Wednesday, April 30, 2008

Galak pelajar IPT kerja separuh masa



STATISTIK Kementerian Sumber Manusia menyatakan 400,000 rakyat negara ini tidak mempunyai pekerjaan walaupun ada hampir dua juta pekerja asing mencari nafkah secara sah seperti dilaporkan melalui akhbar ini, Sabtu lalu. Keadaan ini perlu diteliti dan difikirkan semua pihak kerana angka itu terlalu banyak, melebihi populasi penduduk Perlis.

Sektor perindustrian, pembuatan, perladangan, pertanian dan perkhidmatan yang dikatakan tidak diminati golongan muda negara ini memungkinkan perkara itu berlaku. Adakah benar golongan muda tidak berminat bidang itu yang dianggap berat, kotor dan tidak sesuai dengan diri mereka serta dianggap kerjaya kelas ketiga?

Sekiranya diteliti dengan jelas, banyak pihak sebenarnya bertanggungjawab menyebabkan kebanjiran pekerja asing dan keengganan golongan muda negara tidak boleh dipersalahkan seratus peratus. Saya yakin masih ada golongan muda ingin memenuhi keperluan pekerjaan dalam sektor pembinaan, perindustrian dan perkhidmatan.


Jika anda berpeluang ke kawasan perindustrian Bayan Lepas Pulau Pinang, perhatikan dengan teliti memang anak muda tempatan bekerja di situ sebagai operator pengeluaran dengan ada antara mereka adalah pemegang ijazah dan diploma dalam pelbagai bidang. Persoalannya benarkah mereka memilih?

Keengganan syarikat swasta dalam sektor terbabit menggaji pekerja tempatan dan lebih ke arah untuk menggaji pekerja asing juga dijadikan penyebab kebanjiran pekerja asing ini.

Memang tidak dinafikan upah kepada pekerja asing jauh lebih murah daripada pekerja tempatan. Ia sesuai dengan konsep asas ekonomi iaitu membuat pengeluaran dengan kos murah untuk menjamin keuntungan berlipat kali ganda. Tetapi adakah syarikat seperti itu perlu dipersalahkan?

Hasrat penubuhan Institut Latihan Jabatan Negara Manusia (ILJTM) melahirkan lebih ramai tenaga mahir kompetitif untuk keperluan sektor tertentu, dilihat bertepatan menyelesaikan perkara ini.

Dengan tersedia sumber manusia yang dapat memenuhi kriteria diperlukan sektor itu, masalah kebanjiran pekerja asing ini boleh diselesaikan. Tetapi ia memerlukan kerjasama semua pihak. Syarikat perlu lebih terbuka menerima pekerja tempatan dan pekerja tempatan perlu lebih sedia menerima sesuatu pekerjaan tanpa memikirkan taraf pekerjaan terbabit.

Pada hemat saya, untuk mengurangkan kebanjiran pekerja asing dalam sektor tertentu seperti perindustrian dan perkhidmatan, syarikat swasta digalakkan mengambil lebih ramai pekerja separuh masa.

Banyak pihak enggan menerima pekerja separuh masa kerana memungkinkan berlaku kekurangan kakitangan yang boleh menjejaskan operasi sekiranya pekerja ini berhenti.

Selain itu, pekerja separuh masa selalunya kurang terikat dengan sebarang peraturan syarikat seperti pekerja sepenuh masa yang membolehkan majikan mengawal mereka secara menyeluruh.

Beberapa langkah boleh dilakukan kerajaan untuk menggalakkan syarikat dalam sektor ini mengambil pekerja tempatan iaitu mungkin dengan menurunkan cukai beberapa peratus dan kemudahan pinjaman bank. Mungkin timbul pula soalan bagaimana kita dapat memastikan tenaga pekerja separuh masa mencukupi.

Saban tahun, pelajar institusi pengajian tinggi awam (IPTA) dan swasata (IPTS) meningkat dari masa ke masa. Universiti pula kebanyakannya beroperasi di seluruh negara yang berhampiran dengan syarikat di sektor perkhidmatan dan perindustrian seperti Universiti Sains Malaysia (USM) di Pulau Pinang berhampiran dengan kilang dan hotel. Contoh lain ialah di Kuala Lumpur, Selangor.

Pelajar ini boleh diambil bekerja separuh masa jika difikirkan perlu kerana jumlah mereka yang ramai. Logiknya perkara ini seperti tidak dapat dilakukan kerana pelajar perlu menghadiri kuliah dan tidak mempunyai masa.

Kepadatan jadual pembelajaran pelajar mungkin dijadikan alasan mengapa ia tidak boleh dilakukan. Ada hubungan terus antara kepadatan jadual pembelajaran dan subjek yang diambil di universiti. Sekiranya pengajian di universiti dapat dirombak iaitu dengan mengurangkan jumlah mata pelajaran pada setiap semester atau kursus, masalah kepadatan ini dapat diselesaikan dan pelajar boleh bekerja.

Jadual juga perlu dirombak iaitu dengan mengehadkan hari untuk ke kuliah iaitu dengan nisbah 3:4 atau 4:3 iaitu tiga hari kuliah dan empat hari bekerja atau sebaliknya.

Jika sistem pengajian dapat dirombak, disertai pula kerjasama daripada majikan sektor berkaitan, saya yakin kita dapat menyelesaikan masalah pekerja asing dalam jangka masa panjang dan pada masa sama jumlah graduan menganggur dapat dikurangkan.

Faedahnya kepada mahasiswa ialah mereka dapat menjana pendapatan sendiri untuk menyara hidup sepanjang pengajian di universiti tanpa bergantung bantuan ibu bapa atau pinjaman pengajian seperti Perbadanan Tabung Pendidikan Tinggi Nasional (PTPTN).

Negara juga dapat melahirkan pelajar bermutu pada masa depan kerana graduan tidak akan berasa kekok untuk bekerja selepas terdedah dengan alam pekerjaan daripada awal lagi.

Mereka dapat mempelajari kemahiran lain yang tidak dapat dipelajari di universiti seperti komunikasi dan pentadbiran. Dengan adanya graduan berkualiti, masalah graduan menganggur dapat dikurangkan atau diselesaikan secara beransur.

Penilaian menyeluruh perlu dilakukan bagi memastikan perkara ini terjadi. Ia nampak rumit kerana banyak perkara yang perlu diteliti dan membabitkan banyak pihak iaitu kerajaan, universiti, syarikat dan pelajar. Bagaimanapun, sekiranya ia dapat direalisasikan, masalah kebanjiran pekerja asing akan berakhir atau mungkin satu hari nanti negara tidak perlu lagi bergantung kepada pekerja asing.

MOHD HIDY MD DZAHIR,
Bandar Seri Damansar,
Kuala Lumpur.