Tuesday, April 29, 2008

CIMB sedia program latihan untuk pelajar UM


KUALA LUMPUR 23 April - CIMB Group akan menyediakan program latihan dalam industri perbankan kepada 500 pelajar Universiti Malaya (UM) bermula Jun ini.

Ketua Pegawai Eksekutifnya, Datuk Nazir Razak berkata, program itu menawarkan latihan prapekerjaan selain latihan amali dan pengurusan.

''Mereka (pelajar) akan dilatih mengikut jabatan yang telah ditetapkan iaitu jualan, kumpulan pemulihan khas, pusat kad kredit, kewangan automatik, perbankan runcit dan pentadbiran.

''Melalui program ini, pelatih akan diletakkan di bawah kawalan pegawai khas yang bertindak sebagai mentor kepada mereka,'' katanya pada sidang akhbar selepas menandatangani memorandum persefahaman (MoU) antara CIMB Group dan UM, di sini hari ini.

Pada majlis itu UM diwakili oleh Naib Canselornya, Datuk Rafiah Salim.

Melalui perjanjian itu, CIMB Group bersetuju untuk mengambil seramai 500 mahasiswa UM bagi menjalani latihan industri selama tiga bulan dengan menyediakan elaun sebanyak RM500 sebulan.

Nazir berkata, selain latihan, program itu juga akan menekankan kepada penggunaan bahasa Inggeris dan penguasaan beberapa kemahiran berkaitan.

Beliau memberitahu, program tersebut dijalankan bagi memberi inspirasi dan pengalaman kepada para pelajar sebelum mereka masuk ke alam pekerjaan sebenar.

''Kita akan serap pelajar-pelajar ini ke dalam organisasi jika mereka menunjukkan prestasi yang baik,'' katanya.

Sementara itu, Rafiah berkata, penyertaan program itu akan dibuka kepada semua pelajar tahun akhir UM terutama mereka yang mengambil kursus bukan profesional.

''Para pelajar perlu merebut peluang ini kerana saya percaya ia merupakan platform terbaik untuk mereka membina kreativiti, kepimpinan dan kemahiran berkomunikasi,'' jelasnya.