Wednesday, April 30, 2008

Insan genius jadi pengebom bersiri

Oleh Nasron Sira Rahim



PADA 22 Mei 1942, lahir seorang bayi lelaki genius yang kemudian membesar menjadi ikon ‘legenda’ dalam sejarah dunia.

Kepintaran anak pasangan Richard Kaczynski dan Wanda Theresa itu terserlah sejak kecil lagi apabila dia berjaya melompat kelas dari gred lima terus ke gred tujuh di sekolah Evergreen Park Central, Illinois, Amerika Syarikat (AS).

Ujian kepintaran yang dijalankan juga mendapati kanak-kanak itu, Theodore Kaczynski, memiliki tahap kepintaran (IQ) luar biasa iaitu 170 berbanding manusia biasa sekitar 110.

Laluan kehidupan Kaczynski bagaimanapun berubah apabila dia melompat kelas. Sebagai kanak-kanak lebih muda berbanding pelajar lain dalam gred tujuh, dia gagal menyesuaikan diri malah menjadi ejekan pelajar lebih berusia.

Akibatnya, perkembangan sosial Kaczynski menurun. Dia takut bergaul dengan orang ramai, sering bermain seorang diri dan satu-satunya rakan beliau adalah seorang kanak-kanak lelaki terencat akal.

Bagaimanapun, masalah itu tidak menjejaskan kepintarannya dan dia sekali lagi melompat gred 11 ketika di Sekolah Tinggi Evergreen Park Community. Hasilnya, beliau menamatkan pengajian sekolah tinggi dua tahun lebih awal berbanding remaja lain, malah diterima masuk ke universiti terkemuka dunia, Universiti Harvard ketika baru berusia 16 tahun.

Kaczynski menamatkan pengajiannya di Harvard pada 1962, sebelum menyambung sarjana serta doktor falsafah (Phd) dalam bidang Matematik di Universiti Michigan. Beliau memperoleh Phd dengan menyelesaikan masalah matematik yang teramat sukar sehingga gagal diselesaikan pakar matematik universiti itu, dalam tempoh kurang setahun.

Ketika musim luruh 1967, Kaczynski memulakan kerjayanya sebagai pensyarah Matematik di Universiti California dan menjuruskan kepakarannya dalam ‘teori fungsi geomatrik’ di mana hanya 10 atau 12 orang saja yang memahami bidang itu di AS.

Bagaimanapun, dua tahun kemudian, tanpa sebarang sebab, dia meletakkan jawatan walaupun dipujuk pihak universiti yang menyedari bakatnya. Dia bertegas meletakkan jawatan seterusnya keputusan itu menjadi episod permulaan kepada ‘sumbangan besarnya’ dalam sejarah dunia.

Sembilan tahun kemudian iaitu pada Mei 1978, satu bungkusan aneh ditemui di lot letak kenderaan Universiti Northwestern. Pengawal kampus, Terry Marker, membuka bungkusan itu dan dengan tiba-tiba, ia meletup sehingga mencederakan lelaki itu.

Belumpun tragedi pengeboman itu reda, satu lagi bom dijumpai dalam kargo pesawat American Airlines dari Chicago ke Washington pada 1979. Bom itu mengeluarkan asap sehingga menyebabkan penumpang sesak nafas dan juruterbang terpaksa membuat pendaratan cemas. Mangsa bernasib baik kerana sistem masa bom itu rosak menyebabkan ia gagal meletup.

Cubaan meletupkan pesawat itu menyebabkan Biro Siasatan Persekutuan (FBI) memandang serius kes berkenaan. Persamaan modus operandi dengan kes letupan Universiti Northwestern meyakinkan mereka bahawa dalang dua kes bom bersurat itu adalah orang yang sama.

Mereka menamakan kes itu sebagai ‘Unabomb’ iaitu singkatan kepada ‘pengeboman universiti dan syarikat penerbangan’ manakala suspeknya digelar ‘Unabomber’.

Ketika FBI bingung mengesan dalang jenayah bersiri itu, beberapa lagi bom bersurat meletup di AS sehingga ramai cedera dan dua mangsa terbunuh.

Selepas 17 tahun gagal mengesan Unabomber, pihak berkuasa akhirnya mendapat petunjuk baru apabila penjenayah menghantar surat kepada akhbar dan mangsanya bagi menyatakan matlamat tindakannya.

Dalam suratnya, dia meminta manifesto yang ditulisnya bertajuk ‘Masyarakat Perindustrian dan Masa Depannya’ dicetak dalam akhbar utama dan memberi jaminan yang kempen keganasannya akan berakhir selepas ia dicetak.

Pada 19 September 1995, akhbar New York Times dan Washington Post menyiarkan manifesto dikenali ‘Manifestor Unabomber’ itu yang antara lain menentang sektor perindustrian.

Awal 1996, pengkaji profil FBI, Clinton R Van Zandt dihubungi pemberi maklumat, Tony Bisceglie yang memintanya membandingkan tulisan Unabomber dengan tulisan dalam surat yang dihantar adik majikan Bisceglie.

Van Zandt mula menganalisis tulisan itu dan yakin ia ditulis orang yang sama. Persamaan tulisan itu kemudian membawa sepasukan polis menjejaki kabin terasing milik Unabomber di Lincoln, Montana pada 3 April 1996. Mereka mula menunggu dan sebaik suspek melangkah keluar, pasukan polis segera menyerbu lelaki terbabit.

Berita penahanan Unabomber segera mendapat liputan meluas media. Wajah pengebom bersiri itu dipaparkan di kaca televisyen dan dada akhbar.

Ketika itulah beberapa pihak yang mengenalinya terkejut teramat - lelaki itu adalah Thedore Kaczynski, insan genius yang mensia-siakan kepintarannya dengan menjadi pengebom bersiri paling terkenal dan ditakuti dalam sejarah jenayah dunia.

INFO: Unabomber

* Kaczynski dihukum penjara seumur hidup tanpa parol selepas mengaku salah terhadap semua tuduhan yang dikenakan terhadapnya.

* Keseluruhannya, 16 bom dihantar Unabomber sepanjang 18 tahun keganasannya sehingga menyebabkan 23 mangsa cedera dan tiga terbunuh.

* Polis menjumpai bukti termasuk bom buatan sendiri dan manifesto asli dalam kabinnya.

* FBI menawarkan ganjaran AS1 juta kepada mereka yang memberi maklumat sehingga tertangkapnya Unabomber.