Monday, May 25, 2009

Usahawan pendidikan


Oleh Rosniza Mohd Taha

IDEA penggabungan institusi pengajian tinggi swasta (IPTS) sekali lagi timbul dalam iklim ekonomi kurang memberangsangkan ketika ini. Ketua Pegawai Eksekutif/ Pengarah Kolej Teknologi Timur merangkap Presiden Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia, Datin Norayini Ali, menyatakan pandangan kritikalnya mengenai langkah itu seperti disampaikan kepada wartawan pendidikan Berita Harian, Rosniza Mohd Taha.

KETIKA menghadiri satu persidangan peringkat kebangsaan baru-baru ini, wakil Kementerian Pengajian Tinggi memaklumkan pihaknya sedang memperhalusi cadangan menggabungkan IPTS kurang pelajar.

Rasional cadangan itu adalah sebagai langkah menyelamatkan IPTS terbabit daripada ‘gulung tikar’ kerana masalah dihadapi mereka.


Saya mempunyai pandangan tersendiri mengenai cadangan berkenaan kerana berasakan ia bercanggah dengan usaha memupuk semangat keusahawanan.

Pengusaha IPTS diibaratkan usahawan bidang pendidikan dan mereka seharusnya diberi peluang bertapak dalam industri itu sebelum membina kekuatan tersendiri.

Sebagai contoh, usahawan terbabit dalam sektor runcit, sekiranya tidak mampu menjalankan perniagaan pasar raya besar, mereka boleh bermula dengan membuka kedai kecil dulu.

Begitu juga dalam bidang pendidikan, jumlah pelajar IPTS paling sedikit pun melebihi 100 tetapi jika berjaya menunjukkan keupayaan menghasilkan graduan berkualiti, mereka harus terus diberi kepercayaan untuk berkembang.

Seharusnya kerajaan melihat kepada kualiti pelajar dihasilkan bukan kuantiti dan jika IPTS seumpama ini terus diberi kepercayaan serta sokongan, saya yakin enrolmen akan terus meningkat.

IPTS berkenaan khususnya yang bernaung di bawah Persatuan Kebangsaan IPTS Bumiputera Malaysia (PKIBM) berpeluang mempelajari strategi berniaga dengan bimbingan rakan hingga mampu meyakinkan kerajaan akan kredibiliti dimiliki.

Kolej Teknologi Timur (KTT) umpamanya dapat terus bertahan walaupun bermula dengan ratusan pelajar pada 1997 dengan menjalankan program matrikulasi daripada universiti awam.

Purata pelajar kolej itu kini 1,200 setiap tahun tetapi mampu bersaing dengan ratusan IPT lain kerana keupayaan membina identiti dan kekuatan tersendiri khusus Cambridge A Level serta program kerjasama IPT awam.

Dengan mengehadkan jumlah pelajar dan kemudahan disediakan, tahap kemenjadian mereka tinggi apabila memasuki kolej kerana tumpuan lebih dapat diberikan.

Kredibiliti KTT menjalankan program Cambridge A Level terbukti apabila lebih 90 peratus pelajarnya memenuhi syarat minimum 12 mata untuk melanjutkan pengajian peringkat ijazah pertama di luar negara.

Lebih membanggakan, apabila 21 pelajar program berkenaan menerima Anugerah Terbaik Dunia daripada University of Cambridge International Examinations kerana mencatat markah 100 peratus bagi subjek Fizik, Matematik, Biologi dan Kimia.

Ketika ini terdapat 132 IPTS Bumiputera yang berdaftar tetapi hanya 38 menjadi ahli PKIBM.

Justeru, saya menyarankan IPTS Bumiputera segera menyertai persatuan agar ia bertambah kukuh, sekali gus persatuan menjadi kuat dan idea kita didengari kerajaan.

Dengan ini, hasrat dan usaha murni memartabatkan industri pendidikan negara dapat terus dilaksana supaya tiada pelajar kita keciciran daripada mengikuti pengajian tinggi.