Wednesday, May 20, 2009

UPM temui kaedah terkini mengesan kanser


KUALA LUMPUR 20 Mei - Sekumpulan penyelidik Universiti Putra Malaysia (UPM) berjaya menemui kaedah terbaru mengesan kanser lebih awal menggunakan pengimejan nuklear.

Dengan penambahbaikan terhadap salah satu perkakas yang dinamakan 'pengkolimat' dalam alat pengimejan itu, sel kanser kini mampu dikesan pada peringkat satu milimeter.

Penemuan para penyelidik diketuai pensyarah Fakulti Kejuruteraan UPM, Dr. M. Iqbal Saripan itu mengatasi alat pengimejan konvensional yang hanya mengesan sel kanser pada peringkat 10 milimeter.

M. Iqbal berkata, kejayaan kajian itu akan membolehkan sel kanser dikesan lebih awal sebelum ia merebak dan sukar dirawat.

Menurutnya, pengkolimat baru ini diberi nama Pengkolimat Jaringan Wayar dan ia dihasilkan melalui kajian selama tujuh tahun.

"Kajian itu dilakukan menggunakan kaedah simulasi jitu Monte Carlo bagi menggantikan pengkolimat sedia ada kepada pengkolimat yang lebih baik hasilnya bagi menangani kanser.

"Pengimejan nuklear suatu yang baru di negara ini berbanding di Eropah dan Amerika Syarikat yang telah menggunakannya sedekad lalu," katanya di sini hari ini.

Menurut M. Iqbal, kajian itu telah memenangi Pingat Emas dan Ucapan Khas Tahniah Juri di Geneva 2008, Anugerah Pengerusi dan Emas Agensi Nuklear Malaysia dan Perak dalam Ekspo Teknologi Malaysia.

Katanya, kajian itu dilakukan bersama beberapa penyelidik bersekutu dari Imperial College London, University of Surrey, United Kingdom dan Lawrence Berkey National Laboratory, Amerika Syarikat yang bertindak sebagai penasihat.

Tambahnya, dua penyelidik tempatan yang turut sama dalam penyelidikan itu ialah Wira Hidayat Mohd. Saad dan Ros Emirda Roslan yang merupakan pelajar lepasan ijazah di UPM.