Tuesday, April 29, 2008

Kursi Pengajian Melayu di Universiti Hankuk


Oleh Rosniza Mohd Taha


JALIN KERJASAMA: Zulkefli (kiri) dan Chul Park bertukar dokumen MoU sambil diperhatikan Mohamed Khaled (dua dari kanan) serta Timbalan Ketua Pengarah Sektor Pengurusan (IPTS), Dr Mohamed Rashid Navi Bax di Kuala Lumpur, semalam.

Kerjasama Malaysia, Korea Selatan perkenal budaya negara

KERAJAAN meluluskan Kursi Pengajian Melayu di Universiti Pengajian Asing Hankuk (Universiti Hankuk), Korea Selatan, menjadikan lima kursi seumpama itu di seluruh dunia.

Menteri Pengajian Tinggi, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, berkata selain universiti itu, Kursi Pengajian Melayu ada di Universiti Leiden, Belanda; Ohio University, Amerika Syarikat; University Wellington, New Zealand dan Beijing Foreign Studies University, China.


Katanya, Kursi Pengajian Melayu di Universiti Hankuk untuk tempoh lima tahun bagi seorang penyandang.

Beliau berkata, kos penajaan penyandang dibiayai kerajaan Malaysia, Korea Selatan dan DRB-Hicom Bhd (DRB Hicom).

"Penubuhan kursi berkenaan bukan saja menandakan komitmen Malaysia dan Korea Selatan dalam meningkatkan kualiti pengajian tinggi, malah kerjasama syarikat swasta DRB Hicom yang bersetuju menaja sebahagian kos operasinya.

"Kerajaan memilih Universiti Hankuk kerana ia institusi pengajian tinggi swasta ternama dan pusat pengajian bahasa asing terkemuka di Korea Selatan.

"Buat masa ini penyandang kursi itu belum ditetapkan, namun kita sudah menyenarai pendek beberapa calon dan dalam proses menemu duga mereka," katanya pada sidang media selepas menyaksikan majlis menandatangani memorandum persefahaman (MoU) penubuhan Kursi Pengajian Melayu di Universiti Hankuk, di Kuala Lumpur, semalam.

MoU itu ditandatangani Ketua Setiausaha, Kementerian Pengajian Tinggi Datuk Dr Zulkefli A Hassan, manakala Universiti Hankuk oleh Presidennya, Prof Dr Chul Park.

Mohamed Khaled berharap penubuhan kursi itu di Korea Selatan dapat meningkatkan minat dan penyelidikan dalam bidang alam Melayu, selain memartabat serta mengantarabangsakan bahasa Melayu di persada dunia.

Katanya, penyandang kursi berkenaan memikul tugas menggalakkan kefahaman terhadap bahasa, ekonomi, sosial, agama, kesenian dan aspek lain berkaitan Melayu, selain mengenal pasti bidang penyelidikan baru yang boleh diterokai kedua-dua universiti terbabit.

Beliau berkata, kursi itu juga menjadi laluan bagi kedua-dua universiti meningkatkan kerjasama dalam program penyelidikan, pertukaran kakitangan, pelajar dan akademik.

"Sehingga Mac lalu, seramai 3,235 pelajar Korea Selatan mengikuti pengajian di Malaysia. Penubuhan kerusi ini diharap dapat meningkatkan jumlah pelajar negara itu yang melanjutkan pengajian ke negara ini.

"Satu objektif penubuhan Kursi Pengajian Melayu adalah merapatkan hubungan dengan negara asing kerana kita dapat mendedahkan pelbagai aspek kehidupan masyarakat Melayu dan Malaysia kepada orang asing," katanya.