Wednesday, April 30, 2008

Selendang Sakti dan Melati & Melur


Oleh Nazmi Yaakub


SEBAHAGIAN daripada babak Teater Melati & Melur.

Teater percuma pelajar Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu

PEMENTASAN dua teater Selendang Sakti dan Melati & Melur di Panggung Percubaan Universiti Putra Malaysia (UPM), Serdang, pada 5 dan 6 April ini, bakal menguji bakat lakonan dan pengurusan pentas kira-kira 112 pelajar Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu Sebagai Bahasa Pertama, Fakulti Pendidikan di universiti berkenaan.

Selendang Sakti karya Rebecca Reisert diadaptasi Raihani Mohd Saaid di tangan pengarahnya, Radhiah Mohd Dom, mengangkat kisah Raja lakonan Kamarul Syaifudin Wajahudin yang mengambil keputusan drastik mahu meninggalkan singgahsana untuk menceburkan diri dalam dunia perniagaan roti.


Demi mencapai hasratnya, Raja yang gemar memasak itu mahu mengahwinkan puterinya, Puteri Aira lakonan Salinah Sawal dengan anak saudaranya, Putera Abu Bakar (Hassan Sirajuddin) kerana beliau berpendapat anak perempuan tidak boleh memerintah dengan baik tanpa bimbingan suami.

Bagaimanapun, Maharani Balu (Noor Suhaili Suhaimi) bersenjatakan selendang sakti yang mampu menundukkan orang lain untuk mengikut perintahnya, menggunakan sihir itu dengan tujuan menguasai negeri terbabit dan merompak harta kerajaan sehingga menyebabkan Puteri Aira memerintahkan agar wanita itu dibicarakan.

Rancangan untuk membawa Maharani Balu ke muka pengadilan gagal, menyebabkan Raja dan Puteri Aira terpaksa melarikan diri ke Bandar, lalu membuat perancangan baru untuk merampas takhtanya kembali.

ANTARA babak Teater Selendang Sakti yang dipentaskan pelajar Bacelor Pendidikan Bahasa Melayu UPM.

Naskhah Melati & Melur karya Lenny Erwan yang turut diadaptasi Raihani pula membawa mesej politik di sebalik pertembungan dua adik-beradik, Melati lakonan Citra Dewi Saidy dan Melur (Haslinda Awaludin) yang mewakili pergeseran dua kelompok dalam negara.

Di tangan Pengarahnya, Syakila Menhuri, dua beradik yang turut mempunyai adik bongsu, Mazlan (Razyff Mohd Rodzi) yang cacat pendengaran itu, berselisih pendapat apabila Melati mahukan kehidupan yang lebih baik untuk Melur walaupun tindakan itu dianggap cuba mengongkong kehidupannya.

Melati menjadi pengacara rancangan bicara yang terkenal, manakala Melur pula remaja lepasan sekolah yang bekerja di restoran makanan segera Sugar Queen dan jatuh cinta pada penyelianya, Hazwan (Syawal Idham Shafei) terpaksa mencari jalan untuk mengatasi pergeseran mereka.

Selendang Sakti sebagai drama muzikal dan Melati & Melur sebagai drama moden turut dimeriahkan dengan nyanyian koir, sekali gus menjadi halwa telinga kepada penonton terbabit.