Tuesday, April 29, 2008

878 graduan Politeknik PD terima diploma dan sijil


PORT DICKSON 23 April - Sebanyak 878 graduan Politeknik Port Dickson (PD) lulusan Jun 2007 menerima diploma dan sijil masing-masing pada Majlis Konvokesyen Ke-17 di Tiara Beach Resort di sini hari ini.

Pengarah Bahagian Pembangunan dan Penilaian Kurikulum, Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi, Mohd. Ghaus Ab. Kadir berkata, majlis konvokesyen itu merupakan titik permulaan bagi para graduan untuk berbakti kepada bangsa dan negara.

''Graduan Politeknik Port Dickson yang menerima sijil dan diploma mereka pada hari ini merupakan harapan negara untuk membangunkan bidang teknikal ke arah yang lebih dinamik.

''Sehubungan itu, saya berharap mereka akan bersedia bersaing dalam pasaran pekerjaan dengan hati terbuka dan sedar bahawa tanpa usaha yang bersungguh-sungguh, kejayaan tidak akan datang dengan sekelip mata,'' katanya ketika berucap merasmikan majlis konvokesyen itu di sini hari ini.

Hadir sama Timbalan Ketua Pengarah (Pengurusan Politeknik), Jabatan Pengajian Politeknik dan Kolej Komuniti, Kementerian Pengajian Tinggi, Mokhlis Jaafar dan Pengarah Politeknik Port Dickson, Kharir Ibrahim.

Tambah Mohd. Ghaus, beliau turut berbangga dengan kejayaan kira-kira 15,000 graduan politeknik itu yang mendapat pekerjaan dalam sektor awam dan swasta di samping melanjutkan pengajian ke peringkat lebih tinggi.

Jelasnya, ini membuktikan Politeknik Port Dickson mampu memikul tanggungjawab untuk melatih dan melahirkan tenaga kerja profesional bagi mengisi keperluan sumber manusia dalam bidang teknikal di negara ini.

''Kejayaan politeknik ini selaras dengan hasrat Kerajaan Pusat seperti yang digariskan dalam Pelan Strategik Pengajian Tinggi Negara untuk menyediakan modal insan negara bagi menangani persaingan dalam abad ini,'' ujarnya.

Selain itu, katanya, graduan Politeknik Port Dickson perlu meneruskan pengajian ke peringkat yang lebih tinggi untuk mempersiapkan diri menghadapi persaingan yang semakin sengit di dunia luar.

Jelasnya, hasrat tersebut boleh dicapai dengan menaik taraf politeknik bagi memberi ruang kepada graduan untuk melanjutkan pengajian hingga ke peringkat ijazah sarjana muda.

Dalam majlis tersebut, graduan Diploma Kejuruteraan Awam, Lee Kar Fung, 22, menerima Anugerah Pengarah Politeknik peringkat Diploma sebagai pengiktirafan di atas kecemerlangan dalam bidang akademik dan kokurikulum.

Manakala graduan Sijil Kejuruteraan Awam, Salme Abu, 23, memenangi Anugerah Pengarah Politeknik peringkat Sijil.

Sementara itu, 863 graduan lulusan Disember 2007 pula akan menerima diploma dan sijil masing-masing dalam majlis konvokesyen Sidang 2 yang akan diadakan esok.