Wednesday, April 30, 2008

RnD gubal dasar pendidikan khas


Oleh Srihanasham Noordin

3 IPT bekerjasama kaji program pelajar istimewa

JOHOR BAHRU: Kementerian Pelajaran mengadakan kerjasama dengan tiga universiti tempatan yang menjalankan penyelidikan dan pembangunan (R&D) berkaitan pelajar berkeperluan pendidikan khas bagi merangka, menggubal dan melaksana dasar untuk pelajar istimewa di negara ini.

Ketua Pengarah Pelajaran, Datuk Alimuddin Mohd Dom, berkata hasil kajian tiga universiti itu, Universiti Putra Malaysia (UPM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) dan Universiti Sains Malaysia (USM) mengenai pendidikan khas dapat membantu kerajaan merencana sistem pendidikan khas negara.


Beliau berkata, hasil penyelidikan itu boleh dijadikan asas menggubal dasar dan diperluaskan untuk pembinaan kokurikulum, latihan, infrastruktur dan peralatan, penentuan anggaran belanjawan dan pengajaran pembelajaran.

Katanya, inisiatif diambil pelbagai pihak yang menjalankan penyelidikan itu dapat menjimatkan masa dan kos kerajaan dalam merancang, melaksana dan memantau program pendidikan khas menyebabkan hasil kajian berkenaan patut dihargai.

“Antara hasil kajian universiti diterima pakai kerajaan membabitkan pendidikan khas bagi pelajar yang mengalami disleksia.

“Kita mendapati banyak lagi hasil kajian lain yang boleh diguna pakai dalam meningkatkan kualiti pembelajaran dan pengajaran pendidikan khas,” katanya selepas merasmikan Seminar Pendidikan Khas Kebangsaan Ketujuh 2008 di Pusat Konvensyen Persada Johor, di sini, semalam.

Seminar empat hari bertajuk Penyelidikan Empirikal Menjana Kecemerlangan Pendidikan Khas itu dihadiri kira-kira 200 peserta terdiri daripada pegawai Kementerian Pelajaran, Jabatan Pelajaran negeri, guru, wakil pertubuhan bukan kerajaan (NGO), swasta dan universiti.

Kata Alimuddin, kementerian juga menggalakkan guru menjalankan kajian pendek bagi membolehkan mereka mengesan minat dan keperluan pelajar di sekolah.

Selain itu, katanya, kementerian berusaha menggunakan teknologi komunikasi dan maklumat (ICT) untuk memperbaiki sistem pendidikan khas, terutama dengan peningkatan murid sekolah khas terbabit daripada 7,436 pada 1996 kepada 25,106 pada 2007.

Beliau berkata, kerajaan memperuntukkan RM440 juta bagi pembangunan sekolah pendidikan khas menerusi Rancangan Malaysia Kesembilan (RMK-9) dan RM15 juta daripadanya digunakan untuk menempatkan komputer dan peralatan ICT menggunakan perisian khas di 32 sekolah khas di seluruh negara.