Wednesday, May 20, 2009

32 mahasiswa UUM sertai Bakti Siswa


KOTA TINGGI 20 Mei - Sebanyak 32 mahasiswa dari Universiti Utara Malaysia (UUM) menyertai program Bakti Siswa di Kampung Lukut di sini baru-baru ini.

Program anjuran bersama Jawatankuasa Kemajuan dan Keselamatan Kampung (JKKK) Kampung Lukut dan Jawatankuasa Penyelaras Parlimen Tenggara itu telah berlangsung di Balairaya Kampung Lukut.

Ahli Parlimen Tenggara, Datuk Halimah Mohamed Sadique ketika berucap merasmikan program itu berkata, selain dapat mendekatkan golongan pelajar dengan masyarakat setempat ia juga boleh memupuk nilai-nilai murni.

Katanya, dengan cara ini juga mahasiswa terbabit dapat mengenali adat dan budaya serta resam masyarakat Kampung Lukut yang masih menebal.

"Saya mahu program seumpama ini diperluaskan ke pedalaman dengan harapan akan wujud persefahaman dan keakraban antara golongan muda dengan dewasa.

"Secara jujur dikatakan pengalaman seumpama ini tidak boleh diperolehi di mana-mana termasuk di institusi pengajian tinggi, sebaliknya persekitaran dan keindahan semula jadi hanya diperoleh dengan berkunjung ke kampung-kampung tradisional seperti Kampung Lukut," katanya.