Wednesday, April 30, 2008

MMC jadi peluang akhir untuk 'doktor tidak diiktiraf'

"SAYA mempunyai ijazah doktor perubatan (MD) dari sebuah universiti di Armenia, tetapi saya tidak dibenarkan mendaftar dengan Majlis Perubatan Malaysia (MMC).

"Ini bermakna, saya tidak dapat bekerja sebagai seorang pengamal perubatan di negara ini," kata L Suresh ketika ditemui di Kuala Lumpur baru-baru ini.

Selepas mengeluarkan perbelanjaan hampir RM300,000 sebagai pembiayaan untuk pengajian Suresh, berita sedemikian sudah tentu tidak menggembirakan sama sekali kepada keluarga Suresh yang begitu berharap agar bidang perubatan dapat menjadi kerjaya beliau.

"Tempat bagi kursus perubatan di universiti tempatan amat terhad. Saya memang bercita-cita satu hari nanti menjadi seorang doktor, tetapi kini semuanya tidak kesampaian. Saya mempunyai kelulusan doktor perubatan, tetapi pada hakikatnya saya bukan seorang doktor perubatan", katanya.

Suresh adalah antara graduan perubatan universiti dari luar negara, tetapi kursus perubatannya tidak diiktiraf oleh Kementerian Kesihatan Malaysia.

Namun Suresh masih ada jalan atau peluang untuk mencapai cita-citanya.

Menurut MMC, graduan yang mempunyai ijazah perubatan dari universiti yang tidak diiktiraf boleh mendaftar dengan majlis itu dengan syarat mereka menduduki dan lulus satu ujian kelayakan.

Syarat ini termaktub dalam Peraturan Perubatan 1993 (Peruntukan Peperiksaan Untuk Pendaftaran Sementara). Graduan ini boleh menduduki peperiksaan kelayakan itu sama ada di fakulti perubatan Universiti Malaya (UM), Universiti Kebangsaan Malaysia (UKM) atau Universiti Sains Malaysia (USM).

Hanya selepas lulus, graduan berkenaan boleh mendaftar dengan MMC dan menjadi pengamal perubatan di negara ini.

Menurut MMC, graduan ini diberi kelonggaran untuk menduduki peperiksaan kelayakan itu sebanyak tiga kali. Seandainya masih gagal, mereka bukan saja tidak lagi boleh menduduki peperiksaan, malah impian untuk berkhidmat sebagai pengamal perubatan akan lenyap begitu saja.

Bagaimanapun dengan perkembangan terbaru, hasil daripada mesyuarat pada 9 April lalu, Menteri Kesihatan Datuk Liow Tiong Lai bersetuju memberi peluang terakhir bagi kira-kira 200 graduan dari kolej perubatan luar negara yang tidak diiktiraf oleh kementerian.

Mereka daripada kalangan yang gagal buat kali ketiga dalam peperiksaan kelayakan itu.

Kelonggaran ini bertujuan untuk membantu graduan terbabit mendaftar dengan MMC serta berupaya menjadi pengamal perubatan.

Menurut Liow, tawaran ini hanya dibuka sehingga Disember tahun ini, selepas Jemaah Menteri mengambil kira rayuan graduan berkenaan kepada Kementerian Kesihatan.

Dalam tawaran itu, graduan berkenaan boleh memohon melalui MMC supaya mereka diserap masuk dalam kolej perubatan tempatan untuk program pertukaran kredit selama tiga tahun.

Selepas itu, mereka akan menjalani program houseman selama dua tahun di hospital kerajaan. Kaedah pertukaran kredit itu membabitkan setahun pengajian pra-klinikal serta dua tahun kursus praktikal klinikal. Kemudian mereka akan menjadi doktor pelatih selama dua tahun.

Universiti awam serta swasta di negara ini mengeluarkan lebih kurang 3,000 graduan perubatan setahun, manakala ada 300 kolej perubatan yang diiktiraf kerajaan Malaysia di seluruh dunia.

"Tidak banyak kolej perubatan awam atau swasta tempatan. Lagipun, tempat untuk pelajar kursus perubatan memang terhad dan hanya pelajar yang betul-betul cemerlang dipilih seperti yang mendapat 5A dalam keputusan STPM serta nilai purata gred kumulatif (CGPA) 4.0.

"Saya tidak mencapai tahap akademik sedemikian, jadi saya tiada jalan lain melainkan menjalani kursus perubatan di universiti luar negara," kata beliau.

Suresh mengakui dengan tahap kelulusan yang ada, tidak mungkin beliau dapat menjalani kursus itu di universiti tempatan.

"Nak dapatkan tempat di universiti luar negara lagi senang," katanya.

Menurut satu sumber MMC, pihak berkuasa kesihatan tiada pilihan melainkan mengenakan peraturan agak tegas mengenai pengiktirafan kelayakan ijazah perubatan dari luar negara.

"Menjadi seorang pengamal perubatan bukanlah satu isu yang remeh. Doktor menanggung kewajipan yang besar kerana ia berhubung dengan nyawa pesakit. Ini bukan satu kerja yang mudah", katanya.

Beliau berkata, faktor utama kenapa MMC dan Kementerian Kesihatan tidak dapat memberi pengiktirafan terhadap beberapa kolej perubatan asing ialah nilai dan kualiti sukatan pelajaran yang tidak menepati piawaian serta keperluan kursus perubatan.

Bagi pegawai perubatan pediatrik, Dr Zaidatul Adzreen Dzulkifly, kerjaya sebagai seorang doktor perubatan memerlukan tahap disiplin dan kewibawaan yang tinggi.

"Kerjaya doktor bukan hanya untuk bergaya dengan sepasang stetoskop di atas bahu. Doktor perubatan mempunyai tanggungjawab yang berat," katanya. � Bernama