasrat untuk terus belajar ditentang isterinya, Fatimah Ahmad, 61, kerana merasakan usianya sekarang sudah tidak sesuai lagi untuk belajar.

Namun, kata Abdul Hamid, setelah melihat kesungguhannya yang sanggup berpisah dengan keluarga serta semangat yang berkobar-kobar untuk belajar, hasrat itu akhirnya direstui isteri dan dua anaknya, Azhar, 39, seorang pengurus akaun dan Norazah, 34, seorang guru.

‘‘Pada zaman remaja, saya tidak berpeluang untuk melanjutkan pelajaran kerana kemiskinan keluarga dan selepas itu pula membesarkan anak-anak.

‘‘Namun, minat saya terhadap ilmu tidak pernah padam. Selepas bersara, saya merasakan masa yang sesuai sudah tiba untuk mencapai impian saya itu,’’ ujarnya.

Selain wang pencen, Abdul Hamid beruntung apabila kedua-dua anaknya sanggup menanggung perbelanjaan pengajian di universiti dan ini menaikkan lagi semangatnya untuk belajar.

‘‘Alhamdulillah, peluang yang diberi oleh anak-anak dan USM tidak akan saya persia-siakan. Saya akan belajar bersungguh-sungguh,” kata bekas Pegawai Waran 1 itu penuh semangat.